Tumpang lalu bertanya balik, apa maksudnya itu? Itu ‘istilah’ baharukah? Kata orang itu, ‘kumpulan sosialistik’ ini berteraskan ‘prinsip sama rasa, sama rata se­hinggakan perjuangan tra­disional tampak tidak lagi relevan’.

‘Perjuangan tradisional’ ini merujuk kepada perkara-perkara berkait hak keistimewaan orang Melayu dan yang terkandung dalam Perkara 153.

Tumpang lalu tidak bisa komen sejauh itu. Namun ingin menarik perhatian kepada soal ketuanan Melayu yang perlu direnung sejenak oleh orang Melayu untuk dirintis dan dikupas sebaik-baik­nya dalam era sekarang.

Realiti hari ini orang Melayu nampaknya tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada konsep ketuanan kerana ia lebih kepada perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Laungan ketuanan Melayu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, me­rit dan dedikasi terhadap tugas serta tanggungjawab mahupun disiplin politik.

Setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkan­dung dalam peruntukan 153 Per­lembagaan atau setakat kedau­latan terhad raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi - ini semua belum mampu menjamin kekuatan semula jadi. Jauh sekali mendaftarkan kekuatan Melayu itu sendiri.

Nasib orang Melayu ada pada tangan orang Melayu. Kita tidak jadi ‘tuan’ dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi ‘tuan’ jika berani bertindak, sanggup menghadapi risiko, berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa.

Penafian hakikat yang nyata dan benar tidak akan menghasilkan apa-apa. Hanya dengan mengakui kita mempunyai masalah yang besar dan kita bertindak untuk mengatasi masalah itu barulah dapat kita tebus balik maruah kita.

Orang Melayu perlu menghindari imej yang melemahkan perjuangan dan pada masa sama bertindak apabila Melayu dicerca oleh politik luaran.

Fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu adalah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu. Ia sama seperti India adalah negeri orang berketurunan India, Arab di Asia Barat dan seperti China dinamakan sedemikian lantaran bangsa Cina yang mendiami negara itu.

Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.

Dari aspek ekonomi, ke­is­ti­mewa­an orang Melayu dan bumiputera harus dilengkapi dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan.

Adakah ekonomi bumiputera kini melebihi paras 30 peratus daripada segi perolehan aset? Dan malangnya, bumiputera masih dikatakan berada di tahap kurang 20 peratus? Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap?

Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib lain. Sebagai warga Malaysia, tidak salah jika cita-cita politik ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Me­layu dan pribumi.

Dari sudut politik, jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini kurang berjaya memperjuangkan kaedah dan mekanisme penyampaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun daripada segi pembangunan, banyak kemajuan telah tercapai. Justeru orang Melayu perlu menolak nis­bah sekurang-kurangnya 30 pe­ratus dan menggantikannya de­ngan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh bumiputera.

Mengenai bahasa Me­layu sebagai bahasa keba­ng­saan ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh menjalankan usaha pemantauan dengan me­nguatkuasakan undang-undang berkaitan penggu­naan bahasa kebangsaan de­ngan segera.

Realitinya, kita panggil di­ri kita ‘tuan’. Tetapi kita tidak tuan sepenuhnya. Kita boleh jadi tuan dengan erti kata yang bermakna jika orang Melayu berkebolehan dan berjaya dalam bidang ekonomi dan sosial juga. Ini boleh dihasilkan jika kita sanggup tuntut ilmu dan segala kemahiran di zaman teknologi tinggi. Tetapi kita amat kurang berusaha ke arah ini. Kita lebih suka cari jalan mudah. Biar sahaja orang bekal segala-galanya kepada kita.

Hari ini kuasa politik pun sukar dijamin tidak akan terlepas ke tangan orang lain. Sebilangan orang Melayu pun kelihatan tidak menghormati institusi-institusi Melayu. Segala-gala yang dianggap sebagai hak istimewa orang Melayu disoal dan dicabar. Dan orang Melayu tidak berbuat apa-apa untuk menangkis semua ini dan mengukuhkan kedudukan mereka. Sebaliknya mereka meminta-minta orang tertentu mempertahankan kedudukan orang Melayu.

Ada andaian mengatakan orang Melayu akan senasib dinasour. Maka kalau begitu telahannya, sesuatu perlu dibuat terhadap Perkara 153? Siapa yang bertanggungjawab? Rajakah, parti politik, kerajaankah atau inisiatif orang Melayu itu sendiri?

Dan menonton trailer sebuah filem berkonsepkan ‘Malaysia Baharu’ berjudul Rise: Ini Kalilah yang bakal ditayangkan sebelum Hari Malaysia pertengahan bulan ini, ada tempias ‘keinsafan cukup tinggi’ bersarang di benak fikiran Tumpang lalu.