Tetapi kalau kita selidiki dengan baik, maka kita akan dapati bahawa bangsa Melayu masih cemerlang. Kita kadang-kadang terlalu nampak akan hal-hal negatif sehinggakan yang positif itu menjadi kabur.

Apakah ini kerana kita sebagai satu bangsa bersifat begini? Bercakap dengan orang berbangsa Melayu, ramai menyatakan bahawa bangsa Melayu memang mempunyai sifat PHD yang amat tinggi. Siapa tidak tahu apa itu PHD? Tersangat ramai yang memahami maksud PHD ini. Maka itu besarlah kemungkinannya bahawa bangsa kita ini memang mempunyai sifat PHD.

Pada 2017 kita dapati seramai tiga bangsa Melayu daripada enam orang yang telah memenangi Anugerah Merdeka. Apakah ini tidak mencerminkan pencapaian gemilang bangsa Melayu? Mereka ini ialah Abdul Halim Ismail dalam bidang perbankan, Tengku Zainal Abidin Tengku Mahmud (alam sekitar), dan Profesor Masjuki Hassan dalam sumbangan ilmu baharu melalui penerbitan bidang kejuruteraan.

Masjuki dari Universiti Malaya adalah bekas Pengerusi Majlis Profesor Negara Chapter Universiti Malaya; Pre­siden Pengasas Malaysian Tribology Society dan Naib Presiden International Tribology Council, UK; berkolaborasi dengan organisasi penyelidikan seperti United State Agency for International Aid Agency, Asean-Australian E­nergy Efficiency and Conservation Program, ASIAN Development Bank, Ja­panese Society for the Promotion of Science and AUN-Seed Net Programme and Universities; dan pe­ngulas artikel terbitan jurnal terkemuka. Kelayakan akademik dan profesional Masjuki adalah seperti berikut: B.Sc.(Hons.), M.Sc. dan Ph.D. dari Universiti Leeds, CEng(UK), MSAE (USA), PEng/Ir (Malaysia) and FIMechE (UK).

Saya lihat Masjuki mempunyai sebanyak 2,500 rujukan ke atas penerbitan-penerbitannya oleh pakar-pakar dalam bidangnya daripada seluruh dunia mengikut Thomson Reuter. Beliau berusia sekitar 64 atau 65 tahun ketika ini.

Pada pendapat saya sekiranya universiti-universiti di Malaysia inginkan kedudukan taraf (ranking) menyerlah, maka universiti hendaklah mengekalkan perkhidmatan profesor yang cemerlang tanpa mengira usia. Ini bermakna selagi profesor itu sihat walafiat dan berprestasi tinggi dalam bidang akademik, maka ia baiklah dikekalkan dalam perkhidmatan.

Pekerjaan seseorang profesor bergantung kepada kecerdasan otaknya dan bukan sama sekali kepada kekuatan fizikal seperti mana dikehendaki daripada pekerja buruh. Di negara-negara Barat yang maju, seorang profesor dinilai di atas kewibawaan ilmunya dan bukan usia.

Berbalik kepada Masjuki, saya lihat pada 2006, sewaktu beliau masih menjadi pensyarah muda, jumlah rujukan mengikut Thomson Reuter kepada penerbitannya adalah lebih kurang 100 sahaja, berbanding dengan setelah beliau menjadi sangat matang pada usia 64 dan 65 tahun.

Ini bermakna bahawa pengalaman dan usia seseorang profesor mampu menaikkan kewibawaan seseorang profesor, kalau aktif dan kreatif. Ini sekali gus boleh menaikkan nama atau kedudukan (ranking) universiti yang mana beliau berkhidmat.

Oleh kerana kerja-kerja penyelidikan awal seseorang profesor itu akan terus dirujuk beberapa tahun kemudiannya, maka universiti akan terus mendapat manfaat melalui peningkatan kedudukan (ranking) universiti walaupun seseorang profesor itu telah bersara.

Saya sarankan supaya pihak berkuasa Kementerian Pendidikan Tinggi mengkaji tahap kekuatan setiap fakulti dalam setiap universiti dari segi kewibawaan kakitangan akademik, terutama sekali setiap Fakulti Pergigian yang ada di universiti awam.

Kenaikan pangkat di dalam sesebuah universiti tidak harus diasaskan hanya kepada kekuatan penyelidikan dan penerbitan sahaja. Sumbangan selainnya seperti pe­ngajaran, pentadbiran dan sumbangan kepada masyarakat hendaklah dikira sebaik-baiknya.

Benarlah sesetengah universiti meletakkan pemberatan kepada setiap sumbangan yang dinyatakan di atas. Tetapi janganlah kalau satu sumbangan itu terendah markahnya daripada yang dimahukan, tetapi pada ke­seluruhan markahnya adalah tinggi, maka kakitangan seperti ini janganlah dinafikan daripada kenaikan pangkat. Begitulah juga halnya di dalam perkiraan untuk me­nganugerahkan seorang profesor yang telah bersara menjadi profesor emeritus.

Seperkara lagi, kriteria bagi setiap disiplin atau fakulti tidak boleh disamaratakan dalam pertimbangan kenaikan pangkat kerana setiap bidang tidaklah sama. Untuk menghasilkan sesuatu penerbitan di dalam sesetengah bidang tidaklah semudah berbanding dengan bidang yang lain. Umpamanya untuk menghasilkan penerbitan dalam bidang Matematik amatlah sukar. Kakitangan akademik mengetahui dan faham hal ini.

Sewaktu saya berjawatan profesor dan dianugerahkan gelaran Dato’ dulu, saya memakai nama ‘Dato’ Profesor Hashim Yaacob’. Ramai bertanya mengapa tidak ‘Profesor Dato’ Hashim Yaacob’, seperti mana selalu digunakan orang lain.

Saya berpendapat bahawa yang saya pakai itu adalah betul. Gelaran dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan A­gong atau Sultan hendaklah didahulukan daripada gelaran yang diberikan oleh Lembaga Pengarah Universiti.

Itu sebabnya pada zaman dahulu orang menyebut ‘Dato Bendahara’ atau ‘Dato Laksamana’ dan bukannya ‘Bendahara Dato’ atau ‘Laksamana Dato’. Saya ingin me­ngukuhkan pendapat saya ini dengan merujuk kepada Surat Pekeliling Am Kerajaan Bilangan 4 Tahun 2014 yang menyatakan pemakaian anugerah seperti berikut:

YBhg Tan Sri Prof Dr. diikuti dengan nama.

YBhg Datuk Prof Madya diikuti dengan nama.

DATUK PROFESOR EMERITUS HASHIM YAACOB ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM).