Dia berpakaian baju putih, berseluar putih, bersongkok hitam dan sentiasa membawa raga rotan bertangkai kecil berisi buku, majalah, akhbar dan fail kerja di pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di Masjid Negeri, Georgetown.

Waktu itu Tumpang mengetuai biro Utusan negeri itu hingga 2006.

Kalau masuk ke pejabatnya menghadiri sidang akhbar pasal isu-isu berkisar kepenggunaan, yang

 

kami wartawan akan hadap adalah tempat pertemuan yang tersedia kerusi rotan lama, dengan rak-rak tersusun buku-buku dan majalah di sisi.

Sesekali Uma, setiausahanya menerima panggilan telefon daripada wartawan bertanyakan sosok yang kami panggil “Pak Deris atau Mr. Idris” itu sudah sampaikah ke belum. Sidang medianya acap kali dipenuhi ramai.

Di luar CAP pula, tersedia sebuah Proton Saga kelabu asap, yang akan membawa beliau meninjau kawasan bak wakil rakyat.

Lima belas tahun berlalu. Baru bulan lepas sahaja, 18 April (2019), Tumpang lihat kelibat Presiden CAP ini dalam usianya 93 tahun masih muncul dengan rona pakaian sama, tetapi kali ini berkerusi roda di Jalan Masjid Negeri, Georgetown bersama NGO - membantah apa disifatkannya suatu kelulusan projek tambak laut tiga pulau di perairan negeri itu yang ‘membimbangkan’ - kesan terhadap alam sekitar, sosial dan kewangan.

“Masih lagi dia seperti yang dulu,” bisik Tumpang.

Tiga hari lalu, Jumaat masuk Ramadan ke-12, rakan seperjuangan Tumpang, Khuzairy aka Ery yang kini mengetuai biro Utusan Pulau Pinang melaporkan S.M Idris sudah tiada (mengadap Ilahi disebabkan kesukaran bernafas).

“Al-fatihah. Perginya seorang lejen (legenda),” terpacul dari mulut Tumpang.

MENDAHULUI MASA

Sesuatu yang terkesan di hati Tumpang dan sesiapa sahaja, Allahyarham kalau sudah bermula dalam perjuangkan sesuatu isu, beliau tidak akan berhenti. Biarpun isu-isu itu sudah berlalu empat, lima dekad, masih terus ‘dikejarnya’.

“Isu-isu pengguna dan alam sekitar yang baharu atau belum timbul lagi pun beliau telah jangkakan akan berlaku dan menjadi penting.

“Hari ini WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) memberi amaran gula menjejaskan kesihatan, tetapi CAP pada 20 tahun lalu telah pun mengingatkan ancaman gula ini terhadap peningkatan kolestrol dan diabetes.

“Begitu juga kesan pil-pil antibiotik yang disalahguna pengambilannya hari ini juga telah dibangkitkan CAP sejak 1980 lagi,” kata Martin Khor, 67, setiausaha CAP ketika dihubungi Tumpang semalam.

Dan waima bukit-bukit yang ditarah kejam kononnya atas nama pembangunan termasuk hingga

ISMAIL HASHIM
ISMAIL HASHIM 

runtuh meragut nyawa, itupun telah ‘diramal’ oleh Allahyarham pada persidangan pertama CAP mengenai alam sekitar pada 1970 - hanya selepas setahun CAP didaftarkan dan Allahyarham diangkat presiden pertama, sebelum menjadi ahli Pertubuhan Kesatuan Pengguna-pengguna Antarabangsa (IOCU).

Keintelektualan Idris tinggi. Setiap hari Allahyarham sebolehnya mahu menghabiskan membaca puluhan, malah lebih 100 buku, majalah dan akhbar-akhbar tempatan dan asing yang menyentuh isu-isu alam sekitar dan pengguna.

“Old timer seperti beliau tak pernah gunakan telefon bimbit tetapi semua isu ini diperoleh daripada hasil perbualannya setiap hari dengan orang ramai, pakar-pakar, agensi-agensi kerajaan, ahli-ahli media selain dari pembacaan.

“Bagi beliau, journalist tidak sekadar terbitkan laporan malah tahu segalanya,” katanya.

Sebab itu Allahyarham mampu mengulas apa sahaja berlandaskan fakta dari isu-isu berkisar implikasi projek tambak laut, impak jutaan nyamuk “pendekar” yang mahu dilepaskan untuk menentang aedes, risiko kerosakan sperma termasuk mati pucuk kepada

MARTIN KHOR
MARTIN KHOR 

pengguna telefon bimbit, sehinggalah ke kisah bahaya bekas makanan dan minuman diperbuat dari polistiren penyebab kanser dan ‘kandungan garam’ tinggi papadom.

Hasilnya, selepas bertahun-tahun perjuangan Allahyarham dalam CAP, penggunaan polisterin akhirnya dilarang di semua premis makanan dan kafetaria mulai 2017.

BERPENGARUH

Perjuangan CAP bukan setakat terhenti dalam negara. Jenama CAP menerusi Idris begitu dikenali di arena antarabangsa antaranya di China, India, Nepal, Myanmar dan Amerika Syarikat. Selain CAP, Idris turut mengasaskan Sahabat Alam Malaysia, Institut Masyarakat, Rangkaian Dunia Ketiga dan Citizens International.

“Saya masih ingat semasa ke persidangan pergerakan pengguna di Amerika Syarikat pada 1990, Ralph Nader, seorang aktivis pengguna berpengaruh dunia bertanyakan khabar Allahyarham yang disifatkan tokoh itu sebagai hero pengguna,” kata Martin.

Tumpang bertanya Martin, apa pesanan Allahyarham yang menjadi dorongan dan pegangan ahli-ahli CAP.

“Pastikan apa sahaja metodologi penyelidikan, idea serta perjuangan CAP akhirnya bermanfaat untuk kehidupan masyarakat. Pesan Allahyarham lagi, kita ada hak pengundi, tetapi lebih dari itu lagi memiliki hak pembayar cukai, sekali gus selaku pelanggan yang harus dilayan oleh kerajaan.

“Kerana itu semua penyelidikan CAP berkaitan isu-isu perdagangan, kos sara hidup dan produk berbahaya dihantar ke beberapa kementerian, menteri bahkan kepada Perdana Menteri untuk perhatian dan penyelesaian.

Dalam pada itu, pensyarah komunikasi di Universiti Selangor (Unisel), Ismail Hashim, 57, berkongsi dengan Tumpang kenangannya semasa menjadi pegawai penyelidik di CAP dari 1990-2002 di Pulau Pinang.

“Allahyarham bekerja bukan 100 peratus tetapi 120 peratus. Disiplin kerjanya cukup tinggi, kami ada deadline yang ketat. Komitmennya susah nak saing, bila kami balik, dia masih belum keluar dari pejabat,” kata Ismail, 57.

Martin sebelum mengakhiri perbualan dengan Tumpang, mengucapkan terima kasih dan penghargaan Allahyarham dan ahli-ahli CAP kepada Utusan Malaysia yang tidak pernah gagal menyiarkan isu-isu kepenggunaan dari pertubuhan itu.

Dan Tumpang cukup menghargainya, justeru mengawalkan sehari siaran kolum ini sebagai penghormatan buat bapa gerakan kepenggunaan ini.

Al-fatihah. Semoga Allahyarham dicucuri rahmat oleh-Nya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.