Itu sebabnya sekalipun DEB telah lama tamat riwayatnya, rohnya masih kekal bersemadi dalam ingatan kebanyakan dari kita semua. Ramai antara kita amat merasai kehilangannya. Lantas, apabila arktiek yang menerajui penggubalan DEB, Tan Sri Dr. Just Faaland meninggal dunia pada Februari lepas, ramai mereka yang setia mendokong roh DEB itu, menganjurkan satu forum khas memperingati jasa mendiang.

Forum yang dimaksudkan akan diadakan pada 3 April 2017 ini, anjuran bersama oleh MIER-CMI-Utusan-MPM, di Dewan Serbaguna Kumpulan Utusan. Forum ini akan mengimbas kembali jasa mendiang dan pencapaian DEB. Sama pentingnya ialah untuk forum ini secara simboliknya, menyerahkan baton kepada generasi muda yang akan merencanakan pola dan corak pembangunan Negara, Transformasi Nasional 2050 (ringkasnya TN50).

Diharapkan roh DEB itu akan kekal dengan fokas yang sama dan disesuaikan dengan agenda pembangunan semasa yang menjurus kepada agenda perkongsian kemakmuran. Roh dan semangat DEB ini wajiblah dikekalkan sebagai satu perjuangan yang belum selesai.

Di antara era DEB (1970-1990) hingga ke era TN50 (era melangkaui 2020), beberapa dasar dan pelan tindakan digubal. Ada antaranya menyebabkan kerencatan kepada pelan pembangunan yang digariskan dalam DEB itu. Dasar Penswastaan misalnya, banyak mengheret agenda pembangunan DEB kembali ke zaman ekonomi dikuasai golongan kapitalis, ibarat kembali ke zaman dark ages, sepertimana di alami Eropah.

Apa pun impak dasar-dasar atau agenda-agenda sampingan itu, kekangan paling utama yang menyebabkan berlakunya flip-flop dalam perlaksanaannya ialah kerana kita masih lagi ketiadaan satu dasar induk yang lebih lestari dan boleh diguna pakai sebagai rujukan utama agenda pembangunan jangka panjang.

Hatta, di sebalik kecacatan itu kita masih boleh menaruh harapan kepada kandungan dasar-dasar itu yang terkandung di dalamnya pelan pembangunan berkala, setiap penggal untuk tempoh lima tahun. Dari situ maklumat-maklumat yang relevan turut diguna pakai oleh beberapa institusi penyelidikan ekonomi antarabangsa seperti PwC, HSBC Global Research, Standard Chartered Global Research, Deloitte, OECD, Earnst & Young, Frank & Sullivan dan beberapa lagi, dalam mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2050.

Mereka ini sejak seawal tahun 2011 lagi sudah membuat unjuran itu dan meramalkan Malaysia akan berada dalam kelompok negara berpertumbuhan tinggi iaitu negara-negara yang purata kadar pertumbuhan sekitar 5.0 peratus.Ada pihak yang menyiarkan hasil kajian oleh PwC dalam tahun 2015, memaparkan unjuran ekonomi menjelang tahun 2050, di mana Malaysia akan berada di tangga ke-24 dalam kelompok negara-negara berpertumbuhan tinggi.

Setanding

HSBC Global Research pula menerbitkan laporan kajiannya seawal Februari 2011, mengunjurkan ekonomi Malaysia melompat 17 anak tangga ke kedudukan ke 20 dalam kalangan negara-negara maju dengan GDP pada nilai AS$ 1.16 trilion (pada nilai AS$ constant tahun 2000) dan pendapatan per kapita pada paras AS$29,250.

Ada pihak yang optimistik dan tidak kurang juga yang pesimistik dengan unjuran-unjuran itu. Persepsi sedemikian yang berbeza-beza, berlaku kerana negara terdedah kepada pengaruh geopolitik global dan pengaruh media sosial yang memberi ruang begitu banyak untuk setiap rakyat di negara ini menjadi penganalisis.

Situasi politik domestik yang bercampur-aduk dengan gejala kecelaruan dalam pelaksanaan dan tadbir urus, baik diperingkat pemimpin mahupun pentadbiran, mencetuskan lagi banyak persepsi yang pelbagai. Saya berpendapat, unjuran yang dibuat oleh beberapa institusi itu tidak silap dan tidak menimbulkan kekeliruan.

Pada amnya unjuran yang dibuat itu adalah realistik dan boleh diguna pakai untuk memandu hala tuju pembangunan negara ini kekal berada di landasan yang betul.

Dalam era negara berada dalam kelompok negara pesat membangun, kita disajikan dengan pembangunan beberapa projek mega yang menempatkan kita setanding dengan beberapa negara maju lain. Di era itu kita ada projek-projek mega yang menjadi katalis kepada pembangunan ekonomi yang pesat. Projek Menara Berkembar Petronas, Projek Menara KL, beberapa projek prasarana berskala mega, dan pembangunan Putrajaya dan Cyberjaya.

Dalam era berikut pembangunan berskala mega dibawa keluar dari Lembah Klang, maka wujudlah beberapa koridor baru pembangunan berskala mega, seperti Iskandar Johor dan beberapa lagi. Dalam era MBE yang terangkum di dalamnya dua pelan pembangunan berkala iaitu RMK 10 dan RMK 11, kerajaaan komited meneruskan agenda pembangunan berskala mega ini bagi terus merangsang pertumbuhan negara.

Projek seperti Pengerang Integrated Complex (PIC), atau Penggerang Integrated Petroleum Complex (PIPC), atau Refinery & Petrochemical Integrated Development (RAPID), di Pengerang, Desaru, Johor oleh Petronas, misalnya, di bangunkan dalam model dan pendekatan pembangunan baru.

Secara kebetulan pula, pada 20 Februari 2017 lepas kami yang membentuk jawatankuasa bersama MPM-Awam-GLC mengadakan lawatan kerja sehari ke Projek PIC. Lawatan itu diatur atas inisiatif Petronas yang memenuhi gilirannya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama.

Kami teramat kagum dengan keupayaan pengurusan Petronas membangunkan projek mega itu dianggarkan bernilai AS$27 bilion, dalam satu fasa pembangunan dan dalam tempoh masa lima tahun (2014-2019). Sama menariknya ialah bagaimana pengurusan Petronas bersama beberapa pihak berkuasa dan kerajaan tempatan mampu menyelesaikan beberapa kemelut dengan komuniti tempatan.

Mulanya isu-isu itu sering menjadi bahan parti-parti politik yang cemburu tetapi retorik itu kian tenggelam dek bukti kemampuan pembangunan projek itu. Mulanya ada pihak yang pesimistik malah kritikal mengenainya. Kini, dengan kemasukan beberapa pelabur asing dan terkini ialah komitmen Aramco untuk menjadi rakan bisnes strategik kepada Petronas, dengan pelaburannya bernilai AS$7.0 bilion, ia meredakan kritikan itu, malah memberi sinaran baru kepada cahaya ekonomi negara yang buat beberapa ketika dikatakan agak malap.

April ini, Perdana Mentei akan mengadakan lawatan rasmi bersama misi perdagangan ke India. Ini satu lagi langkah ke hadapan bagi merealisasikan kedinamikan ekonomi negara. Hakikatnya, menjelang 2050, India akan menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar dunia mengatasi AS.

Mungkin ada yang masih bertanggapan bahawa satu projek mega seperti PIC yang diperkukuhkan dengan satu perjanjian usahasama Petronas-Aramco, belum cukup kuat untuk meyakinkan ekonomi negara menjelang 2020 cukup terang dan menepati unjuran oleh PwC, HSBC serta lain-lain institusi.

Secara peribadi saya menyusuri secara live streaming apa yang berlaku di Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum, WEF) Davos 2017 dalam Januari lepas. Saya dapat merasakan agenda ekonomi kita sebenarnya seiring dengan pembangunan ekonomi global. Saya juga berkesempatan menyusuri apa yang berlaku dalam Belt & Road Initiative oleh negara China, serta impaknya kepada pembangunan negara, lebih-lebih lagi terhadap agenda Bumiputera.

Sememangnya ia cukup mencabar tetapi gelombang itu wajib dilusuri oleh kita semua, termasuk Bumiputera. Mahu atau tidak, hakikatnya kita semua sudah pun berada dalam gelombang itu. Memilih untuk tidak melusurinya bukan lagi satu pilihan.

PENULIS ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)