Memang banyak nasihat Bro Tompok kali ini nampaknya boleh pakailah. Yang boleh ikut, kita ikutlah. Kita, orang perempuan ni bukanlah nak menentang tak tentu hala. Tak akan nak kata tak betul, kalau nasihat tu memang berguna.

Tapi bab mengata perempuan kalau nampak lelaki kacak dan sado, mulalah badan gatal satu badan tu, Miss Kitty tak setuju langsung. Sebab apa, lelaki kacak zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat. Bukan sebab mereka ini cenderung jadi `kaki temberang’ atau `kaki perempuan’, tetapi takut-takut kalau dia `kaki lelaki’!

Yang `kaki lelaki’ ni kita bukan boleh nampak dan kesan sangat, tak macam lelaki yang `kaki perempuan’. Sebab bila dating, dia memang tak pandang pun perempuan-perempuan yang lalu lalang depan dia. Kita pun jadi perasanlah kononnya dia fokus pada orang di depannya saja. Kalau asyik pandang lelaki pula, kita pun susah nak syak apa-apa.

Miss Kitty bukan apa, dah banyak sangat lihat lelaki jenis hensem dan jambu ni tak berminat dengan perempuan. Ada yang berminat pula, tapi pada masa sama, ada `teman istimewa’ lelaki. Panggilan pun bersayang-sayang bagai. Macam mana tu? Geli pula.

Entahlah, keliru betul Miss Kitty. Teringat Miss Kitty cerita seorang kawan. Mula-mula dia sakan bercinta dengan seorang lelaki yang hebat juga kerjayanya. Memang tak sangka langsung teman lelakinya itu sebenarnya pada masa sama suka juga pada kaum sejenis. Sehinggalah pada satu hari, kawan Miss Kitty terjumpa komen teman lelakinya dalam satu akaun Facebook untuk golongan gay dari luar negara. Dan bila dia stalk lagi akaun Facebook tersebut, rupanya ada gambar teman lelakinya di situ yang mahu berkenalan dengan ahli-ahli dalam kumpulan tersebut.

Nak kata terkejut beruk ke, terkejut beruang ke, kawan Miss Kitty tu, semuanya ada. Adoi. Nasib baik tak ada sakit jantung. Bila dia bertanya kepada teman lelakinya itu pasal hal dalam Facebook tu, teman lelakinya tak menafikan pun, diam saja sampai ke sudah. Sehinggalah mereka terus tak berhubung lagi. Orang kata, lebih baik tahu awal, daripada bila dah kahwin nanti dapat tahu, macam-macam hal pula jadinya. Kan?

Itu yang dapat tahu awal-awal lagi, yang dah kahwin baru tahu atau tak sedar-sedar juga suami spesies macam itu pun ada.

Jadi memang susahlah nak percaya dengan lelaki kacak dan sado ni. Tak adalah sampai nak gatal-gatal satu badan bila orang perempuan tengok macam dakwaan Bro Tompok. Yang gatal-gatal tu sebab alahan kot, tak boleh makan seafood ke apa. Pandai-pandai saja Bro Tompok ni, mengata orang perempuan gatal.

Tapi Miss Kitty tak katalah, lelaki yang tak hensem tu tak terlibat dalam percintaan sejenis ni. Ramai juga. Tak kiralah muka hensem atau tidak. Bayangkan mereka ni, boleh sentap dengan pasangan masing-masing kerana cemburu atau bergaduh berebutkan lelaki!

Ada juga Miss Kitty tengok yang tak malu-malu jalan berpegang tangan dan ada yang dok gosok-gosok paha kawan sebelah dia semasa makan pun ada. Terbantut tau selera nak makan bila tengok drama-drama percintaan terlarang ni di depan mata Miss Kitty. Rasa nak tarik je telinga couple ni dan cakap, nak bercinta pergi jauh-jauh nun.

Bro Tompok pun jaga-jagalah. Manalah tahu ada `peminat misteri’. Jangan perasanlah semua peminat Bro Tompok yang mengaku kacak ni semua perempuan, entah-entah spesies lelaki suka lelaki pun ada. Seram tak?

Miss Kitty - Kaki tidur.