Mungkin anda masih baharu dalam perniagaan atau pun gagal dalam beberapa strategi media sosial sebelum ini, jadi tidak salah untuk terus mencari strategi yang paling tepat untuk mendapatkan hasil yang lumayan. Di luar sana, peperangan amat sengit, dan ini menjadikan pencarian anda amat penting.

Untuk menguatkan apa jua strategi yang anda bakal gunakan nanti, cuba sebaik-baiknya untuk elak 8 tabiat ini. Ia dikatakan amalan terbaik dalam pemasaran digital tetapi saya lihat ia sebaliknya. Saya tidak pernah mengikuti ke­semua ini tetapi masih boleh mendapatkan kualiti trafik pengunjung yang baik yang juga pengikut media sosial saya untuk dijadikan pelanggan berbayar.

1. Muat turun status di media sosial cuma berkesan pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Ini yang paling menarik. Anda pasti selalu dengar “Cuma muat turun status di media sosial pada waktu orang nak pergi kerja, waktu makan tengah hari, waktu mereka pulang ke rumah dari tempat kerja dan selepas waktu makan malam. Mesti menjadi punya.” Ini kata mereka. Saya biasanya sibuk pada siang hari, selalu saya akan memuat turun status saya di media sosial pada tengah malam atau awal pagi. Hasilnya, masih boleh dibanggakan. Ia masih lagi mendapat perhatian dan mempunyai tahap engagement yang tinggi.

2. Cuma muat turun 3-4 status sahaja seminggu.

Kalau setakat 3-4 status sahaja setiap minggu, anda akan kehilangan peluang besar untuk dilihat oleh lebih ramai orang. Tidak mengapa sekiranya anda mempunyai lebih dari tiga atau empat status untuk dimuat turun dalam sehari, malah lebih bagus. Kalau tak percaya, cubalah.

3. Hanya muat turun status yang profesional untuk LinkedIn.

Mereka kata tidak sesuai untuk memuat turun status berbentuk peribadi di LinkedIn. Di sini, semuanya golongan profesional sahaja melepak jadi tidak sesuai untuk status sebegitu. Anda tidak perlu menjadi jenama yang membosankan seperti mereka. LinkedIn sebenarnya menawarkan tahap engagement yang tinggi sekiranya ia lebih beremosi, tidak kira status tersebut berbentuk profesional ataupun peribadi. Dan emosi biasanya datang dari status yang lebih peribadi.

4. Status media sosial yang baik mampu menarik pengikut.

Ini separuh tepat. Apa yang menarik orang ramai untuk mengikuti anda di media sosial ialah bagaimana anda membantu mereka menyelesaikan masalah kehidupan mereka di pejabat atau pun di rumah. Mungkin status media sosial yang baik, mungkin juga interaksi anda dengan mereka, mungkin jawapan anda di ruangan pesanan terus atau mungkin juga melalui percakapan di telefon.

5. Anda perlu ada di setiap platform media sosial.

Jangan dengar cakap mereka tentang ini. Yang penting ialah anda perlu berada di platform di mana sasaran pengguna anda ber­ada. Itu sahaja.

6. Facebook hanyalah untuk orang-orang ‘tua’.

“Orang zaman sekarang sudah tidak pakai Facebook lagi, semua orang kini di Instagram,” kata mereka. Kalau di Instagram semuanya tidak berduit dan tidak akan membeli produk yang anda jual, bukankan membuang masa sahaja? Langkah terbaik ialah jangan meniru jenama-jenama yang hanya nampak gah di Instagram tetapi realitinya gagal membuat jualan yang baik. Lebih baik anda menghabiskan masa di platform di mana bakal pembeli anda berada. Saya lebih banyak fokus di LinkedIn dan jarang di tempat lain, kerana di situ pasaran saya berada.

7. Laman web tidak lagi pen­ting sebab media sosial ada.

Ini lagi kelakar. Mereka berkata laman web sudah ketinggalan zaman, tiada siapa yang akan mencari anda di sana. Anda jangan percaya sama sekali dengan dakyah sebegini. Di media sosial, anda membina pengikut dan mereka akan ke laman web anda untuk membuat pengesahan tentang apa yang anda selalu canangkan di media sosial. Di samping itu, Google juga akan membawa bakal pelanggan yang anda tidak pernah kenal kepada anda melalui laman web. Tanpa laman web, Google akan ‘melayan’ anda seolah-olah mereka kenal tak kenal sahaja. Apabila ini terjadi, ranking anda juga akan terjejas.

8. Orang mencari dan jumpa anda melalui hashtag sahaja.

Kalau dahulu di Twitter ini mungkin benar tetapi kini, anda tidak perlu lagi berhashtag berlebih-lebihan di sana-sini kerana orang ramai sentiasa boleh mencari di ruangan kotak pencarian Twitter tanpa sebarang hashtag.