Kurang setahun memberi amaran itu, beliau bertindak menukarkan Ketua Polis Daerah (KPD) Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad dalam tempoh 24 jam pada 28 Julai lalu disebabkan kegagalannya menangani kegiatan judi haram di daerah itu.

“Few more will follow. Saya sudah bagi amaran mengenai perkara-perkara membabitkan isu judi, bukan sahaja di Gombak, malah di seluruh negara.

“Arahan demi arahan sudah dibuat yang membabitkan ketua polis negeri, KPD dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab, sekiranya mereka tidak mematuhi...kita terpaksa mengambil tindakan tegas,” katanya.

Setiap KPD dan Ketua Polis Balai (OCS) mesti ada pe­ngetahuan yang luas tentang daerah masing-masing. Ini termasuklah kebolehan menghidu kegiatan jenayah di bawah kawasan pentadbirannya. Pendek kata, maklumat-maklumat sedemikian patutnya at his fingertips.

Kita mengalu-alukan tindakan Mohamad Fuzi yang cakap serupa bikin. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (al-Saff: 2-3)

Sememangnya masyarakat amat mengalu-alukan dan tertunggu-tunggu untuk melihat pasukan penguat kuasa seperti PDRM dibarisi oleh orang yang luar biasa ketahanan diri mereka dan kalis jenayah. Ini termasuk kalis rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Pendek kata, harapan masyarakat adalah melihat polis sebagai seorang yang ‘maksum’, adiwira membanteras jenayah yang sentiasa ada apabila diperlukan.

Tugas sebagai polis sebenarnya mulia iaitu mencegah kemungkaran. Sa­yangnya perbuatan segelintir anggota PDRM merosakkan imej pasukan itu yang dikatakan sebagai kelima terbaik dunia selepas Uni­ted Kingdom, New York, Jepun dan Taiwan (menurut laporan Indeks Keselamatan Global) pada Julai 2011. Ini sekali gus menjejaskan kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada agensi penguat kuasa undang-undang itu.

Jasa PDRM amat besar. Anggota dan pegawainya ibarat lilin yang membakar diri. Malangnya, ada segelintir yang memalit lumpur dalam pasukan ibarat nila setitik rosak susu sebelanga. Walaupun sedikit, natijahnya besar. Sebabnya, mereka yang terlibat dalam rasuah dan menjadi tali barut ini adalah orang yang dipertanggungjawabkan dan diberi ‘lesen’ memastikan keadilan dan menguatkuasakan undang-undang.

Kita tidak mahu nanti masyarakat hilang hormat kepada PDRM yang banyak berjasa memelihara dan menjaga keamanan negara. Lebih utama kita bimbang apa jawapan apabila ditanya Allah kenapa kita khianat dengan ama­nah yang diberi. Ini diingatkan menerusi hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa dalam kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Musim)

Apa yang diidamkan oleh masyarakat adalah anggota dan pegawai PDRM yang sentiasa komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Pendek kata, kedata­ngan atau kehadiran polis menyebabkan umum rasa tenang kerana tahu mereka menjaga keamanan dan mencegah jenayah. Kita bimbang akibat tidak amanahnya polis akan mengundang kebinasaan sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Sedarlah, segala perbuatan sama ada secara sembunyi atau di depan khalayak semuanya diketahui oleh Allah SWT. Tidak kira siapa pun kita, waima pemimpin ter­tinggi negara sehinggalah pegawai tertinggi polis, di kiri dan kanan kita ada malaikat yang mencatat amalan dan segala perbuatan kita. Tiada yang terlepas, waima pahala atau maksiat walau sebesar zarah. Semuanya akan ditayangkan di hadapan Allah semasa timbangan kita di akhirat kelak di mahkamah Allah yang Maha Adil.