Yang membuatkan suapan Miss Kitty tu terhenti apabila salah seorang daripada mereka bercakap - “Gemuk macam itu pun kau nak mengurat. Tu kalau dah kahwin lagilah debab. Kau kena beli lori suruh dia duduk belakang.”

Miss Kitty pun menoleh untuk melihat orang yang bercakap itu. Hendak juga tengok siapakah gerangan lelaki yang berkata-kata itu. Adakah kacak sangat orangnya? Kalau kacak bolehlah Miss Kitty kenyit-kenyit mata. Adakah rupanya macam pemain bola sepak handalan, Cristiano Ronaldo ke atau penjaga gol Manchester United, David De Gea?

Sekali Miss Kitty jenguk tengok, alahai, bukanlah hendak mengutuk, tapi Miss Kitty rasa, kalau dia ni pergi minta kerja dekat pusat jimnasium, memang tak lepas ni. Diri sendiri pun gemuk dan boroi, 
lagi sibuk hendak mengata fizikal orang perempuan.

Miss Kitty selalu dengar, orang lelaki bukan main suka mengata orang perempuan, terutamanya bila sudah berkahwin. Tak reti jaga badanlah. Daripada genit masa anak dara jadi gempallah, alignment larilah dan macam-macam lagi. Eh, come on lah gais, korang pun apa kurangnya. Tolonglah jaga penampilan walaupun dah berkahwin. Tang isteri, dia suruh jaga badan. Tang dia, macam mana pula?

Ramai je lelaki yang bila dah kahwin mengabaikan perut. Ada badan kurus tapi perut buncit, yang gemuk sama naik dengan perut pun ramai.

Mana perginya penampilan ala Leonardo DiCaprio masa bercinta dulu? Dulu keluar bukan main lagi sembur minyak wangi sebotol. Bila dah kahwin, satu kereta bau peluh. Minyak wangi pun tak nak beli kalau isteri 
tak hadiahkan masa hari jadi. Bau stoking pula jangan ceritalah. Bagi dekat kucing, kucing pun lari rumah, tak nak balik-balik.

Dan sekarang ni Miss Kitty tengok ramai betul lelaki yang pergi kerja pakai kemeja slim fit. Miss Kitty memang suka tengok lelaki berpakaian kemas. Kemeja lengan panjang dan seluar slack yang bergosok rapi. Nampak pula garisan gosokkan pada lengan baju. Kalau muka tu tak hensem, bila berpakaian kemas terus nampak hensem.

Tetapi sedarkah orang lelaki ni, kemeja slim fit tu bukan calang-calang orang yang boleh pakai. Kalau badan tu langsing okeylah. Kalau ada lebihan di perut eloklah pakai baju kemeja yang biasa-biasa saja. Tetap nampak kemas.

Bukan apa, sakit gak mata Miss Kitty bila ada keberanian orang lelaki berperut buncit memakai baju itu. Kadang-kadang nampak macam butang kat perut hendak tercabut. Risau pula tertanggal depan Miss Kitty. Miss Kitty ni kuat melatah tau.

Apalah salahnya jaga perut dan penampilan walaupun dah bergelar suami. Jangan beri alasan isteri tak bagi sebab takut mengurat perempuan lain. Isteri pun hendak tengok suami tetap maintain dari segi penampilan dan sikap seperti masa bercinta dan sebelum kahwin dulu.

Lagi satu, janganlah asyik komplen, isteri gemuk. Kalau gemuk, ajaklah pergi joging ke, belikan ubat-ubat kurus yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan ke, atau beri galakan untuk mereka menjalani diet sihat. Jangan setakat merungut isteri tak cantik. Lepas tu pergi cari perempuan lain. Kalau Miss Kitty dapat lelaki macam ni, Miss Kitty siku kat perut tu cukup-cukup!

Miss Kitty - Kadang-kadang ikat perut.