Belia dan remaja hari ini adalah generasi pewaris masa depan negara. Jadi, jika inilah hala tuju dan fokus mereka, cuba bayangkan apa akan terjadi kepada masyarakat dan negara kita suatu hari kelak. Justeru, semua pihak perlu memberi perhatian serius untuk menangani masalah sosial dalam kalangan anak muda ini sebelum ia terus menjadi virus yang sukar diubati kelak.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan statistik 577 kes pembuangan bayi direkodkan dalam tempoh empat tahun sehingga tahun lepas (2018). Antara punca yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kes pembuangan bayi adalah kehamilan luar nikah dan kehamilan remaja.

Masyarakat juga digemparkan dengan berita penahanan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang disyaki merogol budak perempuan berumur empat tahun yang diasuh ibunya di rumah mereka. Hasil siasatan mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu akibat terangsang melihat video dalam telefon bimbit.

Dalam satu lagi kejadian, tiga lelaki masing-masing berumur 24, 23 dan 21 tahun mengaku merogol seorang pelajar tingkatan tiga. Di samping itu, bilangan kanak-kanak dan remaja yang lari dari rumah terutama mengikut kekasih juga cukup memudaratkan. Itu belum lagi kes di mana pelajar didapati membeli dan meminum minuman keras serta menghisap rokok dan vape. Malah rekod polis juga menunjukkan sebanyak 392 pelajar sekolah serta universiti awam dan swasta ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan dadah dari Januari hingga April tahun ini.

CABARAN GETIR IBU BAPA

Jelas di sini, ibu bapa sekarang berhadapan cabaran cukup berliku dalam membesarkan anak-anak. Kemunculan internet dan pelbagai kemudahan media sosial mengeruhkan lagi keadaan. Masyarakat secara keseluruhannya sedang mengalami masalah sosial yang cukup kritikal dan tenat.

Di samping internet, antara punca lain ialah pengaruh rakan sebaya, kurangnya didikan ilmu agama serta kawalan lemah daripada ibu bapa dan berasal dari latar belakang keluarga bermasalah. Jadi jika kita mahu tangani dan atasi masalah sosial seperti ini dari peringkat akar umbi, maka kita perlu fokus untuk tangani punca terlebih dahulu. Jika tidak apa jua langkah pembetulan yang diambil pasti akan sia-sia sahaja.

PERBAIKI RUMAHTANGGA

Kita faham, ibu bapa juga agak sibuk dengan urusan kerja demi mencari rezeki untuk keluarga. Jadi mahu tidak mahu antara benteng yang paling baik ialah berilah didikan agama sewajarnya kepada anak-anak supaya mereka mampu berdikari dan boleh membezakan antara yang betul dan salah walaupun tanpa pemantauan rapat ibu bapa.

Ironinya, semua masalah membabitkan belia ini berlaku ketika kita sedang membuka peluang golongan berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi, malah kerajaan juga baru-baru ini turut mendapat kelulusan untuk menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun. Agak mengecewakan jika belia yang diletakkan harapan yang tinggi oleh masyarakat dan negara terbabit dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah. Marilah kita berganding bahu menangani masalah ini dengan segera.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).