Tetapi benarkah lelaki dikatakan paling sukar dalam membuat keputusan? Baru-baru ini, akak cute ada bersembang dengan seorang kawan yang pernah satu sekolah dulu. Sebelum tu dia ajak akak cute berjumpa dan biasalah kita mahu ‘berbasa-basi’ bertanya kat mana nak jumpa. Terkejut akak cute tiba-tiba si kawan ni melenting pula dengan soalan itu. “Eh kau ni takkan nak pilih kedai makan pun nak tanya aku?”

Malas nak bertanya lanjut, akak cute cakap je lah nanti kita jumpa kat kedai mamak. Kita ni baru je planning nak belanja dia kat restoran mahal. Tak jadilah, potong stim pula kena marah macam tu.

Dipendekkan cerita, berjumpalah akak cute dengan kawan ni. Hampir sejam juga borak-borak. Tetapi akak cute tak lupa kes dia marah tadi. Sebelum balik terus bertanya dia apa sebab dia sensitif sangat dengan soalan nak pilih kedai makan tadi.

Katanya, dia geram sangat dengan sikap lelaki yang semua benda nak suruh perempuan fikir. Sehinggakan hal-hal remeh pun diserahkan kepada perempuan untuk membuat keputusan termasuklah mana tempat nak makan. Kadang-kadang naik angin satu badan bila kita dah pilih tempat makan, tak setuju pula. Sudahnya makan kat rumah saja.

Tergelak juga akak cute dengar kawan membebel. Tertanya-tanya juga betul ke lelaki sukar buat keputusan. Yelah kalau setakat nak pilih kedai makan pun sampai bergaduh-gaduh. Sebenarnya lelaki ini susah nak buat keputusan ke atau tak mahu membuat keputusan? Akak cute percaya lelaki ni sebenarnya tidak mahu dipersalahkan kalau keputusan yang dia buat itu tidak betul. Dan jika keputusan itu salah, maka senanglah dia untuk menuding jari. Jadi senang cerita, baik dia ‘lari’ awal-awal lagi.

Pernah juga kes seumpama ini berlaku dekat saudara akak cute sendiri. Isunya agak besar juga tentang keputusan untuk berhenti kerja atau tidak. Sebagai isteri sudah tentulah pendapat suami diperlukan. Tetapi bila ditanya, jawapan yang diberikan “terpulanglah”. Hendak dijadikan cerita, berlaku masalah selepas isteri itu berhenti kerja. Dan pada masa itu, si suami mula nak menyalahkan isteri. Betapa sakitnya hati, bukannya nak memberi sokongan moral, ditambah pula dengan kata-kata menyakitkan sebegitu.

Mungkin bagi lelaki perkara sebegini dianggap kecil, tetapi sebenarnya ia boleh meruntuhkan rumah tangga. Jika anda boleh buat keputusan besar memilih perempuan mana untuk dijadikan isteri, jadi kenapa begitu sukar untuk buat keputusan lain sesudah berkahwin?