Ya, sememangnya masyarakat kita gemar untuk melihat keputusan peperiksaan yang cemerlang semata-mata. Misalnya minggu lalu, meskipun tidak diuar-uarkan secara berleluasa mengenai keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kepada media massa, namun masih ramai ibu bapa yang gemar membandingkan keputusan PT3 antara sekolah dan calon PT3. Perkara ini jelas kelihatan di media sosial dan kumpulan WhatsApp. Kecenderungan ibu bapa inilah yang menyebabkan anak-anak dibaluti rasa seolah-olah hanya dengan memperoleh keputusan A sahajalah yang mencerminkan kejayaan pelajar.

Mungkin inilah yang ingin diluahkan oleh pelajar berkenaan kepada penulis. Meskipun pelajar berkenaan berasa tidak begitu selesa dengan cara sebegini, namun penulis difahamkan dia telah memperoleh semua A dalam PT3 2018. Malah, pelajar ini sejak kecil lagi adalah pelajar yang sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Misalnya, mendapat keputusan semua A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) semasa berada dalam darjah enam. Namun, kenapakah dirinya masih berasa tidak selesa dengan cara belajar untuk mendapatkan sebanyak mungkin A dalam peperiksaan.

Penulis cuba memahami pelajar sebegini. Mungkin baginya perlu ada satu tahap yang lebih menggembirakan untuk berfikir di luar kotak dan melakukan perkara-perkara yang amat kreatif dan inovatif semasa belajar di sekolah. Mungkin juga pelajar sebegini tidak memiliki sebarang masalah untuk menghadapi peperiksaan kerana mengetahui bagaimana untuk berhadapan dengannya. Hal ini mungkin menyebabkan dia tercari-cari perkara yang lebih menarik di luar daripada apa yang dipelajarinya di sekolah. Penulis cuba membayangkan apakah kerjaya pelajar-pelajar sebegini apabila dewasa kelak.

Sememangnya kita memerlukan pekerja yang memiliki kemahiran tinggi. Ramai yang cuba mendapatkan ilmu sebanyak mungkin dalam apa jua perkara yang mereka pelajari. Mereka ini memahami pelbagai ilmu. Namun, belum cukup mahir pada tahap yang begitu tinggi dalam sesuatu bidang.

Natijahnya, jika mereka ini berada dalam sesuatu organisasi, maka terpaksalah melantik orang luar atau perunding yang berkemahiran tinggi untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Sebab itulah dalam hal ini, kita perlu meramaikan pekerja berkemahiran tinggi. Sukar untuk seseorang manusia boleh berkemahiran tinggi dalam semua bidang.

Mereka yang meminati sesuatu bidang selalunya akan sedaya upaya menjadi mahir dalam bidang tersebut. Mahir pada tahap yang lebih tinggi sehingga orang lain boleh melihat kepakarannya. Sebelum menjadi mahir, mereka ini perlu melalui proses pembelajaran yang begitu mendalam dalam ruang lingkup bidang tersebut. Tidak kiralah sama ada secara formal atau tidak formal. Yang penting kemahiran tinggi tersebut mampu dikuasainya. Seterusnya, digunakan untuk disumbangkan kepada organisasi dan masyarakat.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).