Ketika rakyat sedang merintih dengan kos sara hidup semakin meningkat, pemimpin-pemimpin PH turun berkempen di Cameron Highlands dengan cuba menunjukkan merekalah pemimpin terbaik yang tidak menggunakan jentera kerajaan ketika berkempen dan tidak menabur sebarang janji kepada rakyat.

Kesudahannya, apa yang kita dengar ialah perangai lama iaitu memaki hamun pemimpin lain, mendabik dada sedia bekerja sampai mati, hairan kenapa pemimpin tertentu turun berkempen dan malu melihat rakyat berswafoto dengan bekas Perdana Menteri.

Penulis tidak berhasrat mengulas secara terperinci PRK tersebut kerana rakyat sudah memberi mesej kepada kerajaan bahawa ia petanda awal kebangkitan rakyat jika kerajaan terus tidak mempedulikan nasib rakyat sebaliknya lebih sibuk mempromosikan diri sebagai kerajaan terbaik dan menyalahkan kerajaan terdahulu.

Sesungguhnya rakyat tidak berasa malu berswafoto dengan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi mereka berasa malu kerana ditipu oleh PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Mereka malu kerana termakan dengan janji-janji pakatan itu yang sehingga kini tidak ditunaikan dengan pelbagai alasan.

Rakyat juga berasa malu kerana terperdaya dengan gabungan yang kononnya berjanji akan lebih baik pentadbirannya berbanding dengan kerajaan BN. Tetapi hakikatnya jauh lebih teruk. Antara menteri sama menteri tidak sekata, meniru program kerajaan terdahulu tetapi malu hendak mengaku, sekadar tukar nama sahaja, soal teks ucapan Timbalan Perdana Menteripun kelam kabut.

Semua inilah yang menyebabkan rakyat berasa malu dan ingat sampai mati bagaimana mereka boleh membuat satu keputusan pada PRU-14 yang memungkinkan negara berada dalam keadaan pelbagai masalah, walaupun ada menteri mendabik dada kutipan cukai meningkat kerana kepemimpinan negara yang telus.

Apabila ada pemimpin bersedia mahu bekerja sampai mati, ia sudah tentulah baik untuk rakyat tetapi apa yang diharapkan kegigihan itu benar-benar digunakan bagi mengubah nasib rakyat kini yang semakin merintih akibat kos sara hidup semakin meningkat.

Janganlah terus membuang masa dengan menuduh orang itu pencuri, orang ini pencuri dan kerana 1MDB kerajaan tidak boleh membantu rakyat. Semua itu hanyalah alasan orang yang mahu berkuasa semata-mata demi melunaskan dendam politik.

Tebuslah rasa malu rakyat yang tertipu dengan melunaskan segala janji-janji yang dibuat ketika PRU-14 lalu. Kalaulah pemimpin PH boleh berasa malu kepada perkara yang tidak sewajarnya dan sanggup bekerja sampai mati, maka mereka juga perlu menebus rasa malu dengan menunaikan janji dan melaksanakan usaha ‘sampai mati’ menarik rakyat keluar daripada kemelut kekurangan pendapatan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Penulis percaya senario yang berlaku di Cameron Highlands tidak akan berakhir di situ sahaja. Percayalah ia akan merebak ke kawasan lain terutama kawasan yang pengundi Melayu adalah majoriti. Kenapa?  Jawapan semua orang tahu.

Tetapi apa yang penting PH tidak boleh lagi mendabik dada merasakan rakyat bersama mereka. Rakyat di kawasan tertentu terutamanya bandar mungkin masih bersama mereka tetapi di kawasan luar bandar, penolakan rakyat semakin ketara.

Segala-galanya kerana rakyat berasa malu kerana ditipu oleh pakatan tersebut dan tidak mahu terus menanggung malu akibat ditipu sekali lagi. Justeru sampai mati mereka akan ingat dengan memastikan PH tidak lagi menabur janji-janji palsu.

Oleh itu pemimpin PH perlu memahami situasi politik ini. Mereka boleh berkata atau membuat apa sahaja andaian berhubung keputusan PRK Cameron Highlands tetapi rakyat telah menggunakan hak mereka sebagai pengundi.

Justeru, jadikanlah ia sebagai pengajaran dan janganlah lagi mana-mana pemimpin PH turun ke kawasan pilihan raya dengan sikap angkuh dan berasa diri hebat sangat sehingga terlupa bahawa sehebat manapun pemimpin itu, rakyatlah yang menentukan kedudukannya.

Semoga rakyat tidak terus dipermainkan dan dimalukan dalam usaha mana-mana pihak meraih kuasa. Kalau berjanji tunaikanlah, kalau berkata, kotakanlah. Dengarlah rintihan rakyat dan hentikanlah politik kebencian. Cukup-cukuplah menuding jari kepada pihak lain kerana rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan sandiwara politik yang memualkan.

Apapun PRK Cameron Highlands menjadikan arena politik Malaysia semakin menarik, tetapi khabarnya Februari ini ada lagi adegan politik lebih hebat melibatkan PH termasuklah ura-ura akan berlaku rombakan Kabinet.  Sama ada betul atau tidak, sama-samalah kita tunggu. Tetapi bukan itu yang rakyat tunggu. Apa yang rakyat mahu ialah apakah rintihan mereka didengari oleh kerajaan? Atau kerajaan mahu terus berpolitik sampai mati tanpa rasa malu kerana tidak membela rakyat?