Pemimpin berkenaan perlu memperlihatkan keupayaan cukup luar biasa dan berkesan di peringkat cabang parti. Kepemimpinannya mesti efektif dan berwibawa. Tidak semudah yang dijangka.

Penganalisis politik Sarawak, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir ketika menjawab pertanyaan akhbar ini kemungkinan Bersatu akan diberi ruang oleh DAP bertanding di kawasan atau kerusi milik parti itu, memberitahu:

“Mana mungkin DAP beri kerusinya kepada Bersatu. Parti Amanah pun ada tujuh kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) yang ditandingi mereka tempoh hari, saya yakin ini pun tidak akan diberikan.

“Besar kemungkinan kerusi-kerusi (yang akan dimohon) dari PKR. Tapi bagaimana pula jika Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri (kelapan) dengan sekarang pun Anwar Presiden PKR, bukan lagi Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Maka saya tidak fikir Anwar akan beri laluan mudah. Kalaupun ada agihan kerusi, Bersatu akan diberi kerusi-kerusi (Parlimen dan DUN) yang tidak boleh menang.

Yang ada potensi untuk menang, buat apa beri kepada Bersatu,” kata Jeniri.

Lebih mustahak lagi untuk direnungkan, sukar untuk Bersatu menembusi kerusi-kerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) - tonggak Gabungan Parti Sarawak (GPS) - kerana realitinya ia kawasan Melayu-Melanau, kubu kuat PBB.

Melayu-Melanau masih bersandarkan harapan kepada PBB yang diyakini dapat melindungi mereka walaupun ‘terdapat masalah’. Lagipun Ketua Menteri yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menyalurkan bajet RM12 bilion tahun depan (terbesar dalam sejarah negeri) untuk perbelanjaan pembangunan dan operasi. Ini terutama dalam menyelesaikan masalah infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik. Kalau isu-isu asas ini diselesaikan, seketul ‘batu besar’ sudah pun dialih oleh PBB.

Seperkara lagi dengan sentimen Sarawak for Sarawakians serta perjuangan mendapatkan hak Sarawak seperti mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ia menjadi kekangan besar buat Bersatu. Semangat nasionalisme kenegerian begitu kuat dan dimanfaatkan oleh GPS.

Apatah lagi Pakatan Harapan telah menabur janji bukan-bukan yang sukar ditunaikan. Ini melibatkan pembayaran royalti minyak 20 peratus serta janji untuk mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dengan pendapatan minimum RM2,500 dalam tempoh dua tahun - yang atas kertas sukar dipenuhi.

Sambung Jeniri: “Dan sekarang pula pembayaran royalti minyak mahu dibayar kepada Sarawak berdasarkan 20 peratus daripada keuntungan bersih hasil petroleum negara. Sedangkan Sarawak menuntut pembayaran royalti perlu mengikut perjanjian yang dimeterai berasaskan pengeluaran minyak dan gas.”

Di Bintulu semasa Bersatu dilancarkan oleh Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Suarah 1 Disember lalu, kira-kira 1,500 orang memenuhi dewan yang boleh memuatkan kapasiti maksimum 3,000 hadirin.

“Saya jangkakan sambutan hangat, tapi yang mengejutkan tidak ramai. Disebabkan itu, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa kehadiran Dr. Mahathir semasa pelancaran Bersatu itu disabotaj,” katanya.

Pejabat Residen Bintulu bagaimanapun menyangkal dakwaan Chieng Jen itu dengan menjelaskan, kerajaan negeri memberi segala bantuan dan logistik diperlukan demi memudahkan kunjungan Perdana Menteri.

Bahkan, kenyataan itu menyebut tidak berlaku unsur sabotaj ketika bilik VIP sendiri berada di bawah bidang kuasa Malaysia Airport Berhad (MAB) dengan akses keselamatan dikawal oleh mereka sendiri.

“Kalau sabotaj, takkanlah penggunaan Dewan Suarah dibenarkan dan dihantar seorang menteri lagi untuk disesuaikan dengan protokol sambutan buat Perdana Menteri.

“Dakwaan sabotaj ini lebih berkisar pada kegagalan Chieng Jen sendiri untuk menarik sokongan kepada Bersatu,” kata Jeniri lagi.