Menurut pihak kementerian, bantuan persekolahan ini ­terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu bantuan umum, bantuan khusus dan bantuan secara sekali gus atau one off. Kesemua bantuan ini akan diagihkan berdasarkan beberapa garis panduan dan ketetapan yang digunapakai selama ini.

Bantuan umum misalnya akan disalurkan terus kepada sekolah tanpa sebarang syarat atau kriteria khusus bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta aktiviti luar bilik darjah berdasarkan jumlah enrolmen murid tahun semasa. Ini ­pastinya akan dapat terus membantu kelancaran aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti yang dirancang di kelas dan sekolah pada setiap hari.

Sementara itu, bantuan khusus pula diberikan kepada murid yang layak berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan bagi membantu murid daripada golongan yang berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU) atau yang cemerlang dalam akademik dan sukan. Antara bantuan yang disediakan kepada murid dari kalangan berpendapatan rendah ialah Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) sebanyak RM100 bagi setiap murid iaitu dari kalangan keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM350 juta.

Di samping itu, bagi murid sekolah rendah dari golongan berpendapatan rendah, kerajaan secara konsisten menyediakan peruntukan khusus di bawah program Rancangan Makanan Tambahan 1Malaysia (RMT1M) yang turut merangkumi Program Susu 1Malaysia (PS1M). Bantuan khusus lain termasuklah Bantuan Makanan Asrama serta Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Sukan dan juga elaun Murid ­Berkeperluan Khas.

Malah kerajaan juga menyediakan beberapa bantuan sampingan lain seperti saluran peruntukan bagi pembelian Jaket Keselamatan Murid (JKM) serta bantuan Pengangkutan dan Perjalanan Murid (PPM) kepada yang memerlukannya di samping peruntukan khusus untuk program Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan (KEDAP).

Jelas di sini kerajaan memandang serius kepentingan sektor pendidikan negara untuk pembangunan negara, lantas menyediakan pelbagai inisiatif, insentif dan bantuan baik berbentuk wang tunai mahupun kemudahan dan peralatan supaya anak-anak kita memperoleh peluang dan akses pendidikan yang jauh lebih baik dan berkualiti setanding dengan negara maju.

Penulis percaya ini sekali gus akan membantu meningkatkan kadar celik huruf rakyat serta akan membantu memenuhi ­keperluan sumber tenaga dan modal insan yang diperlukan untuk terus memacu kecemerlangan negara ini pada masa akan datang. Hakikatnya, pelaburan dalam sektor pendidikan adalah satu pendekatan dan strategik jangka panjang yang cukup bijak dan berhemah.

Maka apa yang penting sekarang sejauh mana segala bantuan persekolahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang disasarkan. Secara ­umumnya mengambil kira segala bantuan yang disediakan ini, tidak wajar timbul lagi kes anak-anak keciciran untuk masuk ke sekolah kerana sudah ada terlalu banyak bantuan untuk memulakan sesi persekolahan.

Dalam konteks ini ibu bapa perlu memainkan peranan yang besar. Pastikan anak-anak dihantar ke sekolah dan menikmati segala kemudahan yang kerajaan sediakan demi kepentingan, keselamatan dan kebajikan bersama. Sama ada golongan yang berpendapatan rendah, anak orang Orang Asli mahupun yang OKU semuanya wajar mendapat ­peluang yang sama rata. Kita berharap pada akhirnya menjelang tahun 2050, negara ini boleh capai angka sifar kadar keciciran anak ke sekolah dan pada masa sama, kadar celik huruf rakyat akan terus meningkat setanding dengan negara-negara maju lain sekali gus mampu memacu ­kegemilangan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dihasratkan.

Bagi memastikan segala objektif bantuan persekolahan ini direalisasikan, diharapkan bantuan ini dapat diurus dan diagihkan dengan cukup teliti dan berhemah. Bantuan perlu dipastikan sampai kepada golongan sasaran mengikut perancangan dan tepat pada masanya tanpa sebarang kerenah birokrasi. Ini penting kerana kebiasaannya kita cukup hebat dalam aspek perancangan namun seringkali bermasalah dari aspek pelaksanaan.

Ini akan menyebabkan golongan yang disasarkan tidak mendapat bantuan sewajarnya atau memperoleh bantuan terlalu lewat. Diharapkan pihak kementerian dan sekolah dapat segerakan segala bantuan yang telah kerajaan janji dan luluskan kerana perlu diingat sesi persekolahan sudah pun bermula dan ibu bapa sudah semestinya mengharapkan bantuan tersebut disalurkan segera untuk membantu mengurangkan beban kewangan masing-masing.

Dalam pada itu kita juga menyeru kepada pihak swasta dan badan korporat agar turut sama membantu anak-anak yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian masing-masing dengan lebih baik dan selesa. Bantuan kewangan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu diteruskan demi masa depan anak-anak di samping dapat mengurangkan pergantungan sepenuhnya kepada pihak kerajaan.

Bantuan kewangan wajar di­salurkan kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sedia ada supaya pelbagai lagi bantuan dapat disediakan secara konsisten kepada golongan berpendapatan rendah.

Semoga segala bantuan persekolahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dengan peruntukan yang cukup besar ini mampu memberikan manfaat yang sepenuhnya kepada semua golongan tersasar di negara ini. Kita percaya bantuan sebegini bukan saja bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa malah akan membantu secara berterusan untuk melahirkan lebih ramai lagi golongan cerdik pandai dalam kalangan rakyat kita.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia.