Sementelahan perbuatan rejim itu sentiasa mendapat sokongan sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat (AS) terutama di bawah Presiden Donald Trump. Sebagaimana biasa, rejim Israel memberi alasan tindakan mereka adalah sebagai mempertahankan diri daripada serangan kumpulan Hamas. Walhal satu dunia tahu, hakikatnya adalah sebaliknya.

Selepas merampas dan menguasai sebahagian besar geografi Palestin, Trump mencetus konflik baharu apabila secara rasmi mengisytihar Bukit Golan yang terletak dalam wilayah Syria milik rejim Zionis dan berada dalam kedaulatan Israel. Ini bakal meletakkan Syria menerima nasib yang sama dengan Palestin apabila satu persatu wilayahnya dijajah Zionis.

Bagi kita di Malaysia yang tidak mampu membantu secara fizikal atau berjuang mengangkat senjata membantu saudara seagama di Palestin, paling tidak marilah kita mendoakan keselamatan mereka.

Ini supaya mereka terhindar daripada kekejaman dan kerakusan rejim Zionis. Palestin adalah bumi istimewa yang di dalamnya berlaku peristiwa Israk dan Mikraj baginda SAW.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jua Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (al-Israk- 1).

Selain itu, Masjid Al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum Allah memerintahkan kita berkiblatkan Kaabah.

Antara usaha yang boleh kita amalkan untuk membantu Muslim di Palestin adalah membaca Qunut Nazilah.

Qunut membawa maksud berdoa ketika berdiri dalam solat. Nazilah pula ertinya musibah yang sangat berat. Ia adalah satu daripada tiga jenis qunut yang sunat dibaca dalam solat mengikut Mazhab Syafie selain qunut dalam solat Subuh dan qunut mulai malam ke-16 dalam solat witir bulan Ramadan.

Qunut Nazilah sunat dibaca ketika umat Islam didatangi bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak, diserang musuh, belalang dan sebagainya.

Qunut ini pernah dibaca Rasulullah SAW ketika kejadian pembunuhan beramai-ramai 60 penghafaz al-Quran selama sebulan. Ia berdasar hadis berikut yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW telah membaca doa qunut pada waktu selain dari Subuh ketika turunnya sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya para penghafaz al-Quran. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Qunut Nazilah disunatkan pembacaannya pada tiap-tiap kali solat fardu. Ini termasuk solat fardu Jumaat iaitu ketika iktidal rakaat akhir setelah membaca tahmid (zikir ketika iktidal) untuk menolak kecelakaan, bala bencana atau bahaya yang menimpa umat Islam. Apabila bahaya yang mengancam itu berakhir, maka tamatlah pembacaan qunut itu.

Ketika menjelaskan kedudukan hukum doa Qunut Nazilah di dalam sembahyang fardu dan apakah bentuk malapetaka itu, Imam An-Nawawi berkata: “Menurut mazhab Syafie bahawasanya doa qunut itu sunat (dilakukan) di dalam sembahyang fardu Subuh secara berkekalan.

Adapun selain sembahyang Subuh, ada tiga pendapat mengenainya. Pendapat yang sahih lagi masyhur ialah bahawasanya jika berlaku mala petaka seperti (bahaya) musuh, kemarau, wabak penyakit, kehausan, bahaya yang jelas berlaku ke atas umat Islam dan seumpamanya maka (sunat) mereka membaca Qunut Nazilah pada keseluruhan sembahyang fardu dan jika tidak maka tidaklah (disunatkan qunut tersebut)”. (Syarah Sahih Muslim: 2/319)

Apabila kita melihat insiden-insiden dan pelbagai pergolakan yang terjadi pada masa ini, apa yang nyata ialah umat Islam pada hari ini sedang menghadapi berbagai-bagai tekanan dan penindasan oleh orang kafir.

Nyawa penduduk Palestin sangat murah bagi rejim Zionis. Hampir setiap hari ada saja berita pembunuhan rakyat Palestin di tangan Yahudi itu. Kezaliman mereka di bumi Palestin yang mereka rampas itu sudah ke tahap bermaharajalela.

Itu belum lagi mengambil kira kemusnahan harta benda penduduk. Qunut Nazilah itu pula bukan hanya disunatkan untuk dibaca oleh orang Islam yang ditimpa malapetaka, bahkan ia juga sunat dibaca oleh mereka yang tidak terlibat atau terkena malapetaka itu iaitu untuk mendoakan saudara-saudara Islam mereka semoga terlepas dan selamat daripada musibah dan bencana yang menimpa mereka.

Hal ini ada dijelaskan oleh as-Sayyid al-Bakari sebagaimana perkataan Bujairimi yang dinaqal beliau katanya: “Maka disunatkan bagi penduduk suatu daerah yang tidak ditimpa sesuatu bencana melakukannya (membaca Qunut Nazilah) untuk orang yang ditimpa bencana”. (Hasyiyah I’anah ath-Thalibin: 1/257)