Tindakan bashing sesama mereka ini telah berlaku sejak tahun lalu tetapi semakin lama nampak tidak terkawal sehingga rakyat tertanya-tanya adakah kerajaan PH ini cukup kukuh? Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mempersoalkan kesetiaan kepada negara daripada kepartian turut mendapat perhatian rakyat. Ini menimbulkan persoalan adakah komponen kepartian kerajaan PH tidak setia pada negara dan lebih mementingkan agenda politik masing-masing? Malahan perkembangan bashing adalah satu hal luar biasa berlaku dalam sebuah negara demokrasi atau sering kali terjadi ke atas komponen kepartian yang kurang matang.

Implikasi bashing ini boleh menimbulkan polemik kepercayaan ke atas pelabur-pelabur luar yang ingin datang ke negara ini. Persepsi kepercayaan adalah kuasa utama dalam aspek pelaburan dan pembangunan ekonomi negara ini.

Tindakan bash antara satu sama lain dalam komponen PH tidak akan mengembalikan semula tiang utama persepsi kepercayaan pelabur luar ke atas negara ini, walaupun kestabilan dan asas-asas fundamental ekonomi negara adalah kukuh.

Sepatutnya konsep kebersamaan dan tindakan politik bersama adalah cara terbaik dalam menangani situasi bashing ini.

Sebarang ketidakpercayaan atau tidak bersetuju perlu dibawa berbincang dalam majlis bersama antara setiap komponen parti. Majlis bersama ini bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi tetapi juga di peringkat akar umbi.

Kesan perbuatan bashing sesama sendiri ini mempengaruhi dua situasi ke atas pengurusan Kerajaan Persekutuan iaitu situasi emosional dan situasi programatik.

Kesan situasi emosional melahirkan perasaan kecewa dan kurang kepercayaan oleh penjawat-penjawat awam ke atas penjawat-penjawat awam politik seperti menteri, timbalan menteri, menteri besar dan sebagainya. Ini mengundang kepada persekitaran tidak sihat terhadap pentadbiran negara dan negeri di bawah komponen kerajaan PH.

Akibatnya, rakyat akan ragu-ragu sebagai penerima perkhidmatan daripada kerajaan PH. Salah satunya adalah tafsiran persepsi yang berbelah bagi ke atas prestasi kerajaan PH di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri, manakala situasi programatik menimbulkan permasalahan pelaksanaan dasar dan hala tuju kerajaan PH di peringkat Persekutuan.

Kemakmuran Malaysia perlu diuruskan secara programatik agar pembangunan negara sampai sehingga ke peringkat akhir iaitu di desa atau penempatan pedalaman. Tetapi jika tindakan bashing ini berlaku boleh menimbulkan elemen sabotaj dan juga memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil kesempatan ke atas kelemahan kerajaan PH.

Kesangsian rakyat ke atas cara mentadbir dan mengurus organisasi awam oleh kerajaan PH turut terkesan, jika perbuatan bashing ini mendedahkan kelemahan-kelemahan pengurusan yang diketuai oleh komponen kerajaan PH sendiri.

Jika benar-benar berlaku amalan rasuah, maka seelok-eloknya dibawa ke peringkat Persekutuan untuk diambil tindakan. Bukannya tindakan tersebut diambil oleh individu tertentu walaupun dalam kategori politik kepartian.

Pendedahan secara umum mengundang kepada kelemahan birokrasi tadbir urus oleh kerajaan PH. Seolah-olah membuka pekung sendiri untuk dinilai oleh pihak luar.

Jika penilaian tersebut membawa manfaat tidak menjejaskan imej kerajaan PH. Sebaliknya jika diambil kesempatan oleh pihak tertentu, maka soal integriti kerahsiaan kerajaan akan menjadi satu taruhan yang boleh mengakibatkan satu persepsi negatif kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Jika kepercayaan ini melebarkan jurang antara kerajaan dan rakyat maka dalam jangka masa panjang boleh membawa kepada keruntuhan birokrasi kerajaan PH secara tidak sedar. Persepsi keruntuhan birokrasi kerajaan PH oleh rakyat boleh menyebabkan implikasi jangka masa panjang.

Seterusnya, rakyat akan terasa diperbodohkan oleh kerajaan PH disebabkan kerana tindakan menghentam pemimpin dalam parti sendiri ini mendedahkan setiap aspek kelemahan cara tadbir urus dan tadbir politik negara ini.

Perlu diingatkan rakyat yang mengundi kerajaan PH kerana percayakan perubahan yang boleh mengubah politik pentadbiran negara ini.

Perlu diingatkan kesetiaan rakyat bukan ke atas kepartian. Kesetiaan rakyat adalah soal kepercayaan dan persepsi perubahan yang lebih baik daripada kerajaan terdahulu.

Perbuatan bashing ini sebenarnya melambangkan perpecahan komponen kerajaan PH sebagai sebuah Kerajaan Persekutuan yang mendapat mandat rakyat. Seterusnya akan menyebabkan rakyat menolak kerajaan PH jika mandat tersebut dipersia-siakan disebabkan kelihatan agenda politik lebih utama daripada agenda negara dan rakyat.

Sepatutnya setiap individu pemimpin politik komponen PH perlu belajar berpolitik secara matang. Ini amat penting dalam melatih jiwa agar politik kebersamaan dalam mengurus kerenah yang berlaku dari semasa ke semasa. Jangan sesekali mempersia-siakan mandat atau memperbodohkan rakyat dengan kenyataan-kenyataan tanpa asas yang akhirnya merugikan daripada segi kepercayaan terhadap kerajaan PH.

  • PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan.