UKE: Solat berjamaah merupakan satu kelebihan yang besar jika dibandingkan dengan solat bersendirian sama ada dilakukan di mana sahaja.

  • Masjid mempunyai kelebihan daripada surau kerana di masjid didirikan solat Jumaat manakala surau tidak didirikan solat Jumaat.
  • Ada surau yang dinaik taraf untuk dijadikan sebagai surau Jumaat.
  • Solat berjemaah di masjid atau surau merupakan suatu syiar untuk membolehkan umat Islam mendirikan solat secara berjemaah.

Yang penting adalah berjemaah dan tujuan surau didirikan adalah untuk membolehkan umat Islam mudah mendirikan solat secara berjemaah. Andai kata solat di surau tiada pahala, mengapa surau dibenarkan untuk didirikan oleh pihak berkuasa agama sejak ratusan tahun lalu. Maka harus anda bersolat di surau berdekatan demi mendapatkan pahala berjemaah disebabkan masjid terletak agak jauh dari rumah anda.

Namun jika semua orang bersolat di surau sehingga tiada siapa lagi bersolat di masjid maka sudah pastinya perbuatan itu tidak tepat. Masalah di negara ini ialah ada surau dan ada masjid. Andainya semua surau dinaik taraf sebagai masjid maka tidak timbul masalah yang anda persoalkan ini.

Kesimpulannya silakan solat berjemaah sama ada di masjid atau surau. Yang lebih aula adalah yang lebih ramai jemaahnya, lebih bagus bacaan imamnya dan adanya majlis-majlis ilmu. Wallahuaklam.

Ada sesetengah wanita yang tidak konsisten menutup aurat sedangkan hukumnya adalah wajib. Ada masa pakai tudung. Ada masa tidak pakai tudung. Apa hukumnya ustaz? - Rubiah, Melaka

UKE: Perlu istiqamah. Jika tutup aurat dapat pahala. Sekiranya tidak tutup aurat di hadapan mereka yang bukan mahram, hukumnya berdosa.