Berdasarkan Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, didapati keluasan ke­seluruhan kawasan ladang hutan pada 2008 adalah 108,512 hektar. Jumlah ini menunjukkan peningkatan kepada 324,417 hektar (atau 6.6 peratus) daripada Hutan Simpan Kekal (HSK) pada 2013.

Ini menunjukkan bahawa lonjakan berlaku hampir 200 peratus dalam tempoh hanya lima tahun. Dari statistik yang dikeluarkan juga menunjukkan lonjakan ketara berlaku dari 2012 ke 2013 (dalam tempoh hanya setahun) iaitu daripada 197,829 hektar kepada 324,417 hektar.

Melihat kepada statistik ini, didapati keluasan kawasan HSK yang dibangunkan dengan ladang hutan kian meningkat saban tahun. Lebih menggusarkan apabila projek pembangunan ladang hutan didapati dilakukan secara tidak beretika sehingga menyumbang kepada kemusnahan sebahagian besar hutan hujan tropika serta kepincangan terhadap alam sekitar dan ekosistem.

Keghairahan pembukaan dan pembangunan ladang hutan perlu dihadkan/dihentikan dengan segera walaupun turut diiktiraf sebagai hutan dalam polisi perhutanan negara. Ini kerana sekiranya aktiviti ini tidak dihadkan, dikhuatiri kita tidak berlaku adil terhadap alam sekitar memandang­kan ladang hutan tidak mampu menjalankan fungsi yang sama seperti hutan semula jadi.

Bayangkan apa akan terjadi sekiranya aktiviti ini masih tidak dihentikan? Tidakkah rata-rata kita mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian bencana alam yang berlaku saban tahun, umpamanya bencana alam berskala besar seperti yang berlaku di beberapa negeri pantai timur (Kelantan,Terengganu dan Pahang) pada 2014?

Mengimbas kembali kejadian banjir besar berkenaan, didapati lumpur dan balak bergelimpangan di merata-rata kawasan yang terjejas teruk. Ini memberi gambaran jelas bahawa tragedi tersebut bukan berlaku lantaran fenomena semula jadi semata-mata, sebaliknya berpunca daripada aktiviti pembalakan berskala besar.

Malangnya, tragedi ini seolah-olah tidak memberi sebarang makna dan jauh sekali memberi pengajaran kepada segelintir kita apabila kerakusan aktiviti pembalakan terutamanya untuk tujuan pembangunan ladang hutan masih lagi berlaku di segenap pelosok negeri.

Ini tidak bermakna, ladang hutan langsung tidak boleh diba­ngunkan untuk memangkinkan pembangunan ekonomi, sebaliknya elakkan daripada menggadaikan kawasan hutan simpan ataupun hutan perlindungan hanya semata-mata untuk membangunkan ladang hutan. Apatah lagi, masih banyak alternatif lain seperti kawasan tanah-tanah terbiar yang boleh digunakan untuk tujuan berkenaan tanpa mengganggu gugat kelangsungan ekosistem hutan semula jadi.

Masyarakat perlu diberi pendedahan bahawa keghairahan membangunkan ladang hutan tidak membawa sebarang kebaikan kepada alam sekitar, sebaliknya boleh mengundang kemudaratan yang besar di kemudian hari.

Ini memandangkan, ladang hu­tan tidak mampu menjadi kawa­san tadahan air kerana tidak mempunyai strata pokok yang bertingkat-tingkat yang boleh membantu memperlahankan cu­rahan air hujan sebelum masuk ke dalam tanah. Dalam erti kata lain, ladang hutan tidak mampu menjalankan fungsi sebagai span se­mula jadi yang bertindak menye­rap air hujan.

Antara kelemahan ketara ladang hutan ialah tidak mampu menjadi habitat kepada kepelbagaian biologi serta spesies hidupan liar. Selain itu, ladang hutan juga gagal menyediakan khidmat ekosistem sebagaimana hutan semula jadi kerana mempunyai satu jenis pokok sahaja. Misalnya, tanaman monocrop seperti kelapa sawit yang menjadi ladang tanaman dominan negara ini tidak mampu mengukuhkan struktur tanah ke­rana hanya mempunyai sistem akar yang pendek dan serabut tidak seperti akar pokok-pokok hutan semula jadi yang tunjang dan panjang yang mampu mencengkam tanah daripada terhakis.

Ladang hutan juga tidak mampu memainkan peranan sebagaimana hutan semula jadi dalam aspek pengawalan suhu dan cuaca. Tanaman ladang seperti pokok kelapa sawit umpamanya mempunyai ciri-ciri daun tidak lebar, lurus serta tirus, tidak se­perti daun-daun pokok hutan biasa (mempunyai permukaan daun/korofil yang luas) bagi memaksimumkan proses fotosintesis serta membantu memerangkap karbon dioksida yang menjadi punca berlakunya pemanasan global.

Justeru, sekiranya ekosistem hu­tan semula jadi digantikan de­­­­ngan ladang, maka ia akan meng­akibatkan suhu persekitaran men­jadi panas. Ini sekali gus menye­babkan banyak air tersejat dan proses kondensasi berlaku dalam kadar yang tinggi. Keadaan ini secara tidak langsung boleh menyum­bang kepada berlakunya hujan lebat dan banjir.

Sewajarnya peringatan Allah SWT di dalam al-Quran dijadikan iktibar dan pedoman kepada semua pihak sebagaimana firman-Nya di dalam surah ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).