SEBAGAI pameran uda­ra dan maritim ketiga ter­­besar di dunia sele­pas pameran udara Le Bourget, Perancis dan Farn­borough di United Kingdom, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) kali ini membawa banyak pem­baharuan yang sig­nifikan.

Selain memainkan peranan hakikinya dalam meningkatkan lagi kedudukan industri pertahanan sebagai aspek penting ekonomi negara, LIMA 2015 akan melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pengangkut­an buat pertama kalinya.

Pendekatan baharu itu semestinya mempertingkatkan penyertaan pemain-pemain industri pertahanan dunia termasuk sektor komersial dan buktinya, setakat ini, sebanyak 512 syarikat aero­angkasa dan maritim daripada 36 negara mengesahkan penyertaan mereka.

Angka itu telah melangkau sasaran LIMA 2015 sebelum ini iaitu 476 syarikat pempamer, malah jika dibandingkan dengan penyertaan pada penganjuran terdahulu, iaitu 433 syarikat pempamer. Kali ini, terdapat penambahan 79 syarikat pempamer atau peningkatan lebih 18 peratus.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkembangan tersebut menjadikan LIMA yang bakal berlangsung pada 17 hingga 21 Mac ini di Langkawi, Kedah sebagai penyertaan terbesar dalam sejarah penganjuran LIMA.

LIMA 2015 kata beliau, juga bakal mencatat rekod dalam siri penganjurannya dengan pe­nyertaan terbesar 113 pesawat berbanding 78 pesawat pada LIMA 2013. Angka tersebut termasuk penyertaan kelompok lima syarikat pengeluar utama helikopter dunia iaitu Airbus Helicopters, Boeing, Sikorsky, Agusta Westland, Bell Helicopters serta penyertaan syarikat lain seperti MD Helicopters dan Russian Helicopters.

Menurutnya, selain pesawat, penyertaan kapal pada lima siri kali ini juga mencatatkan angka terbesar iaitu 65 buah kapal setakat ini berbanding 63 buah pada LIMA 2013.

“70 peratus daripada syarikat-syarikat industri aeroangkasa dan maritim terbesar di dunia dengan pasaran modal melebihi AS$500 bilion (RM1,827 bilion) turut menyertai LIMA 2015.

“Sebanyak lima negara me­ngesahkan penyertaan untuk per­tunjukan aerobatik termasuk dari China yang tidak pernah menyertai mana-mana pameran aeroangkasa di luar China,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan LIMA 2015 baru-baru ini.

Selain itu, Hishammuddin memberitahu, LIMA 2015 akan menampilkan penyertaan pavilion 17 negara termasuk pemain-pemain utama di peringkat antarabangsa dan serantau seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Korea Selatan, Australia, China dan Jepun.

Malah LIMA 2015 merupakan antara pameran pertama di dunia menerima pempamer dari Jepun berikutan kelonggaran sekatan eksport pertahanan Jepun pada April tahun lalu.

Penganjuran LIMA 2015 juga bakal mencipta sejarahnya tersendiri dengan kehadiran Menteri Pertahanan ASEAN yang paling ramai melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang julung kalinya diadakan semasa LIMA.

“Antara agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat ini merangkumi ancaman kumpulan militan dan persediaan ASEAN menghadapinya, isu-isu keselamatan siber dan maritim, serta inisiatif-inisiatif ke arah memperkukuhkan kerjasama erat antara negara anggota,” kata Hishammuddin.

Selain itu, katanya selaras dengan pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, elemen-elemen ASEAN turut diterapkan dalam LIMA 2015 seperti Forum Perniagaan ASEAN dikelola Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Sidang Kemuncak Penerbangan ASEAN oleh Kementerian Pengangkutan, Himpunan Belia ASEAN (Kementerian Belia dan Sukan) dan Karnival Kebudayaan ASEAN (Pelancongan dan Kebudayaan).

Melalui inisiatif keberkesanan ASEAN kata beliau, kerajaan berharap LIMA 2015 bukan sahaja dapat memperkukuhkan hubungan erat dalam kalangan negara anggota, tetapi merancakkan pasaran bagi industri maritim dan aeroangkasa pertahanan dan komersial rantau ini.

Hasrat ini, jelas beliau, penting kerana ASEAN adalah pasaran ekonomi kelima terbesar di dunia yang merekodkan permintaan tinggi terhadap kelengkapan pertahanan serta pesawat komersial baharu dan pasaran pertahanan menjelang 2016.

“Sebagai satu agenda strategik negara dalam menambah daya tarikan pelancong pada pameran yang dijalankan sejak 1991 itu, LIMA kali ini merupakan penzahiran hasil dan teknologi terkini dalam bidang mari­tim dan aeroangkasa,” katanya.

Menurutnya, kerajaan telah mengiktiraf pameran tersebut sebagai acara nasional dan meletakkannya sebaris dengan pameran-pameran industri pertahanan dan maritim utama dunia yang lain seperti Pameran dan Persidangan Pertahanan Antarabangsa (IDEX) Emiriyah Arab Bersatu (UAE) serta Pameran Udara Aeroangkasa dan Pertahanan Australia (Avalon).