Mereka mendengar berita satu rombongan sarkas akan datang dengan membawa bersama seekor binatang ajaib bernama gajah. Naluri ingin tahu mereka melonjak kerana selama ini mereka belum pernah melihat rupa atau mengenalinya. Bahkan nama gajah pun mereka belum pernah dengar.

Kata sepakat diambil untuk menghantar wakil ke tempat itu. Salah seorang berkata: “Meskipun kita buta tapi kita masih boleh mengenalinya dengan cara meraba.”

LOGO Parti Perikatan dianggotai UMNO, MCA dan MIC yang diasaskan
LOGO Parti Perikatan dianggotai UMNO, MCA dan MIC yang diasaskan 

Perwakilan yang dilantik terus ke tempat itu. Sebaik sahaja sampai, masing-masing terus memainkan peranan. Ada yang terpegang kaki gajah. Ada terpegang gading dan sebahagian lain memegang telinga gajah.

Setelah puas meraba, mereka pun kembali ke kampung. Mereka dihujani pelbagai pertanyaan oleh orang-orang buta yang tidak pergi dan ingin mengetahui bentuk gajah ‘ajaib’ itu.

Orang yang terpegang kaki gajah mengatakan gajah itu seperti tiang besar, kesat tapi lembut pada sentuhan. Kenyataan itu dibantah keras oleh orang yang terpegang gajah pada gading. Dia mengatakan gajah tidak kesat, tidak lembut dan jauh sekali dari berbentuk seperti tiang seperti dilaporkan orang pertama. Sebaliknya katanya gajah keras dan licin dan hanya sebesar galah saja.

Kenyataan ini disanggah pelapor ketiga yang memegang gajah pada telinga. Dia bersetuju dengan pelapor pertama yang mengatakan gajah itu kesat dan lembut. Tapi tidak bersetuju bentuknya seperti tiang atau galah. Dia menegaskan gajah itu kesat, lembut dan saiznya hanya seperti kulit terkembang yang tebal sebesar dulang.

Orang-orang buta lain yang mendengar cerita mengenai bentuk gajah itu melopong kebingungan.

Kalau diambil kisah si buta dan gajah, seeloknya MCA ambil teladannya.

Memang pelik bagi sebuah parti yang kalah hatrik dibolosi (tiga gol) oleh DAP (PRU 2008, 2013 dan 2018), boleh mencanangkan supaya Barisan Nasional (BN) dibubarkan.

MCA! buka matalah sikit, cermin diri anda dahulu. Pada 9 Mei lalu, parti anda hanya menang satu daripada 39 kerusi Parlimen dan dua daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri. Itu kekalahan paling teruk dalam sejarah 69 tahunnya. Kalau nak rekodkan dua pilihan raya lepas, buat jatuh air muka sahaja.

Sebenarnya, malas hendak komen pasal prestasi MCA ini. Semua rekod kegagalan ada dalam google.

Cuma, lebih memalukan setelah ‘bungkus habis’ 9 Mei lalu, MCA ugut pula tidak akan bekerjasama dengan UMNO jika menjalin kerjasama dengan Pas.

Eh! Macam mana boleh keluarkan amaran terhadap sebuah parti Melayu yang memiliki kerusi Parlimen terbesar. Ada ke tidak parti dalam Pakatan Harapan yang jumlah kerusinya mengatasi UMNO? Ada, iaitu PKR sebanyak 50 kerusi, lebih dua kerusi sahaja daripada UMNO. Tetapi PKR berbilang kaum.

Pas? Jauh sekali Pas tinggalkan MCA dari segi jumlah kerusi? Pas, 18 kerusi Parlimennya, MCA, berapa?

Jadi, elok saja Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang baru sahaja menang kerusi presiden kembali menghayati kisah ‘si buta dan gajah tadi’.

Setiap orang buta tadi menceritakan versi yang berbeza adalah kerana masing-masing telah memegang bahagian gajah yang berbeza. Gajah sebenarnya mempunyai kesemua ciri mereka sebutkan. Dan setiap seorang daripada si buta tersebut adalah ‘betul sebahagian’ dan mereka juga sebenarnya ‘salah keseluruhan’ (Each of the blind men was partly right, but they were all mostly wrong).

Maka terpulanglah kepada faktor kebijaksanaan MCA untuk menamatkan ‘persepsi’ berkaitan survival BN yang berusia 61 tahun itu.

Jangan tidak pasti hala tuju. Atau barangkali elok saja MCA bercantum dengan DAP.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pun telah berpendirian bahawa komponen BN yang kini dianggotai UMNO, MCA, MIC, MyPP dan PBRS perlu membuat keputusan kolektif dalam menentukan masa depan BN.

Bukan memandai-mandai ya MCA?