Agak menyedihkan. Walhal sebelum itu semua ahlinya bertekad mahu mempertahan parti yang berjuang untuk orang Melayu itu akan terus dipertahankan.

Tapi itu kisah setahun lalu. Kini suasananya lebih terurus dan berjalan seperti biasa walaupun tiada kemeriahan dan majlis gilang gemilang seperti dahulu. Walaupun tak ramai hadir tetapi sekurang-kurangnya yang datang itu kita boleh harap mereka ini masih kasih dan setia dengan parti.

Umpama suami yang setia pada isteri yang satu. Kekal tidak goyah walau ada calon lebih seksi mahupun kaya raya yang bisa melampiaskan setiap nafsu manusia yang tidak pernah puas.

Apa lagi yang tinggal

Kalau tidak kerana kesetiaan apa lagi yang tinggal pada UMNO. Ini penting kerana khabarnya ada juga yang masih berharap untuk dipikat dan dilamar pihak sebelah sana jika “maharnya” bersesuaian.

Orang seperti ini kita tahu di mana tempatnya dan apa yang perlu dilakukan. Tetapi mereka ini bukan fokus utama UMNO sekarang. Biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya.

Dalam soal sekarang semua sedia maklum bagaimana kedudukan dan prestasi setahun Pakatan Harapan (PH). 
Boleh kita andaikan melalui pelbagai telahan, analisis dan pandangan sepanjang setahun ini, ramai bersetuju prestasi PH tidak seperti yang diharapkan.

Semua tahu mengenai janji manifesto, soal kerja dan pengalaman memang tidak membantu dalam soal setahun PH. Apatah lagi pelbagai kemelut serta perseteruan sesama komponen dalam PH menambah lagi kecacatan yang sedia terserlah sejak hari pertama menawan Putrajaya.

Namun suka atau tidak mereka masih tetap kerajaan sampai penggal ini habis. Ada empat tahun lagi untuk mereka berubah dan memberi khidmat lebih baik kepada rakyat.

Apatah lagi jika rakyat melihat dalam masa empat tahun ini kerajaan PH boleh melakukan yang lebih baik, sudah tentu tidak ada keperluan untuk mereka tukar kerajaan.

Oleh itu bagi penulis seperti rakyat biasa yang lain, adalah lebih baik diberi peluang kepada PH meneruskan agenda pemerintahan seperti yang dirancang. Ini lebih baik demi kesejahteraan rakyat yang sudah penat dengan politik kalut dan ada kalanya “ke laut” sekarang ini.

Namun itu bukan isu yang mahu dibincangkan oleh penulis. Seperti rakyat marhaen lain penulis turut mengikuti rapat apa lagi perubahan yang telah dibawa UMNO sebagai parti yang telah banyak jasanya kepada rakyat.

Sudah serik

Mereka ini bukan mendapat apa-apa pun sama ada daripada pemerintahan lama atau yang baharu. Semuanya sama sahaja tidak ada perubahan signifikan pun untuk rakyat terbanyak.

Tetapi yang boleh banyak belajar dan berubah demi untuk lebih baik sudah tentunya UMNO dan Barisan Nasional (BN). Hakikatnya, ia memberi peluang untuk parti itu bermuhasabah dan memperbaiki diri apatah lagi jika telah benar-benar serik setelah setahun menjadi pembangkang.

Apatah lagi dalam keadaan parti itu dilihat rakyat terbanyak sudah terlalu rosak dan lemah. Tidak ada sesiapa boleh menafikannya. Rosak akibat rasuah yang menjadi barah dalam parti sekian lama serta lemah kerana terpaksa meminta bantuan Pas, musuh ketatnya dahulu untuk kembali bangkit.

Namun sehingga kini belum nampak langkah dan tindakan besar untuk menambah baik dan memulihkan UMNO dan BN supaya kembali diterima rakyat. Memang benar usahasama dengan Pas paling signifikan setakat ini dan memberi kesan menghadapi lawan pada pilihan raya.

Tidak relevan

Tetapi UMNO sendiri dilihat ramai terutama atas pagar sebagai belum berubah. Apa yang hendak dibanggakan jika masih dibarisi muka lama, malah ada pula pihak yang dilihat tidak lagi relevan. Belum lagi peluang orang muda berkecimpung lebih aktif dalam parti, hampir tidak berlaku.

Begitu juga peluang bagi golongan wanita dan gadis muda menonjol diri pun boleh dikatakan sangat sedikit. Kita tidak menafikan sumbangan otai-otai parti, tapi berilah juga peluang untuk golongan muda serta wanita menyumbang lebih banyak dalam parti.

Rakyat sebenarnya mahu muka baharu yang lebih bersih, bijak, berhemah dan mampu membawa visi lebih segar dan relevan dengan kehendak semasa tanpa mengorbankan prinsip asal perjuangan parti.

Apatah lagi dengan kekalahan parti itu pada pilihan raya lepas sebenarnya adalah peluang mereka untuk rejuvenate dan melakukan perubahan lebih signifikan.

Rakyat tidak lagi mahu orang dalam parti takut untuk menyatakan kesalahan yang berlaku. Perubahan perlu di bawa terutama dalam era mereka sebagai pembangkang.

Cukuplah budaya takut yang menjadi antara punca kalah PRU lepas dan elakkan ia berterusan lemas di dalam pembangkang. Keupayaan dan kecekalan untuk menegur perbuatan salah serta keazaman membawa perubahan lebih baik yang dimahukan rakyat antara tunjang yang perlu diubah.

Kita tidak lagi mahu pembangkang hanya sekadar berbudaya elok dan sopan sahaja. Tidak cukup jika sekadar salam cium tangan dan menghormati pemimpin. Atau berdegar-degar mencari salah orang lain tetapi diri sendiri pun masih di takuk lama.

Saya tidak bermaksud menyatakan budaya cium tangan dan hormat pemimpin itu tidak betul tetapi turut samalah menegur jika ada perkara tidak betul. Bukan juga tidak boleh mencari salah orang lain tetapi turut muhasabah diri dan ubahlah kesilapan dan keegoan diri.

Budaya yang rosak

Pembangkang juga harus sama berubah hingga ke titisan darah terakhir dalam menangani soal rasuah dalam parti. Tidak salah jika mereka bersama dengan kerajaan PH berjuang untuk menghapuskan rasuah demi pemerintahan dan masa depan lebih baik.

Biarlah rakyat melihat jika sebelum ini mereka kalah kerana terpalit isu rasuah tetapi mampu bangkit atau menang kembali kerana keseriusan pembangkang menghapuskan budaya yang rosak itu.

Memanglah kalau dilihat dari segi strategi, kempen pilihan raya, perang saraf dan keupayaan politik banyak kelebihan dimiliki pembangkang. Namun dalam keadaan Malaysia Baharu ini pemikiran rakyat turut berubah bukan sekadar bergantung strategi politik semata.

Malah ia semacam menjadi batu asas bahawa parti yang bakal menang pada PRU-15 nanti adalah mereka yang bersih, tidak rasuah dan bekerja demi rakyat. Tidak guna jika kekuatan ummah menjadi pegangan dan keutamaan tetapi visi untuk menentang rasuah sekadar cukup syarat.

Apatah lagi dengan kedudukan orang Melayu yang sudah berpecah mengikut banyak parti politik termasuklah DAP. Malah UMNO kini belum tentu parti utama orang Malayu seperti dahulu kerana tempatnya mungkin telah diambil alih Pas.

Namun tidak lengkap jika ucapan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Hasan atas usaha menggembeling tenaga mempositifkan UMNO. Ternyata beliau adalah orang yang tepat untuk memimpin UMNO walaupun memangku.

Namun seperti PH beliau hanya pegang tidak sampai setahun dan perlu diberi peluang. Namun aura bersih dan berintegriti yang dibawa beliau sudah semakin membawa sinar untuk parti.

Namun hakikatnya rakyat terutama orang Melayu sebenarnya bukan ahli mana-mana parti dan majoriti adalah atas pagar. Mereka ini mampu menilai dan menghargai siapa dilihat terbaik dalam segala segi demi kelangsungan politik.

Apatah lagi dalam keadaan sekarang agak menyedihkan melihat kematangan politik orang Melayu itu hampir tidak ada. Semua hanya mengikut nafsu dan amarah semata-mata. Sifat dendam dan saling menyalahkan begitu menebal dalam suasana politik hari ini.

Rakyat sebagai stake holder perlu bangkit dan buat pilihan terbaik untuk mereka. Dan belum terlambat bagi UMNO dan BN untuk berubah menjadi apa yang dimahukan rakyat.

Apatah lagi jika soal integriti dan tolak rasuah menjadi budaya dalam parti seperti mana mereka menghormati pemimpin dan mencium tangan mereka. Bagaimanapun, terpulang kepada mereka kerana rakyat sudah pun memilih untuk berubah.

Selama mana mereka bertahan terpulang kepada selama mana mereka mengikut telunjuk rakyat. Mereka bukan tak sayang UMNO dan BN tetapi buktikan mereka telah kembali menyanjungi dan menyantuni mereka.