Kali ini Miss Kitty hendak cerita pasal perangai orang lelaki yang suka mengutuk orang perempuan `kaki swafoto’. Bab-bab selfie ni, kata mereka, bagilah pada orang perempuan. Sesekejap tak sampai 15 minit ada saja gambar diri sendiri dimuat naik dalam laman sosial. Kapsyen yang selalu digunakan - “Muka sembab tak cukup tidur” atau “ Mata merah masuk habuk”, walhal elok je muka dan mata tu. Tak ada apa-apa pun. Sebenarnya saja hendak tayang muka. Taktik lapuk!

Ya, betullah, orang perempuan ini suka sangat berswafoto, tapi yang orang lelaki yang kutuk-kutuk itulah sebenarnya paling ramai like. Dah kenapa? Tak suka tengok, tapi tengok dan jeling-jeling juga. Pergilah like gambar harimau ke, biawak ke, pokok ke, bangunan ke, air terjun ke atau gambar makanan. Ini tidak, gambar perempuan juga dia like. Selepas itu, bila isteri tanya like gambar siapa tu bang? Mulalah dia gelabah badak. Cakap tertekan butang like.

Miss Kitty bukan tak tahu perangai orang lelaki ni. Suka follow akaun laman sosial orang perempuan, terutama yang cantik dan seksi. Kalau tak like pun, takut `kantoi’, dia tengok saja atau paling buruk perangai, siap save atau simpan lagi gambar tersebut untuk koleksi peribadi.

Jangan cakap Miss Kitty suka tuduh-tuduh. Cuba sesekali periksa atau tengok telefon pintar orang lelaki, mesti ada berlambak gambar perempuan. Kadang-kadang entah siapa-siapa. Tak kenal pun tapi simpan, orang sekarang kata ‘gambar belanja’.

Sebenarnya, ada juga lelaki yang kaki swafoto. Dalam akaun Instagram Miss Kitty pun, ada beberapa lelaki yang kerap menayang muka. Dekat mamak dia selfie, dalam pejabat pun selfie sambil beritahu banyak kerja, dalam kereta pun selfie, di padan main bola, eh, banyak lagilah tempat dia selfie.

Disebabkan terlalu kerap gambar dia muncul dalam wall Instagram Miss Kitty, sampai timbul rasa meluat pula, Miss Kitty unfollow aje, habis cerita. Eh, korang bukan Mesut Ozil ke, Ben Hardy ke, Jason Momoa atau Chris Hemsworth yang sesekejap nak muat naik gambar tu. Muat naik sekali dalam sehari sudahlah.

Nampak tak perbezaan orang perempuan dengan orang lelaki? Perempuan kalau dia tak suka lelaki tu asyik selfie, dia terus removed orang itu. Tak payahlah nak kutuk-kutuk macam orang lelaki, tapi hari-hari dok tengok dan like juga gambar perempuan yang dia kutuk tu. Sembang saja lebih.

Kalau hendak cerita pasal orang perempuan dia makan apa pun nak tunjuk, orang lelaki pun sama. Bukan setakat gambar makanan, kadang-kadang gambar stoking busuk pun dia upload dalam media sosial. Tujuan nak melawaklah konon. Lawak hambarlah.

Tapi Miss Kitty memang pujilah Bro Tompok bab-bab ni. Dia tak buat kerja-kerja macam tu. Miss Kitty bukan nak up dia sebab dia tak sihat. Facebook dia bersawang dah pun. Tapi tak tahulah kalau-kalau dia ada akaun lain bukan guna nama sendiri. Ramai juga yang buat macam tu, sebab nak jadi keyboard warrior dalam bab-bab mengutuk pemimpin-pemimpin politik dan isu-isu semasa.

Apa pun, Miss Kitty tak sukalah orang yang menunjuk pandai tapi tak berapa pandai ni. Lebih baik Miss Kitty layan cerita-cerita Korea daripada bergaduh dalam media sosial. Eh, Song Joong-ki ni hensem jugakan?

Miss Kitty - Tak suka bergambar.