Labuan yang diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1984 adalah satu-satunya hab kewangan pesisir pantai negara. Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) ditubuhkan pada Oktober 1990, bagi mengurus sumber kekayaan semula jadinya iaitu mi­nyak dan gas yang menjadi teras pendapatan utama Labuan.

Sejak mula beroperasi, Labuan IBFC menjadi pilihan pelabur dari seluruh dunia bukan sahaja di­sebabkan lokasi strategik Labuan menjadi penghubung antara Malaysia dengan negara Asia Pasifik lain, malah nilai tambah yang ditawarkan oleh Lembaga Perkhidmatan Labuan (Labuan FSA) iaitu badan berkanun yang bertanggungjawab menyelia, menyelaras undang-undang dan memba­ngunkan Labuan IBFC.

Selain struktur cukai fleksibel di bawah Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 yang antara lain membolehkan sesebuah syarikat yang diperbadankan dalam Labuan IBFC membayar sama ada tiga peratus atau RM20,000 cukai setahun, pusat perniagaan dan kewangan berkenaan turut mempunyai peraturan serta undang-undang ketat sekali gus berjaya menepis persepsi umum terhadap pusat kewangan pesisir pantai yang seringkali terpalit dengan kontroversi sebagai medan pengubahan wang haram.

Hal ini berjaya dibuktikan apabila kedudukan Labuan IBFC sebagai antara gerbang perniagaan dan kewangan terbaik rantau Asia Pasifik semakin kukuh dengan 70 peratus daripada lebih 13,000 syarikat yang memilih untuk melabur dan beroperasi di Labuan adalah dari rantau tersebut.

Ketegasan dan ketelusan La­buan FSA mengukuhkan pe­ngawal seliaan dengan terus menggalakkan tadbir urus korporat yang berkesan dan amalan pasaran yang terjamin, wajar dipuji setelah terlibat secara aktif dalam usaha menambah baik Penilaian Risiko Negara untuk mencegah pengubahan wang ha­ram dan pembanterasan pembiayaan keganasan dikenali sebagai AML/CFT.

Unit dasar dan penyeliaan AML/CFT diwujudkan khusus selaras dengan peningkatan sokongan global untuk meningkatkan ketelusan dan memperketat per­aturan pencegahan pengubahan wang haram selain memastikan Labuan IBFC sentiasa dalam ke­adaan berwaspada bagi memenuhi piawaian antarabangsa. Penguatkuasaan yang berkesan membuatkan jumlah kes ketidakpatuhan menurun sebanyak 25.5 peratus pada tahun lalu.

Dalam Laporan Tahunan Labuan FSA 2016 baru-baru ini, Labuan IBFC kekal mencatatkan pertumbuhan positif terutama dalam bidang perniagaan utama­nya iaitu perbankan, insurans dan pengurusan kekayaan meskipun pertumbuhan syarikat yang diperbadankan di Labuan IBFC adalah sederhana iaitu pada 6.3 peratus berbanding 7.2 peratus 2015, di­sebabkan trend ekonomi dunia yang agak perlahan.

Sektor perbankan kekal menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan Labuan IBFC de­ngan peningkatan aset seba­nyak 7.6 peratus kepada AS$51 bilion (RM221.71 bilion) tahun lalu berbanding AS$47.4 bilion (RM206.07 bilion) pada 2015.

Jumlah pinjaman terkumpul bagi sektor perbankan di Labuan mencecah AS$31.8 bilion (RM137.22 bilion) dengan bahagian bukan pemastautin menguasai 62.4 peratus daripada jumlah pinjaman. Dari segi geografi, peminjam dari ASEAN adalah penyumbang terbesar dengan jumlah terkumpul sebanyak AS$22.8 bilion (RM98.38 bilion) meliputi sektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi sebagai bidang perniagaan utama.

Sektor berkenaan turut memberi impak positif kepada perkembangan sosioekonomi masyarakat tempatan apabila jumlah rakyat Malaysia yang be­kerja dengan bank Labuan mening­kat kepada 447 orang tahun lalu berban­ding 429 pada 2012 dengan jumlah pekerja asing turun mendadak kepada hanya 37 berban­ding 59 orang bagi tempoh sama.

Penyelesaian pengurusan kekayaan antara cabang perniagaan yang sentiasa menjadi pilihan pelabur ke Labuan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 13.2 peratus kepada 188 dengan 78.2 peratus daripadanya dari rantau Asia Pasifik.

Menyedari persaingan yang semakin sengit dalam dunia globalisasi kini, ditambah dengan kedudukan ekonomi global yang tidak menentu, Labuan IBFC dan Labuan secara keseluruhannya amat memerlukan suntikan baharu bagi merubah pulau kecil ini menjadi lebih mampan dan kukuh menghadapi cabaran akan datang.

Justeru menurut Pengerusi Labuan FSA, Datuk Seri Muhammad Ibrahim yang juga Gabenor Bank Negara, beberapa inisiatif akan dilaksanakan tahun ini bagi memperkukuh kedudukan Labuan sebagai antara pusat kewangan terbaik rantau Asia Pasifik di samping menjalankan perniagaan dengan profesional dan berintegriti. Ini termasuk menilai semula kedudukan Labuan IBFC dengan memperkenalkan lebih banyak nilai tambah dan bidang perkhidmatan supaya tidak terlalu bergantung kepada sesuatu bidang semata-mata.

Selain itu, pembangunan ekonomi dan infrastruktur amat diperlukan bagi membolehkan Labuan kekal berdaya saing di samping meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan yang dahagakan kemajuan dan tidak terlalu bergantung kepada mi­nyak dan gas serta perkhidmatan kewangan semata-mata sebagai sumber pendapatan.

Atas dasar itulah, kerajaan me­lalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan merencana Pelan Induk Pemba­ngunan Labuan 2030 supaya pulau berkenaan tidak terlepas daripada arus pemodenan yang ditagih penduduk pulau ber­kenaan.

Pelan itu bakal merancakkan aktiviti ekonomi dan sosial kawasan berkenaan sekali gus me­ningkatkan pendapatan serta sumbangan Labuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahap lebih tinggi berban­ding hanya RM5.2 bilion atau 0.45 peratus pada 2015. Di samping itu, pelan itu juga akan memperkasakan sektor minyak dan gas serta perkhidmatan kewang­an sedia ada di pulau ber­kenaan, di samping sektor lain termasuk pelancongan, pendidikan dan perkhid­matan awam dengan sasaran kadar pertumbuhan sekitar tujuh peratus menjelang 2030.

Ternyata, Pelan Pembangunan Labuan 2030 yang sedang dirancang bakal menukar wajah Labuan setanding Singapura. Labuan kelak bukan lagi sekadar tempat kapal berlindung daripada ribut dan serangan lanun, sebaliknya pulau yang terkenal sejak kurun ke-19 dengan nama ‘labohan’ ini akan muncul sebagai pulau ‘gergasi’ yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan Malaysia.