Tambahan pula Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan juga ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka sudah pasti LIMA kali ini menarik perhatian kerana sukar untuk menangkis persepsi bahawa pameran ini berkait rapat dengan faktor pertahanan, keselamatan dan kedaulatan.

Selari dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, LIMA juga akan menganjurkan beberapa aturcara sampingan seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), Forum Perniagaan ASEAN, Sidang Kemuncak Penerbangan ASEAN, Himpunan Belia ASEAN serta Karnival Kebudayaan ASEAN.

Tetapi ADMM paling mencuri perhatian bukan kerana LIMA kali ini menghimpunkan paling ramai Menteri Pertahanan ASEAN tetapi agenda perbincangan yang telah diatur oleh Malaysia begitu menarik sekali. Walaupun agenda merangkumi tiga isu utama iaitu perbincangan tentang ancaman militan Negara Islam (IS), penubuhan pasukan pengaman ASEAN dan pelan inisiatif bantuan kemanusian dan bencana (HDR), tetapi ketiga-tiga agenda tersebut berkait rapat dengan intipati LIMA iaitu pertahanan, keselamatan dan kedaulatan sebuah negara.

Lazimnya jika dikaitkan dengan pameran pertahanan seperti LIMA dengan ketiga-tiga agenda tersebut, maka sudah pasti penggunaan aset ketenteraan tercanggih dianggap sebagai pemangkin kejayaan. Tetapi berbeza dengan pendekatan Malaysia, pemangkin kejayaan ketiga-tiga agenda tersebut adalah pemuafakatan dan perkongsian. Dari segi bahasa diplomatik, pendekatan ini adalah dasar kesederha­aan yang diamalkan oleh Malaysia.

ASEAN berhadapan secara langsung dengan ancaman IS kerana sudah terlalu ramai rakyat ASEAN terpedaya dengan propaganda IS sehingga terjebak dalam aktiviti militan di Syria dan Iraq. Tambahan pula kumpulan militan Abu Sayaff yang aktif di selatan Filipina telah berikrar taat setia dengan IS.

Malaysia berpendapat cara terbaik menangani isu ini ialah perkongsian maklumat risikan untuk memantau pergerakkan rakyat ASEAN sama ada yang akan menyertai IS ataupun yang telah kembali ke negara asal masing-masing. Oleh sebab maklumat risikan adalah sensitif maka diperlukan satu mekanisme supaya penyaluran dapat dilakukan secara terancang dan berterusan.

Sepakat

Beberapa minggu lepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan tujuh rakyat Indonesia yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum menyertai IS. Kejayaan tersebut adalah hasil daripada kerjasama rapat pertukaran maklumat risikan antara kedua-dua negara, dan kerjasama sebegini perlu dijalinkan dengan kesemua 10 anggota ASEAN. Sebab itu kritikal bagi agenda ini mendapat kata sepakat kesemua yang hadir dalam ADMM.

Begitu jua dengan agenda HDR kerana ASEAN tidak sunyi dengan risiko bencana seperti yang dihadapi oleh Indonesia apabila dilanda tsunami pada tahun 2004 dan juga Filipina yang bergelut dengan kesan Taufan Haiyan pada tahun 2013. Tetapi operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH 370 terutama sekali di Laut China Selatan menyerlahkan beberapa kelemahan ketara terutama sekali yang membabitkan kerjasama pasukan penyelamat berbilang negara.

Oleh sebab ASEAN sebagai sebuah organisasi tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) HDR, aktiviti SAR MH 370 di Laut China Selatan agak terkekang kerana kawasan pencarian meliputi kawasan perairan beberapa negara. Malaysia dan Singapura umpamanya mempunyai persefahaman operasi SAR terutama sekali jika melibatkan pesawat tentera terhempas dan persefahaman sebegini sepatutnya merangkumi semua ahli ASEAN.

Tetapi paling menarik ialah agenda penubuhan pasukan pengaman kerana agenda ini dipelopori oleh Malaysia sebagai negara paling aktif dalam ASEAN untuk aktiviti pengaman PBB. Paling penting ialah agenda ini menyerlahkan dasar luar Malaysia. Jika penubuhan pasukan pengaman ini mendapat persetujuan kesemua anggota ASEAN, impaknya adalah tinggi bukan sahaja kerana berkait secara langsung dengan dua lagi agenda ADMM iaitu SOP HDR dan ancaman militan IS, tetapi ia akan menjadi rangka kerja persefahaman pertahanan ASEAN pada masa hadapan.

Selama ini ASEAN mempunyai persefahaman ekonomi, kebudayaan dan sosial yang agak kukuh tetapi agak rapuh jika berkait dengan isu pertahanan dan keselamatan. Konsep Komuniti ASEAN (AC) merangkumi kesemua bidang tersebut dan menjadi tanggungjawab Malaysia sebagai pengerusi memastikan konsep ini berjaya dilaksanakan.

Jika dikaitkan pula dengan isu tuntutan bertindih perairan maritim Laut China Selatan yang membabitkan empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Vietnam dan Filipina dan juga China dan Taiwan, maka sudah pasti keperluan pasukan pengaman ASEAN adalah begitu relevan sekali.

Ketiga-tiga agenda ADMM bukan membawa maksud bahawa Malaysia sebagai Pengerusi berhasrat membawa ASEAN ke arah dasar luar yang ekstrem tetapi sebaliknya. Tidak kira sama ada agenda SOP HDR, ancaman militan IS atau penubuhan pasukan pengaman, Malaysia sebenarnya mahu melihat ASEAN berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mempunyai objektif yang serupa dan setiap keputusan yang dibuat menggambarkan hasrat kesemua sepuluh negara ASEAN.

Mengadakan ADMM dengan latar belakang LIMA dianggap sebagai satu idea yang pintar kerana teknologi pertahanan yang canggih jika digunakan secara bersama dengan diplomasi ia pasti akan membuatkan ASEAN yang lebih kuat dan disegani.