Dari segi faktanya, tiada siapa yang boleh menolak hakikat bahawa UMNO lah parti yang telah berjaya memastikan orang Melayu, umat Islam dan Institusi Raja-raja berjaya dimartabatkan sehingga ke hari ini. Bukan sekejap UMNO menjadi tunjang kepada kerajaan negara ini, tetapi menjangkau kepada 72 tahun lamanya.

Ini suatu pencapaian bagi sebuah parti politik seperti UMNO yang sebenarnya perlu diakui oleh semua rakyat di negara ini terutamanya kepada yang bergelar Melayu. Ini adalah kerana sepanjang tempoh 72 tahun berkenaan pastilah banyak kebaikan-kebaikan, faedah dan keberuntungan yang diperoleh dan dinikmati oleh rakyat seluruhnya, namun hampir 80 peratus daripadanya bersifat tidak langsung, tidak dirasai serta tidak disedari oleh semua orang Melayu walaupun nikmatnya diterima baik.

Oleh itu, UMNO sebenarnya te­lah memakai topi sebagai kerajaan selama 72 tahun tetapi akhirnya Allah SWT telah mencuit sedikit parti ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini sehinggakan payung Barisan Nasional (BN) direntap oleh rakyat dengan menggantikannya dengan payung baharu yang dikenali sebagai payung Pakatan Harapan. Tiba-tiba UMNO yang sudah berpuluh tahun berkerajaan bertukar 360 darjah menjadi sebuah parti di blok pembangkang.

Suatu yang tidak terduga dan tercula oleh UMNO dan BN. Suatu yang tidak ada dalam benak pemikiran pemimpin dan ahli UMNO bahawa hari ini mereka telah menjadi pembangkang. Ibarat tiba-tiba berlaku pengeboman, maka semuanya menjadi tidak keruan, panik dan masing-masing kebi­ngungan. Kepedihan melihat kumpulan Pakatan Harapan menjadi kerajaan secara mengejut amat menyeksakan semua pemimpin dan ahli UMNO dan BN amnya.

Keadaan ini ternyata berjaya diredakan oleh bekas Presiden UMNO atau BN iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang secepatnya mengambil solusi untuk membolehkan proses re-engineering parti dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kebaikan semua.

Beliau telah sanggup meletakkan jawatan tertinggi dalam parti selang dua hari selepas keputusan diumumkan dengan penyelesaian serta-merta ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang diya­kini sepenuhnya diberikan mandat bagi menjadi pemangku Presiden.

Tindakannya ini sekali gus memperlihatkan bahawa beliau cuba untuk mengelakkan parti daripada terheret sama ke dalam kancah permasalahan politik yang melingkarinya. Satu tindakan pantas yang harus diberikan pujian untuk Najib.

Ahmad Zahid menerima sea­danya peranan yang diberikan demi untuk memastikan orang-orang UMNO (bukan ahli UMNO) terus dapat kekal bersama di bawah lembayung keris bersilang ini walaupun sesungguhnya parti pada tempoh berkenaan dalam keadaan krisis politik.

Ikut logik akal pastinya beliau boleh menolak tawaran oleh berkenaan kerana apa guna me­nerima parti dalam keadaan berkecamuk tetapi beliau adalah orang perjuangan, orang yang tidak sanggup untuk membiarkan parti terkontang-kanting tanpa tunjang, orang yang rela berhadapan dengan badai dan sanggup membasah bersama pemimpin dan ahli parti yang lain, maka beliau menerima seikhlasnya walaupun tahu bebanan berat yang bakal dipikul dan dihadapi.

Dalam senario ini, apakah sebenarnya yang mendasari keputusan Najib melantik Ahmad Zahid? Ia tiada lain dan tiada bukan satu daripada sebabnya ialah ke­rana UMNO mampu bertahan selama ini kerana keutuhan sistem berorganisasinya. Struktur organisasi yang dimiliki oleh UMNO itulah yang menyebabkan UMNO sehingga sekarang jika dipecahkan secara statistikal bersama semua parti-parti yang bertanding dalam PRU-14 baru-baru ini, ia masih parti yang menang majoriti mendahului parti-parti lain.

UMNO bukan sebagaimana parti-parti lain yang strukturnya begitu longgar dan cacamarba. UMNO mempunyai struktur yang lengkap daripada cawangan, bahagian, perhubungan negeri dan seterusnya di peringkat pusat. Presiden, Timbalan dan Naib, Setiausaha Agung, Bendahari, Penerangan, Ahli Majlis Tertinggi, Pengerusi Perhubungan, Ke­tua Bahagian dan akhirnya Ketua-ketua cawangan.

Semua terisi dan diawasi sempurna oleh pihak Ibu Pejabat UMNO. Justeru itu, inilah antara puncanya UMNO masih belum lagi tumbang sepenuhnya dalam PRU-14 baru-baru ini. Dan keutuhan sistem berorganisasi inilah yang membezakan UMNO de­ngan parti-parti politik yang lain.

Landskap politik selepas PRU-14 yang menyaksikan UMNO menjadi pembangkang adalah suatu yang begitu memeritkan untuk difikirkan oleh pemimpin dan ahli UMNO seluruhnya. Barangkali ramai yang tidak sedar, bahawa DNA UMNO bukan untuk menjadi pembangkang. DNA UMNO ialah lebih kepada memimpin dan menguruskan negara. Makanya, untuk menguruskan sebuah parti yang sebegini dalam keadaan krisis sebagaimana sekarang ianya bukanlah suatu yang mudah.

Sebenarnya, dalam keadaan krisis politik seperti sekarang ini, UMNO hanya ada dua kemungkinan iaitu akan kekal sebagai pembangkang untuk tempoh sehingga PRU-15 atau UMNO akan menerokai satu dimensi politik kepimpinan yang baru iaitu menjadi kerajaan semula. Semua itu terletak kepada pilihan pemimpin dan ahli parti UMNO.

Jika UMNO ingin kekal untuk menjadi pembangkang dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang, persoalannya, bersediakah pemimpin-pemimpin yang akan memenangi jawatan dalam pemilihan parti nanti menguruskan parti dalam mod pembangkang. Mod pembangkang bermakna untuk tempoh mendatang, UMNO tidak akan mempunyai sumber-sumber kewangan dan pengaruh sebagaimana mereka dalam kerajaan dahulu. Mereka bukan lagi mewah berduit. Mereka perlu menguruskan sendiri sumber kewangan bahagian dan seumpamanya. Tidak ramai lagi rakan-rakan perniagaan yang bermurah hati sebagaimana sebelumnya.

Dalam satu dapatan kajian yang dibuat ke atas kelestarian parti-parti politik di beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat, kunci utama yang menjadi penentu kepada kelangsungan parti politik ialah dana kewangan.

Sehubungan itu, dalam mod untuk UMNO kekal sebagai pembangkang, sebenarnya sesiapa sahaja boleh menjadi Presiden, Timbalan, Naib, Majlis Tertinggi dan semuanya. Tiada sebarang percaturan rumit perlu dibuat untuk menentukannya. Hanya berbekalkan hati dan perasaan sudah memadai. Kita me­rasa suka maka kita pilih, kita merasa benci maka kita tolak, namun ingatlah bahawa cagarannya ialah keupayaan kita untuk kekal bertahan sebagai blok pembangkang bagi tempoh sehingga PRU-15 nanti.

Namun, jika UMNO tidak bersedia untuk menjadi pembangkang, maka UMNO atau BN Nasional perlu merevolusikan langkah ke depan dengan me­ncuba satu dimensi politik kepemimpinan negara yang baharu iaitu berkerajaan campuran. Sesungguhnya, taboo dalam kalangan orang Melayu untuk bersama dalam kerajaan campuran ini sudah hilang semenjak daripada PRU-14 yang lalu. Barang diingat bahawa BN dan UMNO mempunyai angka yang cukup relevan yang boleh membentuk kerajaan campuran.

Bagi membolehkan UMNO menerokai mood ini, UMNO perlukan pemimpin terutamanya Presiden yang boleh diterima oleh pelbagai parti dalam negara ini seperti PPBM, PKR, Pas, Wa­risan dan hatta DAP sekalipun. Presiden UMNO untuk mood ini perlu mempunyai kemampuan dan keupayaan political networ­king yang merentasi sempadan. Presiden UMNO yang boleh diterima baik oleh rakan-rakan pemimpin lain dalam parti yang berlainan. Dan Presiden yang berjiwa besar serta yang mempunyai wawasan yang jauh demi bangsa, agama dan tanah air.

Dua kemungkinan inilah yang sebenarnya akan menentukan hala tuju UMNO/BN untuk tempoh selepas daripada 17 dan 30 Jun ini. Semua orang dalam UMNO inginkan perubahan. Tiada seorang pun pemimpin dalam UMNO yang tidak inginkan kebangkitan semula UMNO. Tanyalah sesiapa hatta pemimpin di cawangan pun akan bercakap untuk UMNO bangkit semula tetapi prasyarat kebangkitan UMNO tidak boleh sama sekali dibuat melalui tindakan pencatur-pencatur yang tiba-tiba muncul sewaktu pemilihan begini.

Sesungguhnya, pra syarat kebangkitan UMNO yang sebenar ialah melalui runding cara yang penuh dengan kebijaksanaan atas prinsip husnul dzon. Inilah tradisi keramat UMNO. Ianya adalah ke­rana keutamaan sebenar dalam pemilihan parti nanti ialah memilih pemimpin yang menjadikan elemen taqlif (tanggungjawab) sebagai satu keutamaan berbanding dengan elemen tashrif (kedudukan/pangkat).

Kesilapan pemilihan akibat da­ripada terbuai dengan lantunan emosi yang tidak bertempat akan menatijahkan UMNO/BN sukar untuk bangkit semula menjadi sebuah kerajaan dan mungkin akan kekal sebagai pembangkang untuk satu tempoh yang jauh lebih lama daripada PRU-15. Landskap politik di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang adalah percontohan yang ditunjukkan oleh daripada Allah SWT akan bagaimana sukarnya untuk mendapatkan kembali negeri-negeri berkenaan selepas tumbang.

Sesungguhnya, pemilihan parti harus menambahkan kekuatan parti dan bukannya memecah­belahkan parti. Justeru, berupaya dan bersediakah UMNO dengan realiti untuk kekal menjadi pembangkang sehingga PRU-15 nanti? Semuanya terletak kepada kebijakan pemimpin dan ahli UMNO seluruhnya.

DATUK DR. AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD ialah bekas setiausaha politik.