Peringkat pertama, alam roh. Sebelum manusia itu dilahirkan, roh sudah ditetapkan dan dimasukkan ke dalam jasad. Dalam alam roh manusia berjanji dengan Allah SWT untuk memberikan ketaatan. Dalam surah Az-Zumar ayat 6 Allah berfirman yang bermaksud, “Ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita.”. Bermula dengan ciptaan pertama apabila bersatunya mani antara lelaki dengan wanita lalu menjadi nutfah. Kemudiannya nutfah menjadi segumpal darah yang disebut alaqah. Seterusnya alaqah bertukar menjadi segumpal daging, iaitu mudghah. Dalam bentuk yang tiga ini, (nutfah, alaqah dan mudghah) manusia dalam kandungan ibu akan berada dalam tiga suasana gelap. Pertama, gelap dalam rahim. Kedua, gelap dalam tuban-tuban atau selaput pembungkus janin yang dikelilingi air ketuban. Ketiga, gelap dalam perut ibu.

Peringkat kedua, dalam rahim ibu. Semasa dalam alam rahim manusia itu sangat baik, sangat taat dan tidak tahu melakukan kejahatan. Tidak ingkar akan perintah Allah serta tidak pernah persoalkan apa-apa perkara yang berlaku. Di saat itu manusia benar-benar suci daripada dosa. Tetapi, mengapakah ada di antara manusia selepas dilahirkan terutama ketika dewasa berperangai buruk, tidak seperti fitrah kejadian mereka?

Peringkat ketiga, apabila dilahirkan manusia itu akan berada di alam nyata dan di peringkat ini mereka digelar bayi. Hakikatnya tiada seorang bayi pun yang dilahirkan tahu melakukan kejahatan. Seorang bayi itu adalah suci ibarat sehelai kain putih. Manusia yang normal fikiran dan emosinya pasti akan tenang apabila melihat bayi. Semua pandangan positif terhadap bayi adalah kerana mereka adalah sumber doa yang baik. Mereka amat dekat dengan Allah dan bersih suci daripada sebarang dosa. Ibu bapalah yang memberikan warna kehidupan kepada seorang bayi sama ada mengekalkan kesuciannya atau menghitamkan kehidupannya selain faktor sekeliling yang mempengaruhinya.

Peringkat keempat, manusia berada di alam barzakh selepas kematiannya. Pada peringkat kehidupan ini manusia akan meninggalkan dunia yang amat melalaikan. Menurut Saidina Ali r.a terdapat enam perkara berkaitan dengan keseronokan dunia. Enam perkara itu ialah yang dimakan, diminum, dipakai, dicium, ditunggangi dan yang dikahwini. Maka, janganlah seseorang itu berduka cita apabila kehilangan duniawi, kerana duniawi itu tidaklah sehebat mana.

Peringkat kelima, apabila tiba hari kiamat. Itulah destinasi hidup yang sebenar dan kekal. Di akhirat setiap manusia akan disoal tentang amalan semasa di dunia. Jika di dunia lebih banyak bersuka ria, tunggulah balasan azab daripada Allah. Jom renung dan auditlah diri serta nilailah minda dan hati dengan merenung di mana peringkat kehidupan kita sekarang? Sekiranya tahu, kita mudah membuat pilihan tentang corak kehidupan yang dimahukan sama ada ketika di dunia mahupun akhirat.

Masa hadapan dilakar pada hari ini. Segala yang dilakarkan, itulah yang bakal dinikmati keindahannya pada masa hadapan. Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza dan mempunyai wawasan tersendiri dalam mencorakkan kehidupannya. Justeru, seseorang itu perlu melakarkan peta kehidupannya sendiri untuk menuju ke arah sasaran. Terdapat empat perkara yang perlu dilakukan sebelum melakar peta kehidupan berkenaan.

Pertama, sebelum melakar peta tersebut, seseorang itu mesti tahu di mana dia berada sekali gus memudahkan proses untuk bermula. Dia perlu tahu tentang keadaan fizikal, mental, kewangan, hubungannya sesama manusia dan hubungannya dengan Allah. Kedua, perlu tahu arah tujuan. Contohnya sebagai orang Islam perlu pastikan tujuan hidup yang mana paling utama adalah untuk mendapatkan husnulkhatimah dan hidup yang dirahmati Allah di negeri abadi iaitu bukan hanya sekadar mengecapi kebahagiaan, ketenangan, kesihatan serta kekayaan di dunia.

Ketiga, perlu tahu cara mana untuk menuju ke destinasi lakaran peta kehidupan. Sebagai contoh, perlu mempunyai kesihatan yang baik. Jika kita mahu tingkatkan kerohanian, tubuh badan mesti baik dan sihat. Keempat, perlu lakarkan corak peta kehidupan berkaitan kewangan. Dalam soal mencari rezeki pastikan pekerjaan dilakukan itu mengikut jalan yang Allah reda. Biarlah hidup dengan rezeki yang sedikit tetapi mendapat keberkatan.

Keberkatan ini bermaksud, rezeki yang diperoleh sedikit tetapi manfaat dan berkatnya berpanjangan. Jika rezeki berlebihan pula, kita bermurah hati untuk infak rezeki tersebut kepada orang lebih memerlukan. Pastikan peta kehidupan yang dilakar itu bermula dengan persediaan untuk menghadapi kehidupan di akhirat dan berakhir dengan kemuncak kebahagiaan yakni mendapat balasan syurga-Nya.

Apapun peta kehidupan yang menjadi wawasan hidup ini kalau boleh biarlah dilakarkan dengan skrip kehidupan. Skrip yang ditulis berkaitan dengan sasaran kehidupan. Jika hanya peta kosong sahaja dan seseorang itu tidak tahu apa yang hendak dilakarkan, maknanya dia tidak memiliki cita-cita. Orang yang tidak ada cita-cita ialah orang yang tidak ada matlamat hidup. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.