Apabila saya melangkah masuk ke pejabatnya di Kementerian Pertahanan Khamis minggu lalu, dia berada di kerusi meja menterinya. Sepantas kilat saya teringat kepada Hishammuddin Tun Hussein yang juga duduk di tempat yang sama, kira-kira lima bulan sebelum itu.

Ketibaan saya dan 14 delegasi alumni ITM-UiTM (PAUiTM) disambut cukup mesra sekali. Kami dilayan dengan cukup baik. Beliau kelihatan terkelu, terharu dengan kunjungan kami. Mat Sabu adalah bekas pelajar jurusan Teknologi Makanan (Food Tech) ITM 1974.

“Ia mengimbau semula semasa saya di ITM dulu,” katanya yang enggan dikenali sebagai YB tapi “panggil saja saya Abang Mat.”

Saya memberitahunya para alumni ITM cukup bangga dengan pencapaiannya kerana siapa sangka “siswa yang terbabit dalam demo satu ketika dulu, disumbat dalam lokap, dipecat daripada pengajian, kontroversi sepak terajang politik, kini menjadi Menteri Pertahanan”.

Dia kemudian menyampuk “itu pasal saya suka dengan cara cikgu besar kami masa itu Arshad Ayub. Kalau kita salah dia tak cepat nak menghukum. Dia bagi nasihat.”

“Begitu juga apabila Pakatan Harapan memerintah, banyak kakitangan awam yang takut, tapi saya bagi tau mereka bukan cara kami nak menghukum mereka. Kami tak suka buang orang,” katanya bersungguh-sungguh.

Sebelum pulang, saya sempat berbisik ke telinga beliau “betul ke Bang Mat (ketua bahagian UMNO ini) akan masuk Amanah.”

Dengan pantas sambil ketawa kecil, katanya “itu confirmed!”

Semasa tulisan ini sedang ditaip petang Isnin lalu, saya menerima perkhabaran ini:

“Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee mengumumkan keluar daripada parti sebentar tadi.”

Syed Ali, yang dikenali sebagai warlord UMNO, menyertai Amanah!

Sebagai penganalisis politik selama berpuluh tahun, saya hanya tersenyum.

Saya difahamkan ramai lagi. Benarkah? Itulah politik.

(Minggu depan saya akan tulis mengenai apa ertinya “talam dua muka” dan siapa itu “talam dua muka”)


PELIHARALAH HUTAN KUALA LUMPUR

BENARKAH hutan-hutan simpanan kebanggaan warga kota Kuala Lumpur, yang terletak di Bukit Tugu, Jalan Bukit Ledang dan mungkin juga Bukit Petaling mahu dijual kepada pemaju?

Jika benar ia cukup malang sekali. Sepatutnya bukit-bukit itu dijadikan kawasan rekreasi dan hijau, bukannya mahu diratakan untuk kondo mewah.

Benarkah laporan mengatakan Jakel Land telah membeli tanah di belakang kawasan Istana Negara berdekatan Jalan Bukit Ledang dengan harga yang rendah? Baca: http://www.theedgemarkets.com/article/newsbreak-prime-land-near-istana-negara-sold-jakel-land

Siapa yang membenarkan penjualan itu? Mengapa soal alam sekitar KL, lingkaran hijau, soal penyerapan haba panas, tangki oksigen kota raya ini mahu dikompromi?

Ayuh warga kota, jika benar, saya ulangi, jika benar ada cubaan itu, bersatulah untuk menghentikannya.

Kita tidak mahu lagi melihat bangunan-bangunan tinggi dan kondo dibina. Sudahlah jalan-jalan sesak bagai nak gila, perancangan bandar KL sudah menjadi lintang-pukang.

Jika orang politik yang membuat keputusan itu dulu, kerajaan sekarang kena hentikanlah.

DBKL kena tumpukan usaha banyakkan kawasan hijau dan pemuliharaan bangunan-bangunan lama di KL ini. DBKL kena fokus. Belajarlah daripada bandar raya Singapura atau Central Park di New York mahupun Hyde Park, London. Mereka menjadikan taman-taman itu sebagai ‘harta awam’ dan ikon bandar raya.

Saya tak ada terlepas ke Taman Botanikal Singapura setiap kali ke republik itu. Tirulah cara mereka. Libatkan dengan warga kota. Bukannya mahu melenyapkan bukit-bukit itu.

Soal alam juga adalah soal politik. Jangan cuma tumpu soal politik kepartian sahaja. Cerdiklah sikit!

(Nota: Zaini Hassan pernah membongkar kemusnahan Taman Pertanian Bukit Cerakah Shah Alam dulu. Ramai yang tersentak ketika itu.)

ALAHAI SST...

SATU petang baru-baru ini saya singgah ke sebuah kedai bagi membeli kuih.

Kedai itu terletak di Seksyen 13 Shah Alam. Saya tidak singgah pun untuk minum dan makan. Saya bungkus dan bawa balik. Ia dikenali sebagai take away.

Jadi sepatutnya dalam resit SST tiadalah caj perkhidmatan atau service charge. Betul dalam resit tiada caj dikenakan.

Selepas di kedai itu, saya ke kedai sebelahnya pula.

Sama seperti di kedai sebelah, 
saya tapau atau bungkus sambal kerang dari kedai itu. Maka, pekerja tak perlu membawa minuman kepada saya atau mengangkat pinggan dan membersihkan meja saya.

Apabila tiba di kaunter dan lihat resit, ia mencatatkan caj perkhidmatan sebanyak 6 peratus.

Saya tanya dengan juruwang mengapa kena caj sedangkan kedai sebelah tidak kena.

Dia kata ‘memang kena bayar’. Walaupun 54 sen, sebagai pengguna itu wang saya. Mengapa sistem SST ini tidak standard?

YB Guan Eng sila selesaikan soal kecil ini segera.