‘Perang’ politik dalam kalangan ahli politik pun semakin rancak. Seperti mana PRU-PRU lepas, antara fokus parti-parti politik tidak lain tidak bukan manifesto masing-ma­sing. Intipati manifesto pula terarah kepada ikrar parti-parti politik buat pengundi yang juga rakyat Malaysia.

Bagi rakyat marhaen, manifesto perlu benar-benar ­melibatkan harapan besar mereka. Pada masa sama, parti-parti politik tidak boleh sesekali menabur pelbagai janji yang mana mereka sendiri ketahui sukar untuk ditunaikan. Rakyat hanya inginkan sebuah kerajaan yang benar-benar boleh menjaga kebajikan mereka. Ini termasuklah dalam aspek melibatkan kehidupan seharian mereka.

Mereka tidak wajar hanya dibuai dengan pelbagai janji dan ikrar oleh parti-parti politik tetapi akhirnya tidak ditunaikan. Lebih teruk lagi, jika ahli-ahli politik itu sendiri mengetahui tidak mampu menunaikan seribu satu ikrar dalam manifesto tetapi masih ingin memberikan harapan kepada rakyat. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Apa sahaja yang ingin `dijual’ oleh parti-parti politik, biarlah benar-benar memiliki `produk’ yang berkualiti. Sememangnya dewasa ini rakyat sudah begitu arif apa yang mampu dan apa yang tidak mampu ditunaikan oleh parti-parti politik. Rakyat kini semakin ramai yang terpelajar. Mereka mengetahui sejauh manakah kemampuan kewa­ngan negara. Usah menjual harapan sedangkan di luar kemampuan kewangan negara. Dibimbangi jika masih mahu menunaikan harapan tersebut, kesannya menjadi seperti Greece.

Dalam hal ini, kemapanan ekosistem kewangan negara amat penting bukan setakat buat kita tetapi juga untuk generasi masa hadapan. Usah undang risiko yang tinggi dengan menjual harapan yang menggunung yang tidak mampu ditunaikan. Sebaliknya, letakkan harapan yang realistik yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.

Misalnya, dalam konteks kos sara hidup rakyat. Rakyat inginkan strategi yang benar-benar mantap untuk mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat. Ini tidak semestinya melibatkan peruntukan kewangan kerajaan. Jadi, apabila Majlis Tindakan Sara Hidup Negara ditubuhkan, setiap satu aspek kehidupan yang melibatkan kewangan rakyat perlu menjadi fokus utama.

Enam jawatankuasa kluster yang ditubuhkan, iaitu makanan, perumahan, pendidikan, pengangkutan, utiliti dan kesihatan memang dekat di hati rakyat. Penting di sini agar strategi untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat bagi setiap kluster benar-benar dirasai oleh rakyat. Dalam isu perumahan misalnya meskipun pelbagai program perumahan dilancarkan sebelum ini, namun harga rumah tetap meningkat tinggi di luar kemampuan rakyat. Dibimbangi semakin ramai generasi masa hadapan tidak mampu memiliki rumah. Usah hanya bercakap untuk diri sendiri sahaja. Kita juga perlu merenung apa akan terjadi buat anak-anak kita pada masa akan datang.

Dalam aspek pendidikan pula, kos untuk membiayai pendidikan anak-anak dari tahun ke tahun semakin tinggi. Penawaran biasiswa pula semakin terhad dan begitu kompetitif. Bagi golongan keluarga berpendapatan rendah, mungkin sahaja dibantu oleh kerajaan. Namun, bagi golongan pertengahan yang semakin ramai, mereka ini tersepit antara golongan yang berpendapatan rendah dan tinggi. Maka, mekanisme terbaik untuk membantu mereka juga perlu difikirkan dan dilaksanakan.

Tidak kurang juga bagi kluster makanan. Harga makanan pada masa kini jauh berbeza berbanding pada masa lalu. Peningkatan harga makanan ini sememangnya memberi kesan terhadap poket kewangan masing-masing. Pelbagai inisiatif telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan, namun kesan peningkatan harga makanan tetap dirasai. Hakikatnya, kuasa pengguna sukar untuk menandingi kuasa peniaga dalam menetapkan harga makanan. Mahu tidak mahu, makanan terpaksa juga dibeli ekoran itu adalah perkara asas dalam kehidupan manusia.

Kita juga tidak boleh menuding 100 peratus kepada kesemua peniaga. Hal ini berlaku sedemikian rupa kerana peniaga kecil-kecilan terpaksa menaikkan harga makanan ekoran mereka sendiri pun terpaksa membayar harga yang tinggi untuk membeli sesuatu produk makanan. Justeru, pengguna akhir yang terkena tempias paling besar.

Pengurangan kos sara hidup antara sebahagian harapan rakyat yang wajar menjadi fokus manifesto yang mampu ditunaikan oleh parti-parti politik. Selain itu, dalam hal pekerjaan dan upah pekerja. Rakyat inginkan gaji berpatutan yang sesuai dengan era sekarang. Tidak boleh lagi upah atau gaji pekerja kekal sama sebagaimana 20 tahun lalu. Gaji perlu selaras dengan situasi ekonomi semasa.

Inilah sebahagian harapan rakyat yang wajar dipenuhi bukan setakat diberikan perhatian ketika menjelang PRU tetapi juga pada hari-hari mendatang yang tempohnya lebih panjang berbanding hari PRU.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).