Sebanyak 5,541 tangkapan te­lah dibuat SPRM setakat ini, me­nunjukkan betapa seriusnya kerajaan mahu hapuskan rasuah dan jika terus diberi mandat, amalan korupsi pasti dapat dita­ngani di negara ini. Persoalan sebenar isu rasuah adalah bagaimana gejala itu bermula dan berterusan sehingga kini?

Persepsi serong yang cuba ditanam adalah golongan miskin dan sederhana khususnya kakitangan kerajaan suka minta ra­suah tetapi sebenarnya mereka tidak mungkin secara sukarela terjebak dengan kehinaan korupsi jika tiada yang menawar dan memberikan rasuah.

Masalah rasuah sebenarnya diwujudkan golongan berduit, kebiasaannya tauke-tauke besar dan orang kaya yang bukan sahaja menghasut dan menggoda, kadangkala sehingga mengugut supaya mengikut telunjuk mereka.

Golongan ini yang memupuk korupsi, sekarang mereka berani pula gunakan isu ini mengaburi mata rakyat berpendapatan sederhana dan rendah dengan menu­ding jari kepada BN. Amalan korupsi mereka untuk mempercepatkan proses, kurangkan birokrasi mahupun merebut tender turut menjadi penyumbang utama peningkatan harga barang serta kos sara hidup. Rakyat terpaksa menanggung pe­ningkatan caj perkhidmatan serta harga barang sementara kerajaan pula dituduh korup bagi menutup aliran wang rasuah mereka.

Seorang bekas Perdana Menteri cuba menyalahkan kerajaan pimpinan Najib atas masalah kos sara hidup sedangkan pengalaman penulis sebagai bekas Pre­siden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) selama 19 tahun ketika pentadbiran beliau hanya melihat harga barang naik dan terus naik.

Harga barang sejak merdeka hanya naik dan tidak pernah turun sampai sekarang. Kalau pembangkang janji akan menurunkan harga barang, itu adalah pembohongan nyata. Setiap kali umum bonus, kenaikan gaji atau apa-apa imbuhan kepada penjawat awam harga barang akan naik. Begitu juga bila musim perayaan mahupun bencana alam, seluruh negara pasti berdepan kenaikan harga barang. Dari dahulu lagi penulis tegaskan bahawa peniaga khususnya orang tengah mengambil kesempatan naikkan harga bagi mengaut untung mudah tanpa mempedulikan rakyat yang terbeban dan ­akhirnya nama kerajaan yang busuk.

Ketika itu semua cadangan MTUC tidak dilayan sehingga hu­bungan kesatuan sekerja dengan kerajaan sangat tegang. Ini jauh berbeza dengan pendekatan Najib yang lebih terbuka mempertahankan hak pekerja melalui polisi seperti gaji minimum, peningkatan usia persaraan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan banyak lagi.

Bantahan bermati-matian pem­bangkang menentang GST turut menimbulkan tanda tanya siapa yang mereka cuba pertahankan. Rakyat ataupun tauke besar yang korup dan punca kenaikan kos sara hidup? Mereka memutar persepsi rakyat sejak pelaksanaannya pada 2015 sedangkan GST jauh lebih baik berbanding sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Kita lihat di ASEAN - Indonesia laksana GST sejak 1984 pada kadar 10 peratus; Thailand tujuh peratus sejak 1992; Singapura tiga peratus sejak 1993 dan kini tujuh peratus; Filipina 10 peratus sejak 1998 dan kini 12 peratus; sementara kemboja (1999), Vietnam (1999) dan Laos (2009) bemula dengan 10 peratus.

Ahli Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) juga kenakan GST antara lima hingga 17 peratus seawal 1981 dan India yang majoriti penduduk­nya miskin turut laksanakan GST antara lima hingga 28 peratus.

GST sebenarnya paling dibenci orang korup yang cuba menyorokkan pendapatan sebenar, duit haram mahupun aliran duit rasuah. Kebencian itu turut dikongsi individu kaya yang gemar menggunakan perkhidmatan mahal seperti melancong ke luar negara atau membeli produk import mahal.

SST membolehkan golongan korup menyorokkan perbelanjaan dan pembelian peribadi keluarga di bawah kos operasi syarikat dan apabila margin keuntungan diaudit Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), jumlah yang dikenakan cukai tinggal sedikit sahaja.

Dengan adanya GST, mereka tidak dapat memanipulasi akaun bagi ‘menyerap’ penggunaan peribadi dan lari daripada membayar kadar cukai sebenar mahupun ‘mencuci’ duit haram.

Namun, jika kita menyoal kenapa harga barang naik termasuk barang basah yang tiada GST, ramai peniaga dengan mudah me­nyalahkan GST. Inilah taktik menghasut rakyat membenci kerajaan sedangkan hakikatnya sistem cukai itu lebih adil dan tidak boleh dimanipulasi golongan korup.

Pengundi jangan termakan janji manis konon semuanya le­bih baik di bawah mereka kerana yang ada sekarang sebenarnya sudah jauh lebih baik daripada disediakan pemimpin terdahulu.

Rakyat perlu sedar di bawah pemerintahan siapa amalan korupsi bertapak dan merebak, polisi siapa membiarkan harga barang dan kos sara hidup terus meningkat serta mengekalkan sistem cukai kuno yang menguntungkan golongan korup.

Penulis merayu rakyat berfikir dengan tenang, rasional dan memilih calon serta parti yang mempunyai kredibiliti untuk meme­rintah negara kita. Jauhi kempen ‘baling batu sorok tangan’ yang hanya menguntungkan tauke-tauke besar punca korupsi, kenaikan harga dan anti-GST.

TAN SRI ZAINAL RAMPAK ialah Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia merangkap bekas Presiden MTUC.