Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Memperkasa angkasa

MUKADIMAH
SEJAK DATUK ABDUL FATTAH ABDULLAH menerajui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) pada Jun 2013, beliau telah melakukan pelbagai pembaharuan bagi memperkasakan badan itu dan gerakan koperasi di negara ini.

Antara pembaharuan yang signifikan ialah Angkasa menubuhkan lima anak syarikat bagi melibatkan diri dalam lapan sektor utama iaitu pembangunan hartanah dan industri binaan; perladangan, pertanian dan industri asas tani, kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan
kesihatan, inovasi serta teknologi dan telekomunikasi.

Beliau juga berjaya menyelesaikan beberapa isu melibatkan ahli Angkasa termasuk baru-baru ini berhubung potongan gaji penjawat awam sehingga maksimum 60 peratus.

Pemilihan beliau sebagai Presiden Koperasi se-Asean (ACO) bagi tahun 2014-2018 serta Malaysia sebagai tuan rumah Persidangan Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) Global yang akan berlangsung di Sunway Resort Hotel & Spa, Kuala Lumpur dari 14 hingga 17 November ini merupakan satu pengiktirafan kepada gerakan koperasi di negara ini.

Ikuti sedutan temubual antara Abdul Fattah dengan wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurufoto AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN di Shah Alam baru-baru ini.

 

MINGGUAN: Boleh Datuk terangkan tentang pencapaian semasa koperasi di negara ini?

ABDUL FATTAH: Saya melihat perkembangan koperasi di Malaysia begitu memberangsangkan dan penerimaan masyarakat juga jauh lebih baik. Keyakinan rakyat yang tinggi terhadap koperasi juga menjadikan pertambahan bilangan penubuhan koperasi begitu banyak. Rakyat juga menyakini koperasi boleh menceburi bidang perniagaan berimpak tinggi yang memerlukan kepakaran serta teknologi canggih.

Bagaimana Angkasa boleh memainkan peranannya dalam perniagaan berimpak tinggi ini?

ABDUL FATTAH: Angkasa telah meminda undang-undang kecil bagi membolehkannya turut serta dalam bidang perniagaan. Kini Angkasa bersama-sama koperasi terus menerokai bidang perniagaan berimpak tinggi yang sesuai dengan strategic fit yang dimiliki koperasi.

Setakat ini kita baru ada lima anak syarikat tetapi kita menetapkan sasaran untuk mempunyai lapan anak syarikat berdasarkan lapan sektor peneraju iaitu sektor kewangan; inovasi dan teknologi; pemborongan dan peruncitan; perladangan; pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; pembangunan hartanah dan industri binaan; industri pertanian dan asas tani serta pembangunan komuniti.

Alhamdulillah sambutan daripada koperasi di seluruh negara begitu baik dan mereka terbabit secara aktif dalam apa yang Angkasa rancangkan. Ini adalah petanda yang amat baik kerana mereka sudah bersedia ke arah itu. Malah lebih jauh lagi, mereka juga mengatur perancangan strategik bagi memaju dan menjayakan perniagaan yang diceburi.

Sejak Datuk menjadi Presiden Angkasa pada 2013, apakah pembaharuan yang telah dilakukan?

ABDUL FATTAH: Yang pertama, kita memperkasakan perniagaan Angkasa kerana sumber pendapatan Angkasa adalah berdasarkan perolehan yang dibuat oleh Angkasa. Keduanya, saya juga melihat peranan Angkasa sebagai badan induk di peringkat global atau secara makro. Dalam konteks ini, Angkasa akan memainkan peranan di peringkat dalam negeri dan antarabangsa.

Alhamdulillah setakat ini, kita lihat Angkasa berjaya menguruskan perolehannya dengan baik. Kita bukan sahaja mahu melihat ia menguntungkan malah stabil. Jadi, kita memastikan perbelanjaan dan perancangan kewangan tidak lari. Sebagai badan induk, kita juga hendak menjaga kepentingan koperasi.

Oleh itu, keuntungan yang diperolehi Angkasa, kita akan pulangkan kembali untuk menjayakan program-program membangunkan gerakan koperasi. Dengan itu kita tubuhkan lima buah anak syarikat bagi menjalankan perniagaan tetapi ia mengambil masa.

Kita buat keputusan untuk menubuhkan anak syarikat pada 2013 dan pada 2014, baru anak syarikat ini ditubuhkan. Pada 2015, baru masuk duit untuk menjalankan perniagaan dan pada 2016, baru kita mulakan perniagaan.

Bagaimana dengan tahap perniagaan koperasi masa kini?

ABDUL FATTAH: Perjalanan perniagaan koperasi begitu baik dan terus meningkat. Kita lihat statistik koperasi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga 31 Disember 2016 menunjukkan jualan saham atau yuran sebanyak RM14 bilion. Aset koperasi pula sebanyak RM131 bilion dan jumlah perolehan sebanyak RM39 billion. Perangkaan besar ini membolehkan perniagaan yang dijalankan oleh koperasi berkembang maju. Potensinya begitu besar kerana bilangan anggota yang ada boleh melanggani produk dan perkhidmatan koperasi termasuk juga mereka yang bukan anggota.

Angkasa juga telah mempromosi dan membantu koperasi memasarkan produk mereka ke luar negara. Melalui hubungan baik Angkasa yang terjalin dengan koperasi-koperasi di seluruh dunia, Angkasa yakin usaha ini dapat dijayakan dengan baik dan berkesan. Angkasa juga mengambil pendekatan bagi melaksanakan perdagangan dua hala di antara koperasi Malaysia dengan koperasi di luar negara.

Pada masa ini, perolehan Angkasa dalam RM120 juta setahun. Dari segi strategi, saya sudah buat polisi supaya kebergantungan Angkasa kepada perniagaan teras iaitu pengurusan pemotongan gaji dikurangkan. Kita sudah mula mempelbagaikan cabang perniagaan untuk menambahkan pendapatan.

 

Selain perniagaan, apakah usaha yang dibuat oleh Angkasa bagi memperkasakan kakitangannya?

ABDUL FATTAH: Kita telah menjalankan pelbagai aktiviti dan program untuk memperkukuhkan sahsiah kakitangan Angkasa supaya mereka ada kemampuan dan keterampilan. Bagi fasa pertama, saya mahu memastikan semua kakitangan pada peringkat pengurus besar mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA)

Alhamdulillah dalam masa dua tahun, lebih daripada 20 orang guru besar daripada keseluruhan 700 kakitangan telah memiliki MBA. Sekarang, di fasa kedua, seramai 16 penolong pengurus besar di Angkasa sedang mengikuti program MBA di semester ketiga dan akan menamatkan pengajian pada 2018.

Selain itu, kita memberikan pendedahan kepada kakitangan Angkasa dengan menghantar mereka ke luar negara untuk belajar dengan koperasi-koperasi luar yang berjaya.

Bagaimana peranan yang dimainkan oleh Angkasa terhadap pembangunan koperasi di peringkat komuniti?

ABDUL FATTAH: Alhamdulillah, sekarang kita sudah ada 500 buah koperasi kariah masjid. Sasaran kita kalau boleh kesemua 6,300 buah masjid di seluruh negara menubuhkan gerakan koperasi. Di peringkat sekolah pula, setakat ini kita sudah ada 2,384 buah koperasi.

Ini adalah koperasi di peringkat komuniti iaitu ahli-ahlinya terdiri daripada orang setempat. Jadi, kita lihat koperasi peringkat komuniti ini boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat di samping memberikan pendapatan dan membantu mengurangkan kos sara hidup.

Sebagai contoh, koperasi flat boleh berperanan dengan mewujudkan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), pusat tusyen dan pasar raya mini di kawasan perumahan flat. Mereka juga boleh mewujudkan sistem pengangkutan untuk membawa pelajar sekolah.

Kedai runcit yang diusahakan oleh koperasi boleh menjual barangan pada harga berpatutan kerana mereka membeli barangan secara pukal. Inilah sumbangan dan peranan yang boleh dimainkan oleh koperasi.

Angkasa telah merangka pelan strategik sehingga 2050. Apakah matlamat utamanya?

ABDUL FATTAH: Kita juga mahu selari dengan polisi kerajaan yang telah menyediakan program Transformasi Nasional 2050 (2050). Jadi, Angkasa telah merangka pelan strategik bagi memastikan hala tuju gerakan koperasi sehingga tahun 2050 adalah jelas. Pelan strategik ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu pelan tindakan jangka pendek (2017-2020), jangka sederhana (2021-2030) dan jangka panjang (2031-2050).

Pelan strategik ini mengambil kira peranan Angkasa, persekitaran geopolitik, dasar dan sumbangan badan ini di peringkat antarabangsa. Disebabkan keperluan terhadap sumbangan koperasi dari Malaysia di peringkat antarabangsa cukup tinggi, maka kita hendak melihat ini menjadi salah satu strategi yang boleh kita gunakan untuk memberikan manfaat kepada gerakan koperasi.

Sebagai contoh Dasar Koperasi Negara (DKN) dan dasar-dasar koperasi yang dibuat oleh kerajaan menjadi rujukan kepada banyak negara. Bila sebut koperasi sekolah dan koperasi kariah masjid, orang akan rujuk kepada Malaysia. Perkhidmatan produk halal pun orang akan rujuk kepada Malaysia. Begitu juga dengan pembiayaan syariah akan rujuk kepada Angkasa. Produk-produk ini yang perlu ditonjolkan.

Dengan adanya produk-produk ini juga secara tidak langsung kita boleh berdakwah kepada masyarakat luar khususnya orang bukan Islam. Kita mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Kita juga meletakkan sasaran perolehan Angkasa akan meningkat kepada sekurang-kurangnya RM150 juta pada 2020.

Bagaimana pula dengan peranan Angkasa di peringkat antarabangsa?

ABDUL FATTAH: Selepas 2020, saya mahu melihat peranan Angkasa di peringkat antarabangsa lebih menyerlah. Sekarang Presiden Angkasa dipilih sebagai Presiden Koperasi se-Asean (ACO) dan ia merupakan satu pengiktirafan kepada Angkasa dan kepimpinan negara. Kalau boleh sebelum 2050, ada satu ketika Presiden Angkasa akan menjadi Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) dan Pengerusi Koperasi Asia Pasifik. Itu sasaran kita.

Pada masa hadapan, kita mahukan lebih ramai lagi jawatankuasa ICA dianggotai ahli lembaga Angkasa. Kita mahu menjelang tahun 2050, lebih banyak koperasi dari Malaysia termasuk dalam senarai 300 koperasi terbaik di dunia. Sekarang ini, ada dua koperasi dari Malaysia yang termasuk dalam senarai 300 koperasi terbaik dunia iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).

Kita juga hendak supaya Angkasa menjadi peneraju kepada koperasi kariah masjid dan koperasi sekolah. Di samping itu, kita mahu menggerakkan koperasi di peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebab kita lihat orang Islam agak lemah dalam bab koperasi.

Apakah antara isu utama yang diperjuangkan oleh Angkasa sekarang?

ABDUL FATTAH: Kita minta kerajaan mengiktiraf sektor koperasi untuk mendapat insentif di bawah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seawal-awalnya tahun hadapan. Pada masa ini, koperasi tidak mendapat sebarang manfaat daripada peruntukan berbilion ringgit yang disediakan oleh kerajaan di bawah PKS kerana tidak diiktiraf.

Menjelang pemilihan dalam Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke-32 pada 22 Julai, difahamkan terdapat serangan-serangan peribadi yang dilemparkan terhadap Datuk. Mungkin Datuk boleh ulas?

ABDUL FATTAH: Memang ada banyak sebaran yang bersifat fitnah terhadap saya menerusi WhatsApp. Misalnya, ada yang menuduh saya tidak amanah dan tidak berkemampuan untuk menerajui Angkasa. Saya sedang mengkaji sebaran WhatsApp yang bersifat fitnah itu dan akan mengambil tindakan saman kerana ia melibatkan kredibiliti saya.

Apakah harapan Datuk kepada para perwakilan?

ABDUL FATTAH: Angkasa adalah sebuah organisasi yang besar dan lebih besar daripada parti-parti politik yang ada di Malaysia. Ia mempunyai ahli yang ramai iaitu seramai lapan juta orang dan terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan ideologi politik. Saya harap pemilihan Angkasa tidak menjadi seperti pemilihan parti politik dengan memainkan isu-isu berbentuk fitnah.

Saya akan memberikan penjelasan tentang semua isu yang ditimbulkan khususnya semasa persidangan nanti. Sebab sekarang ini ada usaha untuk membawa Angkasa keluar dari arus perdana dengan menyokong pembangkang.

Saya minta koperasi Angkasa terus memberikan sokongan kepada kerajaan yang ada kerana kita sudah tahu rekod prestasi yang baik dan sebagainya. Kita hendak supaya hubungan dan kepercayaan daripada kerajaan hari ini kepada Angkasa jangan dicemarkan dengan tindakan-tindakan yang melambangkan kita menentang kerajaan. Kita perlu tengok rekod prestasi dan perancangan strategik yang telah dibuat oleh kepimpinan Angkasa sedia ada. Jadi perlu dikekalkan supaya ada kesinambungan.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain