HASNI MOHAMMAD

1. LOMPAT PARTI
UMNO perlu berjiwa besar dalam mengendalikan mereka yang keluar parti atau lompat parti. UMNO Johor khususnya berharap peri laku lompat parti ini jangan sampai menjadi ‘duri dalam daging’ kepada UMNO dengan membawa pendekatan yang boleh mengelirukan ahli-ahli parti. 


2. SHAHRIR
Shahrir (Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru) paling aktif berbanding sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dengan terus menterjemahkan perjuangan dan peranannya sebagai orang parti. Selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shahrir menggerakkan program-program berkepentingan rakyat anjuran pejabat UMNO Bahagian Johor Bahru.

Banyak persoalan mengenai kos sara hidup, perumahan yang dulunya tidak diselesaikan seperti isu setinggan dan penempatan. Beliau tidak henti-henti buat penjelasan kepada ahli parti. Yang penting, pemimpin-pemimpin UMNO mesti menguasai suasana politik di bahagian masing-masing.

3. DILEMA KETUA KAMPUNG MUKA BAHARU?
Sekarang kerajaan negeri Johor di bawah PH perlu membuat pemantauan terhadap ketua-ketua kampung kerana hampir 90 peratus daripada mereka muka baharu. Daripada lebih 600 ketua kampung, cuma 67 ketua kampung yang lama. Cuma, rata-rata mereka ini kelihatan keliru. Ada ketua kampung yang ‘terpaksa melayan’ pemimpin DAP dan tidak begitu selesa. Ini khususnya melibatkan majlis-majlis keagamaan dengan dia terpaksa mengetuai majlis itu bila pemimpin-pemimpin bukan Melayu datang. Jelas, mereka mendapati sukar sesuaikan diri menyusun atur cara majlis kerana tidak ada kemahiran yang ada kalanya cetuskan rungutan penduduk. Ketua kampung harus ada kemahiran pengurusan dan selok-belok ilmu psikologi masyarakat, mahir soal-soal aktiviti ekonomi, keagamaan dan keselamatan kampung.

4. ISU DUA HALA DENGAN SINGAPURA
Apa pun jangan sampai merugikan Malaysia, khasnya Johor dan rakyat Johor. Kerana itu harus dijadikan asas rundingan kita dengan Singapura. Banyak perkembangan isu dua hala dalam sembilan bulan ini sejak Pusat diambil alih PH, namun masih belum menunjukkan keuntungan kepada kita.

Projek Sistem Rapid Transit (RTS) pun tidak bergerak mana. Projek ini lebih penting berbanding cadangan meneruskan pembinaan jambatan bengkok yang jelas bukan sahaja suatu pembaziran, malah tidak membawa faedah kepada Johor.

Pembinaan jambatan ketiga juga lebih sesuai daripada pembinaan jambatan bengkok.

Demikian juga Projek Keret Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. Mengapa kita tangguhkan? Dahulu Barisan Nasional (BN) bincang soal pampasan. Dari 369 kilometer, tiga suku laluannya adalah di Johor.

Projek HSR itu mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat dan Johor sepatutnya turut diberikan keutamaan dalam sebarang usaha menambah baik rangkaian perhubungan jalan raya dengan Singapura. Ini bukan soal nak ‘kawal’ Menteri Besar (Osman Sapian) tetapi aspek-aspek kepemimpinan yang tegas memperjuangkan isu-isu berkepentingan rakyat Johor harus menjadi keutamaan.

Saya tidak nampak peranan beliau (Osman). Hari-hari nak pantau Johor Corporation (JCorp) dan YPJ Holdings, padahal soal-soal perjalanan dan pelaksanaan kerja untuk dua syarikat milik kerajaan (GLC) ini cukup untuk diselesaikan di peringkat pengurus besar sahaja. Patut Menteri Besar tumpukan hal-hal berkaitan mencari dan mengenalpasti sumber-sumber baharu atau usahawan dalam memberi suatu keyakinan kepada negara jiran terhadap Johor.

Apa kata Shahrir... 

SHAHRIR SAMAD
SHAHRIR SAMAD 

1. LOMPAT PARTI
Kepada enam ahli Parlimen yang keluar UMNO, seorang pergi, 10 orang UMNO boleh ganti. Krisis sebenarnya menunjukkan watak seseorang.

Saya ingat lagi bila mana UMNO Baharu tidak suka saya dan UMNO (Lama) pun begitu juga. Lantas pada Ogos 1988, saya kosongkan kerusi Parlimen Johor Bahru dan bertanding semula atas tiket Bebas dengan menggunakan lambang ‘kunci’ dalam satu pilihan raya kecil. Dan saya menang (dengan majoriti 12,613 undi) semula kerusi Parlimen Johor Bahru (mengalahkan calon BN yang juga Timbalan Ketua UMNO) Bahagian Johor Bahru, Allahyarham Cikgu Mas’ud Abd Rahman).

2. PELUANG SAMA RATA MENGUNDI
Kalau Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun seorang yang bijaksana, beri peluang secara adil, sama rata kepada seluruh pengundi untuk mengundi. Pada PRK Parlimen Cameron Highlands, sejumlah 23 daripada 29 buah pusat mengundi ditutup awal antara pukul 1 hingga 4 petang. Alasan SPR tidak memanjangkan tempoh masa mengundi di pusat mengundi itu di pedalaman termasuk Pos Orang Asli kerana faktor keselamatan dan logistik termasuk penggunaan helikopter.

Jika begitu, mengapa tidak dibuat pengundian lebih awal, sehari atau dua hari sebelum hari mengundi di kawasan pedalaman?

3. BOLEH BANGKITKAH UMNO?
UMNO mungkin sudah terlalu lama. Tetapi hari ini bila datangnya krisis, kita nampak sebenarnya Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada pengganti. Lihat (Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein), kemudian Khairy (Jamaluddin)...kita jangka mereka ini suatu kombinasi. Eh! tengok Hishammuddin, apa dia punya game plan atau hanya broker? Ini menampakkan karaktor sebenar pemimpin-pemimpin UMNO.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sanggup berundur sementara untuk membolehkan parti berjalan. Dan adakah (Datuk Seri) Mohamad Hasan penggantinya? Khairy? Adakah dia diterima oleh UMNO dan masyarakat?

(Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) nampaknya ke depan. Di Cameron Highlands tempoh hari beliau boleh jawab isu dan mainkan peranan sebagai pembangkang di Parlimen.

Tetapi, apabila ada krisis, bangkitlah selesaikan. Inilah hikmahnya. Ia membolehkan kita faham perjuangan sebenar UMNO. Bukannya menempel untuk meraih peluang. Ada yang selepas bertukar kerajaan, terus ‘tukar baju’. Okey, tak apa, kita faham. Tapi loncat parti ini bagus untuk UMNO reset balik parti.

Dahulu bercakap pasal proses rejuvenasi di dalam UMNO perlu dipergiatkan untuk bawa masuk orang muda dalam usaha mencari pelapis pemimpin yang benar-benar berjiwa UMNO. Tapi, cepat pula nak naik.