Gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang menjadi polemik masyarakat Islam kini akar sebabnya adalah pengaruh Barat yang meresapi, pemahaman beragama yang dangkal, tiada didikan etika sejak dari zaman kanak-kanak di awal umur, pergaulan yang melepasi batas moral mengakibatkan amalan ini dianggap sebagai hak asasi yang perlu difahami dan dihormati.

Fahaman Islam liberal dan pluralisme Islam yang meng­anggap Islam memerlukan tafsiran yang lebih terbuka dan moden adalah suatu gejala lain, lalu menganggap semua agama adalah sama benarnya.

Akar sebabnya adalah ketidakmampuan untuk mendukung perubahan mendepani cabaran zaman moden dan berakibat penyimpangan daripada tasawwur Islam sebenar. Fikrah Islami yang dimiliki hanya dalam batas ritual dan tidak mampu melakukan aplikasi Islam sebagai suatu cara hidup.

Akibatnya berlaku penyimpangan daripada ajaran Islam yang sebenar. Ia tidak saja didukung oleh sebahagian gene­rasi muda tetapi juga golongan berkelulusan dan profesional. Pengaruh Barat terlalu kuat mempengaruhi cara hidup dan hanya batas ritual menjadi kelaziman beragama. Ia tidak mampu mempertahankan tasawur Islam yang bertunjangkan al-Quran dan Sunah.

Fikrah Islami amat penting difahami kerana beragama tanpa ilmu yang benar cenderung menyebabkan penganut Islam mudah terikut-ikut. Menganut agama Islam bukan sekadar ikut-ikutan kerana faktor warisan tetapi harus mempunyai ilmu yang cukup memahami tasawwur Islam supaya akidah tidak tergelincir.

Di Malaysia asas-asas fundamental dalam Perlembagaan sudah mula dipersoalkan. Ini juga suatu gejala atau tanda-tanda yang membimbangkan. Peruntukan mengenai Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa orang Melayu, institusi Raja-raja , kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara mula dipersoalkan.

Akar sebabnya adalah sebahagian warga Malaysia tidak memahami perjalanan sejarah negara ini, muafakat sosial yang dicapai sejak awal kemerdekaan mahu dirungkai se­mula, keperluan jurang sosial dan ekonomi dirapatkan, kepen­tingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpa­duan.

Sebaliknya muncul kelompok-kelompok yang kurang memahami realiti Malaysia dan hilang toleransi memahami kehidupan masyarakat berbilang dan boleh menyebabkan kelompok majoriti rasa tersinggung.

Akibatnya fahaman liberal dan hak asasi dalam acuan Barat berkembang. Amat penting kelompok majoriti Melayu di Malaysia merenung secara serius dan peka terhadap apa yang sedang berlaku.

Sejak merdeka sehingga kini pendekatan memartabatkan umat Melayu dalam segala bidang kegiatan seperti ekonomi, keilmuan dan kemahiran sains dan teknologi berlaku. Fokus membangun modal insan terjadi. Cuma wujud jurang ge­nerasi dalam kalangan generasi penerus untuk mewarisi perjuangan yang belum selesai.

Sepatutnya generasi penerus menjadi mata rantai ke arah memperkukuh pencapaian yang ada supaya amanah memartabatkan umat Melayu dalam semua lapangan berlaku. Jika ia tidak berlaku, hanya menjadi pengguna setia terhadap perubahan dan kemajuan dari luar, orang Melayu dibimbangi akan terpinggir dalam arus perubahan di tengah-tengah kemajuan yang bergerak pantas dan ganas.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).