LIMA lonjakan diumumkan kerajaan baru-baru ini bagi mentransformasikan sistem TVET akan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan dan ekonomi negara. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Hakikatnya kita perlu me­ngorak langkah ke hadapan untuk melihat hala tuju landskap dan pembangunan negara dalam pelbagai sektor sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 atau 30 tahun yang akan datang. Kita sedar bukan mudah untuk mencapai dan mengekalkan status negara maju ber­pendapatan tinggi namun usa­ha dan langkah ke arah itu per­lu dimulakan dari peringkat akar umbi lagi.

Dalam konteks ini inisiatif untuk melatih anak muda tempa­tan mahir dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional adalah sa­ngat mustahak. Ini kerana kelompok anak muda inilah ba­kal memacu dan meneruskan ­ke­gemilangan negara ini pada masa akan datang. Dan kita juga perlu mengambil peluang dan membuat perancangan rapi supaya secara perlahan-lahan dapat mengurangkan pergantungan negara ini terhadap tenaga kerja asing yang terpaksa dibawa masuk bagi memenuhi keperluan pasaran kerja tempatan.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan lima lonjakan bagi mentransformasikan sistem TVET agar benar-benar berupaya menjadi agen perubahan dalam meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta ekonomi negara. Kita yakin langkah kerajaan ini dapat memastikan TVET menjadi pembekal tenaga kerja mahir negara sekali gus dapat menggantikan peranan pekerja asing.

Melalui lonjakan pertama, ke­rajaan akan melatih serta me­ning­katkan tenaga mahir tempatan secara berterusan daripada 28 peratus ketika ini kepada 35 peratus menjelang 2020 agar mereka menjadi kompetitif, berpeluang memiliki pekerjaan dan memperoleh pendapatan yang lumayan. Kerajaan juga merancang untuk melatih sehingga 300,000 rakyat Malaysia daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) mulai sekarang hingga 2025.

Lonjakan kedua pula bakal membentuk sinergi dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran dengan cara memperkukuh dan memperhebatkan lagi kerjasama strategik awam-industri. Kerjasama strategik sebegini diyakini mampu menjadi platform terbaik kepada rakyat untuk dilatih menjadi tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang kritikal yang diperlukan oleh industri dan juga negara.

Selanjutnya untuk lonjakan ketiga, kerajaan akan memberi fokus supaya melahirkan lulusan TVET dalam bidang perniagaan dan teknousahawan agar mereka bukan sahaja mampu mewujudkan peluang pekerjaan tetapi menjadi ikon kepada tenaga kerja tempatan selain berkebolehan bersaing di pentas antarabangsa.

Bagi lonjakan keempat pula iaitu melaksanakan program geran padanan, kerajaan memperuntukkan RM20 juta dalam Bajet 2017 di mana peruntukan kewa­ngan diberikan pada nilai yang setara dengan nilai sumbangan diterima daripada pihak industri melibatkan program-program TVET berimpak tinggi. Lonjakan kelima pula akan menjenamakan institusi TVET melalui TVET Malaysia yang mana menyaksikan kesemua institusi TVET di bawah pelbagai kementerian akan bersatu dan bergabung tenaga sebagai kerjasama unggul bagi melatih anak-anak mud menjadi tenaga kerja teknikal yang berkemahiran tinggi.

Penulis yakin kelima-lima lonjakan yang diumumkan ini hadir tepat pada masanya bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang diperlukan oleh industri dan negara bagi mengharungi fenomena Revolusi Industri 4.0 yang sedang hangat diperdebatkan di seluruh dunia.

Untuk itu, kita perlu memastikan pengisian dan pengolahan silibus pendidikan dan latihan yang diajar dalam setiap program TVET sentiasa terkini dan memenuhi keperluan pasaran tempatan dan juga piawaian antarabangsa. Malah bidang-bidang latihan yang ditawarkan juga perlu disemak dan dijenamakan semula secara menyeluruh su­­paya terus kekal re­levan di samping dapat menarik minat anak muda negara ini untuk menyertainya.

Dalam konteks ini ker­jasama strategik awam-industri yang ba­kal dibina melalui lonjakan kedua sepatutnya menjadi nadi dan tulang belakang hala tuju sistem TVET di negara kita. Malah industri juga dapat dilibatkan secara aktif untuk melatih kelompok pelajar secara praktikal.

Kita juga berharap menerusi lima lonjakan itu mampu membantu me­ngubah imej bidang TVET serta persepsi masyarakat terhadap sistem TVET yang selama ini dilihat sebagai sistem pendidikan kelas kedua ataupun tempat latihan kepada pelajar-pelajar yang kurang menyerlah dalam bidang akademik.

Ringkasnya, kita perlu ­me­­ya­kinkan belia dan masyarakat be­tapa TVET mempunyai masa de­pan yang cerah. Lulusan TVET bakal menjadi tulang belakang da­lam mengemudi negara ini men­jadi negara maju berpendapatan tinggi.

Jadi, kita berharap kelima-lima lonjakan yang diumumkan oleh kerajaan ini dapat diperhalu­si dan diperincikan secara serius sekali gus dilaksanakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Semoga sistem TVET dapat terus memacu daya saing tenaga kerja tempatan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).