Maka perasaan dan emosi inilah yang sering ditumpahkan di atas catatan media sosial dan sesete­ngah ruang media popular di negara ini, seolah-olah inilah sebenar­nya rasa hati dan pemikiran umum dan rakyat keseluruhannya.

Bagi penulis, harapan yang lebih kepada pemerintahan baharu negara adalah ke arah merealisasikan matlamat yang lebih besar dan le­bih bermakna lagi bagi dunia Islam antarabangsa, yang kini mengalami krisis yang amat hebat dalam seja­rahnya dan mengalami cabaran dan penghinaan yang amat getir di du­nia antarabangsa di Timur dan Ba­rat. Malah, dunia Islam kembali dijadikan mangsa keganasan dan tidak berperikemanusiaan yang mungkin tidak pernah berlaku da­lam sejarah kebangkitan Islam da­lam zaman moden dan maju ini.

Memang kita semua sedar bahawa tugas pemerintah baharu Ma­laysia amatlah besar dalam me­ngem­balikan pengiktirafan dunia ke­padanya dalam bidang ekonomi, teknologi, keselamatan, moral dan integriti pemerintahan dan kese­lamatan negara umumnya. Tetapi pada masa sama, mungkin hal itu akan dapat di atasi dengan segera supaya tugas dan pe­ranan negara seterusnya adalah bertindak menjadi juara dan pimpinan dunia Islam dan pe­ngurusannya seperti yang pernah diakui oleh dunia antarabangsa pada satu ketika dulu apabila Malaysia diakui sebagai model terbaik negara Islam dalam kepelbagaian pembangunan­nya.

Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik dalam pe­ranan antarabangsa ini iaitu dengan peristiwa hijrah Baginda dari Mekah ke Madinah dengan pembentukan sebuah negara plural dalam suku kaum dan agama dan dalam masa sama berjaya memperluaskan sayap dan kedaulatan Islam ke negara luar.

Hijrah Rasulullah SAW inilah sebenarnya yang merupakan satu permulaan dunia global yang sebenarnya, yang hanya baru diinstitusikan oleh negara Barat kira-kira 400 tahun lalu.

Oleh itu, ketika Malaysia berjaya dibangunkan sebagai negara Islam moden dan global, maka kini sekali lagi kita harus menunjukkan kepada dunia antarabangsa khususnya dunia Islam bahawa negara Islam ialah negara yang maju de­ngan konsep bersatu di dalam kepelbagaian dan tegak dengan identiti yang tersendiri berdasarkan ke­sejahteraan dan keamanan un­tuk semua.

Dalam dunia moden, dunia memerlukan pe­mikiran dan peran­cangan yang strategik untuk pem­bangunan negara dan tamadunnya. Maka pada 1983 ditubuhkan Institut Kajian Strategik Antarabangsa Malaysia (ISIS) iaitu dengan objektifnya yang strategik dan bebas dalam membangunkan negara dan hubungannya dengan negara-negara rakan serta dunia antarabangsa.

ISIS yang merangkakan pemba­ngunan bangsa dan negara yang dinamik dengan wawasan 2020 yang menyasarkan Malaysia sebagai negara maju pada tahun tersebut, bukan hanya dalam pembangunan ekonomi dan kebendaan malah pembangunan bangsa dan nilai moralnya yang tinggi berasaskan acuan Malaysia sendiri.

Kehadiran ISIS amat dirasakan oleh dunia antarabangsa dan atas dorongan inilah maka pada 1991 Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir merancang menubuhkan sebuah institusi tangki pemikiran yang sama untuk pembangunan Islam yang bernama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

IKIM di tubuhkan pada 1992, dengan modus operandi yang sa­ma dengan penubuhan ISIS de­ngan melakukan kajian dan akti­viti strategik dalam merangka pem­bangunan sepadu dunia dan akhirat serta amalan nilai moral dan ihsan yang me­rangsang manusia Muslim menjadi manusia yang terbaik dikeluarkan dan visi inilah yang diarusperdanakan di dunia Eropah, Amerika, Asia Barat, Afrika Utara dan negara Asia umumnya.

Kini ketika dunia Islam jatuh ke lembah kehinaan dengan segala krisis bersenjata dan fizikal, kerohanian dan rohnya, malah dengan pelarian perang dan keruntuhan peradabannya termasuk kemusnahan bangunan perniagaan dan pendidikan, bangunan bersejarah dan tamadun, maka kita mengharapkan semoga negara ini sekali lagi dapat memainkan peranannya untuk tujuan ini. Ini bagi jangka pendek dan jangka panjang dalam rangka meningkatkan nama umat dan aga­manya. Walaupun harapan ini kelihatannya amat ideal dan mustahil, namun dengan usaha yang gigih kita mengharapkan Allah SWT akan menolong kita dalam perjuangan suci ini.

Kita memerlukan lebih banyak institusi tangki pemikiran dalam negara ini kerana sasaran sebenar­nya yang perlu difokuskan ialah pengurusan kerja dan modus ope­randi pengendali institusi itu yang perlu dirombak, bukan menghapuskan institusi tersebut.

Sejarah membuktikan bahawa pemerintahan Islam semasa Rasulullah SAW di Madinah tetap berlaku adil terhadap semua rakyat tanpa sebarang tekanan yang boleh membawa kepada konflik yang akan menimbulkan perpecahan dan sengketa di dalam masyarakat.

Dasar ini dihormati dan difahami oleh semua warga yang menjadi rakyat di bawah pemerintahan. Lalu tidak terdapat sebarang gerakan atau pengkhianatan yang berlaku dalam kalangan rakyat sehingga memungkinkan timbulnya rasa resah gelisah dan tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).