Raja Petra yang sejak tiga tahun lalu tinggal dalam 'buangan' di Manchester, England menegaskan, pihak pembangkang patut mengurangkan perjuangan untuk Anwar atau 'Anwarista' kerana agenda untuk perubahan tidak harus berteraskan kepada personaliti.

''Kita belum tamat, kita kena teruskan. Bukan sebab Anwar. Bagaimana jika sesuatu berlaku kepada Anwar. Dia bukan muda lagi. Dia lebih tua daripada saya.

''Cakap tentang struktur dan penambahbaikan negara, kita akan bergerak ke depan. Walaupun Mandela (di Afrika Selatan) dipenjarakan selama 27 tahun, tak ada kempen pembebasan untuknya.

''Walaupun ada Kumpulan Free Mandela, tetapi ia merupakan kempen untuk menamatkan aparteid, bukan untuk bebaskan Mandela. Mandela hanyalah pencetusnya. Saya pasti Mandela adalah figura yang jauh lebih besar berbanding Anwar terutamanya dalam kepentingan sejarah," ujarnya.

Apa yang ditegaskan oleh Raja Petra itu telah mendedahkan akan hakikat bahawa pihak pembangkang bukanlah alternatif terbaik untuk memimpin negara ini kerana dasar yang diperjuangkan mereka berbeza-beza dan hanya menjadikan Ketua Pembangkang itu sebagai 'ikon' penyatu.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mengulas hakikat itu berkata, penyatuan pihak pembangkang itu boleh dianggap sebagai 'persekongkolan luar tabii' kerana masing-masing mempunyai agenda perjuangan berlainan termasuk DAP yang bersifat cauvinis dan rasis.

Menurut beliau, pada masa depan tidak mustahil parti-parti yang menganggotai pakatan itu akan kembali kepada perjuangan asal setelah mendapat kuasa atau setelah merasakan sudah menjadi parti paling dominan dalam pakatan itu.

''Misalnya, Pas telah melancarkan dokumen negara berkebajikan yang turut disokong pimpinan pembangkang lain. Ia sarat dengan pelbagai janji manis dan madah berhelah bagi mencapai nafsu serakah untuk menawan Putrajaya.

''Sekiranya Pas sanggup melancarkan dokumen baru ini bagi menggantikan dokumen negara Islam yang diperkenalkan pada 12 November 2003, tidak mustahil mereka akan membuat pusingan 'U' untuk membuang dokumen negara berkebajikan dan menggantikannya dengan dokumen entah apa lagi!

''Tidak mustahil juga bila DAP berkuasa, mereka akan melancarkan pula dokumen negara cauvinis dan jika sosialis berjaya, mereka akan lancarkan pula dokumen negara komunis,'' ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, Anwar tidak mempunyai falsafah perjuangan terbaik bagi membangunkan negara dan rakyat sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan mendapatkan kuasa bagi diri dan kroni-kroninya.

''Saya tidak fikir rakyat Malaysia sedia menerima pemimpin pembohong macam Anwar. Bagi saya, dia tidak layak menjadi pemimpin kerana tidak mampu memimpin dirinya sendiri," katanya.

Mohd. Zahid berkata, pendedahan Raja Petra seharusnya dijadikan pengajaran kepada pihak-pihak yang baru mahu berjinak-jinak dengan Anwar bahawa Ketua Pembangkang itu sanggup memperalatkan sesiapa sahaja bagi menjaja pembohongannya.

''Beliau sanggup memburukkan negara malah bangsanya sendiri demi memperjuangkan kepentingan peribadi dan kroni-kroninya," ujar beliau.

Apa yang diperkatakan oleh Mohd. Zahid seharusnya dapat mengingatkan rakyat supaya tidak terus menyokong Anwar dan gerakan terbaru untuk mendewa-dewakannya. Kita tidak boleh alpa akan hakikat perjuangan berasaskan personaliti tidak penting sebaliknya yang lebih utama adalah idea yang dibawa seseorang itu.

Rakyat seharusnya bimbang dengan trend mendewa-dewakan Ketua Pembangkang itu yang dapat dilihat apabila 'ulama' PKR yang juga bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr. Badrul Amin menggelar Anwar sebagai pemimpin dari sebelah Timur yang ditunggu-tunggu.

Ungkapan sama pernah digunakan pelbagai pihak bagi merujuk kepada penyelamat umat manusia iaitu Imam Mahdi. Turut menggunakan ungkapan itu ialah pengikut Al-Arqam yang menyifatkan pemimpin mereka, Allahyarham Ashaari Muhammad sebagai Pemuda Bani Tamim yang bakal muncul datang dari Timur.

Kita bimbang apabila rakyat terlalu taksub dengan seseorang pemimpin itu mereka akan mengikut segala arahan dan apa yang diperkatanya secara membuta-tuli.

Menyentuh perkara itu, penganalisis politik, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, rakyat harus berfikiran terbuka dan menilai seseorang pemimpin berdasarkan keupayaan mereka memimpin dan tidak menyokong secara membuta-tuli.

''Rakyat perlu bijak menilai sejauh mana individu tersebut mampu untuk memimpin negara dan bukan semata-mata disebabkan simpati mahu pun populariti.

''Anwar ternyata tidak mampu mentadbir negara kerana beliau tidak mempunyai ciri-ciri integriti, kredibiliti, bertanggungjawab dan sanggup memperjuangkan nasib dan kesejahteraan rakyat," katanya yang juga Pensyarah Kanan Sosiologi Politik, Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Mansor Mohd. Noor turut sependapat dengan Noor Sulastry bahawa perjuangan berasaskan personaliti yang dibawa oleh Anwar hanya akan merosakkan negara.

''Kita lihat apabila sesuatu isu timbul, pasti Anwar akan mengeluarkan kenyataan yang memburuk-burukkan pemimpin serta negara.

''Kita perlukan memimpin yang cekap mengurus dan mengambil kira kepentingan rakyat dan bukannya hanya pandai bersandiwara," jelasnya.

Sehubungan itu, semua rakyat perlu menolak pemimpin yang pandai bersandiwara dengan pelbagai imej baik semata-mata supaya dia terus dipuja.

Ingatlah, masa depan sebuah negara bukan ditentukan oleh seorang pemimpin walau sehebat mana pun beliau, sebaliknya ia ditentukan oleh ideologi dan arah perjuangan yang dibawa.