Berapa lama anda menghabiskan masa bersama keluarga ketika itu?

Ataupun anda sebenarnya tidak kisah mengenai amalan sedemikian dan lebih gemar memberikan tumpuan kepada gajet di tangan anda?

Tidak kurang juga, ada yang memberikan alasan kesibukan bertugas sebagai faktor mereka tidak ada masa untuk makan bersama keluarga.

Situasi yang dinyatakan di atas bukanlah satu pemandangan asing sebaliknya merupakan pemandangan yang sering berlaku di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur.

Namun di sebalik kesemua alasan yang diberikan itu, tradisi untuk kembali ke rumah dan makan besar bersama kaum keluarga dan sanak-saudara khususnya dalam kalangan masyarakat Cina yang merayakan Tahun Baharu Cina merupakan satu kemestian.

Bagi masyarakat Cina, sambutan Tahun Baharu Cina ialah masa untuk memperbaharui tenaga, harapan dan impian mereka dan sekiranya tahun sebelumnya tidak berjalan seperti yang dirancang, maka kedatangan tahun baharu ini diharap akan membawa perubahan yang lebih positif.

Dalam membicara­kan menge­nai tradisi makan besar ini, ada dua aspek penting yang menjadi keutamaan. Pertama, ia menitikberat­kan konsep perpaduan dalam keluarga dan yang kedua, aspek tradisi.

Tradisi makan besar melam­bangkan keutuhan sesebuah keluarga. Diamalkan sejak dahulu lagi, ia merupakan aktiviti paling penting dalam perayaan Tahun Baharu Cina.

Semua anggota keluarga dan sanak-saudara baik yang dekat mahupun di perantauan akan pulang ke rumah ibu bapa masing-masing untuk berkumpul seisi keluarga bagi meraikan kedatangan tahun baharu itu sambil menikmati hidangan-hidangan tradisional.

Tradisi makan besar ini turut menandakan sim­bol permulaan yang baik untuk tahun-ta­hun yang mendatang selain memberikan kesem­patan kepada anggota keluarga untuk merapatkan hubungan dan ukhwah sesama mereka.

Kepulangan anggota keluarga ke rumah ibu bapa turut membawa mesej bahawa perpaduan adalah penting dalam sesebuah keluarga.

Hidangan

Dengan adanya per­pa­duan dalam keluarga, banyak perkara dapat diselesaikan dengan baik.

Semangat kekeluargaan yang utuh ini secara tidak langsung akan memberi tenaga positif kepada mereka sekali gus memberikan petanda kepada masa depan yang lebih baik.

Selain aspek perpaduan yang ditonjolkan, makan besar ini juga kaya de­ngan nilai simbolik dan tradisinya. Masyarakat Cina terkenal dengan simbolik makna makanan yang dikaitkan dengan perkara-perkara yang baik dalam kehidupan mereka.

Setiap makanan yang dihidangkan pada hari-hari perayaan memberikan maksud yang tersendiri. Ini berdasarkan sebutan, karakter Cina dalam perkataan tersebut serta rupa makanan itu sendiri.

Lazimnya makanan yang dipilih merupakan simbolik kepada kekayaan, tuah, kemewahan, kejayaan mahupun umur yang panjang.

Hidangan seperti ikan, udang, ayam, mi, limau mandarin serta kuih bakul adalah sajian wajib ketika jamuan makan besar.

Dalam hal ini, pemilihan menu penting kerana setiap makanan yang dihidangkan memiliki makna berbeza.

Ikan juga dikatakan membawa maksud lebihan yang masih ada di hujung tahun. Mereka percaya jika ada lebihan begini, pada tahun berikutnya lebihan itu boleh digandakan dan menjadi lebih banyak.

Begitu juga dengan hidangan mi panjang umur atau longevity noodle yang dihidangkan bagi melambangkan kebahagiaan dan umur yang panjang.

Kepanjangan mi dan cara penyediaannya dipercayai adalah simbolik kepada si pemakan. Bagaimana pula dengan limau mandarin?

Umumnya, limau mandarin dalam bahasa Cina bermaksud emas. Emas merujuk kepada kekayaan dan adalah dipercayai mereka yang makan limau mandarin akan memperoleh kekayaan dan kemakmuran.

Selain limau mandarin, masyarakat Cina turut memilih ikan sebagai menu utama semasa makan besar kerana sebutannya dalam bahasa Cina iaitu yú membawa maksud tuah, kelimpahan dan keuntungan pada tahun yang mendatang.

Biarpun tradisi makan besar hanya berlangsung setahun sekali terutamanya semasa malam sebelum Tahun Baharu Cina, namun tradisi tersebut tetap dijunjung tinggi dalam masyarakat Cina seantero dunia.

Sesungguhnya, inilah masa terbaik untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Hubungan yang utuh ini adalah asas kepada keharmonian dan kebahagiaan sesebuah keluarga.