Ini sekali gus membantu pengusaha tempatan terutama industri kecil dan sederhana (IKS) memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Langkah itu penting memandangkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merancakkan ekonomi negara dan dijangka menyumbang sebanyak 41 % kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Dalam pertemuan baru-baru ini dengan wartawan Utusan Malaysia, HAKIMI ISMAIL, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL menjelaskan peranan KPDNHEP menggerakkan KBBM.

DANA RM20 juta KBBM

Bagi menjayakan KBBM, KPDNHEP diberikan peruntukan RM20 juta oleh Kementerian Kewangan bagi membantu pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan mengembang serta merancakkan industri barangan tempatan. Ini akan menggalakkan rakyat membeli barangan buatan tempatan.

Peruntukan itu akan digunakan sepenuhnya secara khusus untuk membantu usahawan dan peniaga tempatan mengembangkan perusahaan dan perniagaan mereka selain mempromosikan pelbagai jenis produk buatan tempatan melalui pelbagai inisiatif strategik.

Pecahan anggaran perbelanjaan peruntukan KBBM adalah 50 % akan digunakan untuk penembusan pasaran bagi penyenaraian tetap produk-produk tempatan di pasar raya besar, kedai serbaneka dan pelbagai lagi platform lain.

Yuran penyenaraian ini digunapakai oleh pasar besar dan ini adalah cara atau kaedah kerajaan membantu untuk membolehkan produk buatan Malaysia mendapat tempat menarik di outlet.

Kementerian juga melakukan rundingan dengan pihak berkenaan untuk mendapatkan harga berpatutan agar penjimatan dapat dilakukan dalam memastikan perbelanjaan berhemah.

Kami juga menggunakan peruntukan 25 % untuk tujuan pengiklanan dan promosi secara menyeluruh di semua platform dan media, pengangkutan awam dan juga papan-papan iklan.

Baki 25 % lagi, kementerian akan gunakan untuk penganjuran karnival jualan KBBM di seluruh negara serta misi perdagangan mempromosikan produk Malaysia di luar negara.



SASAR 30 % PRODUK

Kementerian menyasarkan 30 % produk buatan Malaysia mendapat tempat di pasar raya besar tahun ini. Namun perlu diingatkan bahawa sambutan pasar raya besar berbeza-beza.

Sekarang ada produk yang berada di tahap sembilan $ dan 12 % ditempatkan di pasar raya besar. Jumlah peratusan itu belum lagi cecah 25 %, bagaimanapun kementerian yakin sasaran 30 % itu mampu dicapai.

Dalam memastikan produk buatan Malaysia mendapat tempat di pasar raya besar, usahawan tempatan perlu memainkan peranan dalam memastikan produk yang dikeluarkan mempunyai daya saing yang baik.

Ini kerana pasar raya besar cukup cermat dalam soal kualiti bagi menjaga imej mereka selaras standard antarabangsa. Ini termasuk dalam aspek pembungkusan dan pelabelan produk.

Tetapi tugas untuk bangunkan usahawan ini bukan sahaja terletak di bawah tanggungjawab KPDNHEP, malah semua pihak berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing.

EKSPO, KARNIVAL JUALAN

Karnival ini bukan seperti fiesta-fiesta besar kerana kami mahukan penjimatan. Maka pemilihan yang teliti untuk pempamer dilakukan kerana kami mengutamakan barangan buatan Malaysia yang mesti memenuhi kehendak pengguna.

Ini agar dapat menjamin keuntungan kepada usahawan tempatan. Sabah telah dipilih sebagai negeri pertama bagi karnival tersebut, dengan tuan rumahnya, Sandakan untuk mempromosi kempen beli produk buatan Malaysia.

Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan dengan lebih 120 usahawan tempatan mengambil bahagian memasarkan produk masing-masing.

Penganjuran seterusnya ialah di Queensbay Mall, Pulau Pinang dari 26 hingga 28 April ini, selepas itu di Port Dickson, diikuti Kedah. Peruntukan yang diberikan kepada kementerian perlu dihabiskan tahun ini, jadi penganjuran karnival ini akan dibuat di setiap negeri.

Karnival yang dianjurkan ini memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk memperkenal dan memasarkan produk-produk mereka.


INDUSTRI HALAL

Produk halal industri yang cukup besar. Bukan hanya melibatkan makanan dan minuman sahaja. Sekarang, sektor pelancongan, fesyen dan media juga ada standard halal tersendiri. Pasaran industri halal sangat besar.

Malaysia mempunyai reputasi yang sangat baik dengan ada institusi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sijil halal mendapat perakuan di lebih 45 buah negara.

Kerajaan hari ini tidak mahu berpuas hati dengan kejayaan itu semata-mata tanpa memberi tumpuan kepada bidang pengeluaran yang lebih baik.

Oleh itu, kementerian sentiasa membimbing usahawan tempatan contohnya dalam penyediaan produk makanan, minuman dan kosmetik untuk mendapatkan tanda halal untuk produk mereka.

Ramai yang tidak tahu sebenarnya KPDHEP turut memainkan peranan melalui Akta Perihal Dagangan dalam aspek pengeluaran sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim.



AIR ASIA

KBBM turut diperhebatkan dengan kerjasama KPDNHEP dengan syarikat penerbangan kos rendah, AirAsia Berhad (AirAsia) dalam melonjakkan produk-produk usahawan tempatan ke peringkat seterusnya.

Kerjasama itu antara lain membuka ruang kepada syarikat-syarikat tempatan berdaya saing yang dikenal pasti oleh kementerian untuk diketengahkan melalui platform-platform jenama milik AirAsia iaitu Santan dan T&CO serta laman e-dagang seperti Ourshop dan ROKKI.

Menerusi kerjasama itu, produk keluaran lebih 550 pengusaha tempatan akan ditawarkan melalui menu dalam penerbangan AirAsia tanpa sebarang caj penyenaraian.

Melalui kerjasama bersejarah ini, AirAsia akan memainkan peranan penting menawarkan platform yang dapat membantu usahawan tempatan mencapai jutaan pelanggan seluruh dunia.

Kementerian juga akan memainkan peranan menasihati usahawan terlibat tentang pengeluaran dan kawalan kualiti bagi membolehkan mereka menepati piawaian dikehendaki oleh AirAsia.