Biasalah rakyat kita ni suka buat ‘telahan awal’ tanpa membaca isi kandungan makluman itu sepenuhnya. Sebenarnya orang ramai tidak perlu risau kerana LHDN hanya mahu membuat peringatan mesra terutama kepada pembayar cukai yang masih belum melaporkan pendapatan mereka sehingga tahun taksiran 2017.

Ini termasuk mereka yang mempunyai pendapatan daripada Malaysia dan disimpan dalam akaun bank luar negara yang tidak dilaporkan kepada LHDN.

“Sasaran PKPS adalah satu juta pembayar cukai tampil membuat pengakuan sukarela dengan amaun cukai tambahan berjumlah RM10 bilion,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), DATUK SERI SABIN SAMITAH kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM baru-baru ini.
 

SYAFIQAH AINA
SYAFIQAH AINA 

UTUSAN: Adakah program PKPS yang diperkenalkan merupakan satu inisiatif baharu LHDN?

SABIN SAMITAH: PKPS diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa pembentangan Bajet 2019 lalu. Ia menawarkan kadar penalti yang rendah iaitu sebanyak 10 % dan 15 % ke atas cukai tambahan yang dikenakan kepada pembayar cukai yang tampil membuat pengakuan sukarela ke atas mana-mana pendapatan yang masih belum dilaporkan sehingga tahun taksiran 2017.

Fasa pertama program ini bermula 3 November 2018 dan berakhir 31 Mac 2019 dengan menawarkan penalti 10 % manakala fasa kedua bermula 1 April 2019 dan berakhir 30 Jun 2019 menawarkan penalti sebanyak 15 peratus ke atas cukai tambahan.

 

Siapa sasaran pembayar cukai kali ini?

Kita menyasarkan mereka yang mempunyai pendapatan daripada Malaysia tetapi belum dilaporkan kepada LHDN dan pendapatan tersebut disimpan di dalam akaun bank di luar negara.

Bagaimanapun, sekiranya wang dalam akaun tersebut berpunca daripada pendapatan hasil daripada sumber luar Malaysia atau pendapatan daripada sumber Malaysia dan telah dilaporkan sepenuhnya kepada LHDN, mereka ini tidak perlu tampilmenyertai PKPS.

Selain itu mereka juga tidak perlu sertai PKPS jika sumber pendapatan itu tidak dikenakan cukai seperti pelupusan pegangan saham-saham syarikat.

Mana-mana individu lain yang ingin menyelesaikan isu percukaian yang ada sebelum ini, LHDN amat mengalu-alukan penyertaan mereka dan mereka masih layak untuk menikmati kadar penalti rendah seperti yang ditawarkan dalam program itu.

Apa manfaat mereka yang menyertai program ini?

Program ini merupakan satu program penyelesaian cukai yang mudah dan segera. Ia telah dilaksanakan di beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Australia, United Kingdom dan terbaharu, Indonesia menerusi programnya “Amnesti Pajak” yang telah tamat pada Mac 2018.

Apabila pembayar cukai menyertai program PKPS, mereka dianggap telah menyempurnakan rekod-rekod percukaian mereka sehingga tahun taksiran 2017.

Ini membolehkan mereka bermula dengan “bersih” mulai tahun taksiran 2018 apabila mereka memfailkan borang nyata cukai pendapatan masing-masing bermula 1 Mac lalu.

NUR AMIRA ABD. RASHID
NUR AMIRA ABD. RASHID 

Adakah pihak LHDN telah mengenal pasti sejumlah rakyat yang dikesan masih belum melaporkan pendapatan diterima di Malaysia dan disimpan di dalam akaun bank luar negara yang belum dilaporkan?

Bagi mereka yang mempunyai akaun di luar negara, prosedur pembukaan akaun bank adalah seragam di peringkat antarabangsa. Semua maklumat termasuk percukaian perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa negara tersebut.

Di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) yang ditandatangani lebih 100 negara, LHDN telah mula menerima maklumat pemilikan akaun bank seperti ini mulai September 2018.

Sehingga kini, LHDN telah menerima lebih daripada 450,000 akaun bank yang telah dibuka rakyat Malaysia di 57 buah negara.

Atas dasar inilah PKPS ditawarkan sebagai satu penyelesaian cukai bagi mereka yang mempunyai akaun bank di luar negara tetapi belum melaporkan sumber pendapatannya kepada LHDNM.

Berapa banyak kutipan hasil cukai yang berjaya dijalankan hanya melalui program ini?

Sasaran PKPS adalah satu juta pembayar cukai dengan amaun cukai tambahan berjumlah RM10 bilion. Sambutan pada peringkat awal pelaksanaan program ini agak perlahan, namun ada peningkatannya.

Setakat ini, lebih 203,000 pembayar cukai daripada pelbagai kategori telah tampil membuat pengakuan sukarela.

Jika mana-mana pihak ingin mengambil bahagian dalam PKPS pada tahun ini, adakah tahun-tahun taksiran sebelumnya pihak LHDN turut menjalankan semakan lanjut?

LHDN menganggap pelaporan yang dibuat sehingga tahun taksiran 2017 adalah betul dan teratur.

Oleh itu, LHDN tidak akan menjalankan semakan lanjut, termasuk menjalankan audit dan siasatan ke atas mereka yang telah menyertai PKPS.

INSTAFAMOUS PUN KENA CUKAI?

Adakah program PKPS ini turut menyasarkan mereka yang menjalankan perniagaan online atau golongan Instafamous yang memperoleh pendapatan ‘tersembunyi’ hanya dengan membuat gift review?

Pendapatan Instafamous dan mana-mana perniagaan secara online yang dibayar kerana melakukan gift review atau perkhidmatan melalui platform digital adalah tertakluk kepada pengenaan cukai pendapatan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ini sekiranya jumlah pendapatan termasuk pendapatan lain seperti penggajian sekiranya ada melepasi kadar minimum yang boleh dikenakan cukai di bawah akta tersebut.

Sebagai contoh, Ali mempunyai pendapatan tetap (gaji) dari syarikat ABC Sdn. Bhd. berjumlah RM5,000 sebulan.

Beliau juga mempunyai pendapatan tambahan hasil daripada bayaran ulasan yang dibuat melalui Instafamous berhubung produk kecantikan dan menerima RM10,000, RM15,000 dan RM25,000 secara berkala daripada syarikat kosmetik sepanjang tahun 2017.

Bagi Tahun Taksiran 2017, pendapatan yang sepatutnya dilaporkan oleh Ali adalah:

Penggajian – ABC Sdn. Bhd.: RM60,000

Pendapatan lain - Instafamous: RM50,000

JUMLAH: RM110,000.00

Oleh itu, LHDNM amat menggalakkan golongan ini agar dapat menyertai PKPS untuk menyelesaikan isu percukaian mereka.