Miss Kitty kuat propa? Tak percaya, sudahlah. Kali ini, Miss Kitty tak mahu mengutuk Bro Tompok sangat. Selalunya pun bukan Miss Kitty kutuk dia, cuma beri nasihat dan peringatan mesra. Dia seka­rang berada di Tanah Suci Mekah, menunaikan umrah. Alhamdullilah. Beruntungkan Bro Tompok. Harap-harap dia tak lupa doakan kesejahteraan Miss Kitty yang orang kata becok tapi baik hati lagi jelita ni. Eh, terangkat diri sendiri pula, macam Bro Tompok. Eh, termengata Bro Tompok pula.

Kali ini Miss Kitty nak tulis pasal lelaki kuat membawang. Jangan ingat orang perempuan saja suka mengumpat. Lelaki kalau membawang lagi teruk dan buruk perangai. Pernahkan dengar lelaki mengumpat? Dorang ni buat muka steady je kalau tengah mengumpat. Tak macam perempuan, nampak sangat mengumpat dengan mimik muka sekali. Sebab tu, kadang-kadang kita tak perasan pun orang lelaki yang bersembang ramai-ramai tu sebenarnya tengah leka bergosip.

Topik apa yang mereka umpatkan? Lagi dahsyat daripada perempuan. Bukan sekadar mengata orang yang dekat-dekat ini, tetapi umpatan mereka melepasi sempadan antarabangsa.

Hari tu Miss Kitty dengar, kawan-kawan Miss Kitty terutamanya penyokong Manchester United dan Liverpool mereka membawang pemain-pemain bola Chelsea tau. Macam mana boleh kena dengan Manchester City sampai setengah dozen? Eh, cubalah korang yang main, dengan budak-budak sekolah pun korang boleh masuk gua. Sembang kuat!

Kadang-kadang tu Miss Kitty selalu juga pasang telinga, bila tengah makan sorang-sorang di restoran mamak waktu pagi. Cerita yang mereka bawangkan, pasal tempat kerjalah. Tak puas hati dengan si A lah, si B kaki tuang kerjalah, si C suka bodek bosslah sambil-sambil tu Miss Kitty tengok jam, dorang ni tak kerja ke? Siapa yang sebenarnya tuang kerja ni, si B ke atau korang? Lainlah Miss Kitty, masuk kerja petang. Pagi-pagi boleh santai, lepak mamak sambil baca surat khabar.

Dan jangan tak tahu, kalau ada cerita yang sensasi di pejabat pun, yang menyebarkannya adalah orang lelaki. Yang ini Miss Kitty biasa sangat. Kadang-kadang terkejut juga, bila tanya dari mana dapat maklumat ni? Dari si N lah, (seorang lelaki). Amboi, cepatnya dia pi canang satu opis. Cabut misai tu satu persatu baru tahu. Tularnya tak memerlukan media sosial. Kalau ada 10 lagi dalam dunia lelaki seperti ini, Mark Zuckerberg sah tak boleh cari makan.

Lelaki ada juga yang di depan kita mulut manis, belakang kita belum tahu. Kadang-kadang kita cerita sikit, dia pi tambah dan menyebarkannya pada orang sekeliling. Esok lusa mulalah kawan-kawan dia pandang kita semacam sahaja.

Bercerita hal-hal peribadi kepada orang lelaki pun bukan semua boleh dipercayai. Lebih baik simpan sendiri. Dalam dunia ini, mahu cari keikhlasan memang susah. Tak kiralah dengan lelaki atau perempuan.

Dan yang paling Miss Kitty tak boleh tahan dengar, apabila ada lelaki yang membawang pasal fizikal orang perempuan. Perempuan tu gemuklah. Kurus keringlah. Tak cantiklah. Perasan cantiklah. Hello! korang tu ada muka macam Mesut Ozil tak? Perut buncit pun tak boleh sorok, ada hati pakai kemeja ketat pi opis! Opss, terkutuk pula.

Islam pun melarang umatnya mengumpat. Dan ini bukan tertakluk kepada orang perempuan sahaja ya. Lelaki pun sama. Bye!

Miss Kitty - Tak suka potong bawang.