Namun beliau tidak melatah sebaliknya menyerahkan segala dakwaan itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan. Bercakap dengan wartawan Utusan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD di pejabatnya baru-baru ini beliau turut menegaskan bahawa Mara adalah agensi paling tinggi integritinya. 

Pada masa sama beliau adalah antara pemimpin paling lantang mengkritik cadangan kerajaan Pakatan Harapan yang didakwa mahu memecahkan fungsi Mara kepada beberapa kementerian berlainan.
 

UTUSAN: Baru-baru ini terdapat dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan memecahkan fungsi utama Mara di bawah beberapa kementerian lain. Apa pandangan Tan Seri tentang isu ini?

ANNUAR MUSA: Berdasarkan pemahaman saya, semua skop pendidikan dan institusi pendidikan Mara selepas ini akan diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan. Semua syarikat pelaburan Mara, entiti perniagaan Mara pula akan diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, manakala pusat-pusat latihan kemahiran seperti Giat Mara akan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan. Yang baki sahaja diletakkan di bawah pengurusan Kementerian Pembangunan Luar Bandar iaitu menjaga soal biasiswa dan tajaan pendidikan.

Adakah langkah ini sesuatu yang bertentangan terutama dari sudut perundangan serta matlamat asal penubuhannya?

Tindakan seumpama ini bercanggah dengan Akta Mara 1966 dan juga semangat penubuhan Mara. Langkah ini juga boleh dianggap sebagai membunuh Mara. Oleh itu, usaha ini perlu ditentang. Kewujudan Mara ini asalnya adalah daripada penubuhan RIDA (Rural & Industrial Development Authority).

Bagaimana pula Mara boleh diwujudkan?

Setelah lapan tahun merdeka iaitu sekitar 1965, berlangsung Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama. Dalam kongres itu telah timbul rasa tidak puas hati terhadap prestasi RIDA dalam membantu orang Melayu dan kaum bumiputera. Kongres itu ke­mudian meminta kerajaan me­wujudkan satu badan lain bagi menggantikan RIDA. Di situlah timbulnya syor agar diwujudkan Mara. Jadi Tun Razak Hussein pa­da waktu itu telah membawa satu usul di Parlimen untuk menu­buhkan Mara dan tutup RIDA. Mereka juga telah menetapkan Mara harus menjadi satu entiti turun temurun. Itulah perkataan yang digunakan bagi mem­be­la kepentingan dan kemajuan ekonomi, pelajaran, perdagangan kaum bumiputera. Maka lahirlah Akta Majlis Amanah Rakyat 1966.

Bagaimana pula hubung kait penubuhan Mara dengan Perlembagaan Persekutuan?

Jika kita lihat asas penubuhan Mara, perkataan Mara ini sendiri mendukung aspirasi istimewa bu­miputera berdasarkan kepada perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 ini juga menjadi trade off kepada kerakyatan yang diberikan kepada orang bukan bumiputera dan mesti menjadi satu vehicle amanah untuk memaju dan membela nasib kaum bumiputera.

Saya memegang jawatan Pe­ngerusi Mara selama kira-kira tiga tahun (2013-2016) dan Mara ditadbir oleh satu majlis yang dipengerusikan oleh pengerusi bukan eksekutif seperti mana kehendak Akta Mara 1966. Jadi pengerusi atas sifat peribadinya tidak ada sebarang kuasa. Kuasa yang ada terletak sepenuhnya di tangan majlis. Dalam kes Mara ini apa-apa perkara yang diputuskan dalam majlis akan diangkat kepada menteri untuk diluluskan. Ada kalanya juga dalam satu-satu hal khususnya melibatkan pelaburan, kewangan dan tanah perlu mendapat kelulusan Menteri Kewangan.

Tentang dakwaan penye­le­we­ngan dalam Mara, bagaimana isu ini boleh timbul?

Semuanya bermula apabila ter­cetusnya isu pembelian aset di Australia yang didakwa lebih tinggi daripada harga sebenar. Isu ini didedahkan oleh Naib Pre­siden PKR, Rafizi Ramli. Yang dimaksudkan dengan pembelian aset itu ialah pembelian aset pada 2012 oleh anak syarikat Mara ia­itu Mara Incorporated Sdn. Bhd. Syarikat ini dipengerusikan oleh bekas Bendahari UMNO Bahagian Semporna yang juga saudara kepada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal iaitu Datuk Mohammad Lan Allani. Banyak orang yang ti­dak tahu. Keduanya, proses pembelian aset itu telah melalui penilaian satu jawatankuasa pelaburan yang dipengerusikan oleh seorang lagi orang Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob. Sekarang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Wa­risan Sabah. Pada masa itu, Mohd. Shafie menteri yang bertanggungjawab terhadap Mara. Pengerusi Mara pula pada masa itu adalah Datuk Seri Idris Jusoh. Saya langsung tidak terlibat.

Apa yang berlaku seterusnya?

Jadi apabila perkara itu di­bangkitkan oleh Rafizi pada 2014, saya telah membawa isu itu da­lam mesyuarat majlis. Kemudian diputuskan agar kes itu tersebut disiasat oleh Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mesyuarat majlis juga membuat keputusan agar dilan­tik juruaudit luar iaitu PwC untuk membuat sia­satan secara audit dalaman dan audit forensik. Kita mahu kebenaran.

Cuma keputusan untuk melantik PwC itu telah dibatalkan oleh menteri berkaitan ketika itu. Menteri berpendapat memadailah dengan adanya siasatan SPRM. Disebabkan pelaburan ini besar, menteri pada masa itu terpaksa memohon kebenaran Kementerian Kewangan (diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak) dan malangnya permohonan itu ditolak. Menteri kemudian telah membuat rayuan kepada Majlis Ekonomi Negara untuk meneruskan pembelian. Dalam kes ini, ada satu perkara besar yang tidak pernah saya dedahkan selama ini iaitu pihak Mara Inc. sebenanrya telah pun menandatangani perjanjian jual beli sebelum kelulusan diperoleh daripada Kementerian Kewangan. Pembelian telah dibuat sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada majlis Mara.

Bagaimana pula dengan isu soal penajaan Mara ke atas pasukan bola sepak Kelantan?

Ini juga kontroversi dan ber­laku semasa saya menjadi pe­ngerusi. Kebetulan pula pada ma­sa itu saya hendak bertanding merebut jawatan Presiden Persa­tuan Bola sepak Malaysia (FAM) dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Kemudian TMJ mendakwa da­lam Facebook menyatakan saya menggunakan biasiswa dana ta­jaan pelajar-pelajar untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan. Jadi saya terpaksa menafikan kerana sepanjang saya menjadi Pengerusi, Mara tidak pernah menaja pasukan Kelantan.

Boleh Tan Sri jelaskan juga ten­tang dakwaan anak-anak sya­rikat Mara menaja pasukan bola sepak Kelantan?

Timbul isu dua anak syarikat Mara iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) yang dikatakan menaja pasukan bola sepak Kelantan. Kedua-duanya itu sebenarnya membeli pakej komersial yang dijual oleh Red Warriors dan apa yang berlaku ini tidak ada kena mengena dengan dana pendidikan. Setiap syarikat ada peruntukan untuk iklan dan promosi. Jadi mereka gunakan peruntukan ini. Apabila isu ini menjadi kontroversi, menteri dan ahli majlis Mara buat keputusan untuk dilakukan audit dalaman. Lalu jawatan saya digantung. Saya kemudian mengambil satu langkah ke hadapan apabila saya sendiri pergi ke SPRM untuk membuat laporan. Tidak ada perkara yang mahu disembunyikan. Selepas siasatan dibuat SPRM keluarkan kenya­taan dan mengesahkan saya tidak terlibat dengan apa-apa isu seperti mana didakwa sebelum ini.

Bagaimana pula dengan amalan integriti di Mara sepanjang Tan Sri menjadi pengerusi?

Amalan integriti di Mara cukup tinggi. Mara sahaja antara agensi yang mewujudkan unit integriti dengan meletakkan pegawai SPRM dalam Mara. Ini banyak orang awam tidak tahu. Saya tidak berkompromi langsung ten­tang soal integriti. Kita sangat me­nekankan soal tata kelola dan urus tadbir yang baik sehinggakan Mara mendapat sijil bersih ketua audit negara lima tahun berturut-turut di bawah saya. Sekiranya ada apa-apa walau kecil sekali pun kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan.

Menjadi dasar juga ketika saya menjadi Pengerusi iaitu saya tidak benarkan sebarang rundi­ngan terus dilakukan oleh Mara kecuali dengan anak syarikat Mara sendiri. Itupun mesti mendapat persetujuan daripada Menteri. Hasilnya sepanjang saya menjadi Pengerusi Mara, agensi ini mendapat kejayaan dan keuntungan yang cukup besar.

MUKADIMAH Sepanjang tiga tahun Tan Sri Annuar Musa memegang jawatan Pengerusi Mara, beliau tidak terlepas menjadi bahan tohmahan pihak-pihak tertentu dengan mendakwa wujudnya penyelewengan dalam agensi tersebut. Namun beliau tidak melatah sebaliknya menyerahkan segala dakwaan itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan. Bercakap dengan wartawan Utusan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD di pejabatnya baru-baru ini beliau turut menegaskan bahawa Mara adalah agensi paling tinggi integritinya. Pada masa sama beliau adalah antara pemimpin paling lantang mengkritik cadangan kerajaan Pakatan Harapan yang didakwa mahu memecahkan fungsi Mara kepada beberapa kementerian berlainan.