Ini kerana pada masa ini, mereka telahpun mempersiapkan tempat perlindungan masing-masing dengan membeli kubu-kubu bawah tanah yang bukannya seperti kubu bawah tanah zaman perang dunia kedua tetapi kubu yang direka serba mewah bagi meredakan ketakutan mereka terhadap mala petaka menjelang hari kiamat. Ketakutan golongan kaya itu telah membuka peluang yang luas kepada pelbagai syarikat untuk membina `kubu bawah tanah bilionair’ yang bukan sahaja selamat daripada bedilan bom dan cuaca melampau tetapi dilengkapi pelbagai ruang mewah seperti bilik permainan dan kolam renang.

Keghairahan golongan kaya terhadap kubu bawah tanah bermula sejak 21 Disember 2012 apabila terdapat sekelompok manusia atau kira-kira 10 peratus manusia di bumi ini yang percaya kononnya berlakunya kiamat pada tarikh tersebut. Ini ditambah kesan perubahan cuaca yang semakin ketara dan teruk, mengancam banyak kawasan dengan kejadian banjir, puting beliung dan panas melampau.

Kemungkinan yang semakin nyata tentang berlakunya perang nuklear global dan beberapa negara dunia terutama Korea Utara yang memperhebatkan program senjata nuklear juga meningkatkan keterujaan golongan kaya untuk mempersiapkan kediaman khusus untuk melindungi mereka dan keluarga.

Ketika ancaman keselamatan bumi semakin meningkat, sekumpulan golongan elit terdiri daripada golongan eksekutif seperti Silicon Valley dan pakar kewangan New York City mula membincangkan rancangan menjelang kiamat.

Beberapa syarikat antaranya syarikat Vivo Group yang berpangkalan di Del Mar, California membina `rangkaian perlindungan bawah tanah global’ untuk pelanggan kaya.

Kawasan milik mereka yang dikenali sebagai Europa One terletak di bawah sebuah gunung setinggi 122 meter di perkampungan Rothenstein, Jerman iaitu sebuah kubu yang pernah menjadi tempat penyimpanan peralatan ketenteraan Soviet semasa perang dingin, lapor Business Insider. Mereka yang membeli sebuah kubu bawah tanah akan turut disediakan seorang kakitangan sepenuh masa dan pasukan keselamatan untuk melindungi mereka.

Kediaman masing-masing direka bentuk dengan kemampuan untuk bertahan daripada bedilan nuklear jarak dekat, gempa bumi, banjir, pesawat yang jatuh dan serangan tentera.

Kuarters kediaman dua tingkat itu mempunyai beberapa bilik tidur di bahagian bawah, sebuah meja snuker dan pawagam mini yang boleh memuatkan lima orang, sebuah pub dan gereja.

Dikatakan menjelang ketibaan hari kiamat, Vivos akan membawa pemilik kediaman itu ke Jerman menggunakan kereta atau kapal terbang dan dari situ, mereka akan dibawa ke kubu bawah tanah masing-masing menggunakan helikopter.

Hanya terdapat 34 kuarters kediaman justeru ruang yang disediakan amat terhad tetapi harga yang ditawarkan sama sekali tidak menghalang golongan kaya ini membelinya.

Harga kediaman peribadi yang dilengkapi perabot bermula AS$2.5 juta (RM10.4 juta) manakala kediaman separa peribadi bermula kira-kira AS$40,000 (RM166,319) setiap seorang.

Jika golongan bilionair gagal untuk mendapat tempahan di Europa One, Vivos menawarkan pembelian kubu bawah tanah di South Dakota, dikenali sebagai xPoint, seluas negeri Manhattan. Asalnya, xPoint dibina oleh sekumpulan jurutera tentera yang terletak di Black Hills, South Dakota justeru menjadi kawasan yang selamat daripada banjir dan sasaran nuklear, kata Vivos. XPoint mempunyai sistem elektrik dan perairan sendiri membolehkan penduduknya bertahan selama sekurang-kurangnya setahun tanpa perlu keluar dari kawasan itu. Harga yang ditawarkan bermula AS$35,000 (RM145,529) tetapi pemiliknya perlu membayar AS$1,000 (RM4,158) sewa tahunan.

Syarikat itu juga mempunyai sebuah lagi kubu perlindungan di Indiana yang boleh memuatkan 80 orang yang disifatkan sebagai `sangat selesa dan setaraf hotel empat bintang’. Pemiliknya tidak perlu membawa barangan lain kecuali baju dan ubat-ubatan kerana Vivos telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti dobi, makanan, pakaian dalam dan barangan penjagaan diri.

Syarikat itu mendakwa kubu bawah tanah itu selamat daripada tsunami, gempa bumi, serangan nuklear malah jualannya bagai `pisang goreng panas’ dan hanya tinggal bebe­rapa unit sahaja yang masih ditawarkan.

Survival Condo Project pula dikhususkan eksklusif untuk golongan yang `super’ kaya.

Kediaman 15 tingkat itu direka bentuk seperti tempat penyimpanan peluru berpandu dibina pada harga AS$20 juta (RM83 juta) dan menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Larry Hall, kemudahan yang disediakan melambangkan ‘keselesaan sebenar untuk golongan ultra kaya’.

Kemudahan itu dikatakan terletak berhampiran utara Wichita, Kansas namun loka­si sebenar masih menjadi rahsia manakala harga yang ditawarkan pada tahun lalu bagi setiap unit ialah AS$3 juta (RM12.4 juta). Setiap tingkat dihubungkan dengan lif berkelajuan tinggi dan pemiliknya dibenarkan keluar dari kubu masing-masing dengan disediakan trak-trak ala pasukan SWAT untuk menjemput mereka.