Tidak hanya itu, seekor tapir betina pula dilaporkan tersesat di kawasan perumahan Lavender Heights, Senawang, Negeri Sembilan dan terbaharu selepas seekor rusa dilanggar di Kemaman, seekor gajah betina pula dilaporkan mati dilanggar sebuah treler di Hulu Terengganu.

Kes-kes kematian dan hidupan liar berkeliaran sekitar penempatan manusia bukanlah perkara baharu, namun ia dilihat berterusan berlaku. Boleh dikatakan hampir ke semua spesies haiwan berkenaan adalah spesies yang sangat terancam.

Apa yang jelas, habitatnya sudah kian parah menyebabkan mereka sudah tiada hala tuju. Perkampungannya dahulu sudah bertukar lebuh raya, kawasan perumahan, estet dan kawasan perladangan. Pertukaran status, pembukaan kawasan hutan tidak dapat dielak lagi kerana pembangunan merupakan sebahagian daripada keperluan negara. Yang benar-benar tidak boleh diusik hanyalah kawasan-kawasan hutan yang telah digazetkan untuk pelbagai tujuan.

Selebihnya, terpulang kepada kita. Pun begitu, kesedaran orang ramai terhadap hidupan liar dilihat kian meningkat, ramai yang ambil berat. Jika tidak masakan berita penemuan hidupan liar dengan mudah tersebar dan tular. Si Awang Besul contohnya sempat menjadi ‘bintang’, dikerumuni orang kampung walhal ia raja rimba yang amat digeruni. Pelik tapi benar, orang sudah tidak takut, malah kagum jika bertembung dengannya. Biarpun tiada siapa yang tahu mengapa tabiat Awang Besul agak berlainan daripada harimau lain, mudah mesra, walhal ia sebenarnya telah ‘gila’ akibat menderita sakit yang kronik.

Respon orang ramai terhadap berita-berita berkaitan hidupan liar juga mendapat perhatian yang tinggi dalam kalangan masyarakat. Sungguh, itu sebenarnya merupakan petanda yang baik, mengapa? Masyarakat kita sudah semakin prihatin, cuma masih kurang jelas apa yang boleh mereka buat untuk bantu haiwan-haiwan liar tersebut. Di sini badan bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi yang terlibat serta individu-individu berkaitan perlu terus memainkan peranan mereka.

Pawagam di seluruh negara sedang menayangkan filem terbaharu Disney, The Lion King, sebuah karya lama diberi nafas baharu. Filem asalnya adalah sebuah kartun, kini dibikin semula dengan rupa bentuk haiwan yang real. Filem ini sebenarnya sangat baik untuk menerapkan pendidikan berkenaan hidupan liar kepada kanak-kanak seawal usia. Golongan inilah yang perlu diberikan pendedahan betapa pentingnya hidupan liar dan habitat mereka dilindungi sepenuhnya.

Terbaharu, ada yang mencadangkan agar segala program melibatkan hidupan liar dilipat ganda, antaranya pelancaran tabung selamatkan Harimau Malaya, melakukan rondaan habitat sensitif harimau belang bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh NGO seperti Persatuan Pencinta Alam (MNS), MyCats, WCS (Wildlife Conservation Society), Tabung Alam Sedunia (WWF) dan ramai lagi.

Menurut NGO-NGO ini, masyarakat perlu ditanamkan rasa kepunyaan (sense of belonging) terhadap setiap hidupan liar dan habitat mereka, barulah akan ada kesedaran yang menyeluruh dari segenap lapisan usia. Apabila tiada perasaan kepunyaan, mereka tidak peduli apa pun yang akan terjadi kepada haiwan-haiwan tersebut.

Ayuh! Kita masih belum terlambat untuk selamatkan hidupan ini.