Di ambang perang, pihak-pihak yang terbabit boleh tergelincir dan menarik negara-negara berkaitan tercebur dalam peperangan. Tetapi keadaan ambang perang masih menawarkan peluang bagi mengelak perang.

Sejak Perang Dunia Kedua, umumnya pihak terlibat yang mendapati diri mereka berada dalam ambang perang akan bertindak segera bagi mengelak perang. Ini kerana dalam peperangan, tidak ada sesiapa yang untung. Menang jadi arang, kalah jadi abu.

Mengelak perang lebih mudah daripada menghentikan perang. Jika perang sudah meletus, ia terus melarat dan sukar untuk dihentikan hinggalah ada pihak yang sudah berasa penat dan tidak mampu untuk meneruskan peperangan.

Keadaan ambang perang inilah yang sedang berlaku di Asia Timur Laut, suatu rantau meliputi negara-negara Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, China, Rusia dan Amerika Syarikat (AS). Tahapnya ialah kata-kata ancaman daripada pemimpin-pemimpin Korea Utara dan AS iaitu Kim Jong-Un dan Presiden Donald Trump.

Pertembungan antara dua negara ini boleh mengheret rantau itu ke dalam kancah peperangan yang kesannya akan meluas hingga ke seluruh dunia. Ini kerana kedua-dua negara mempunyai senjata nuklear. Walaupun tahap kekuatan negara itu jauh berbeza.

Dalam keadaan sekarang, semua negara yang berada di rantau itu sedang berusaha secara diplomasi untuk mengelak peperangan. Itulah peranan diplomasi, elak perang.

Tetapi pada waktu sama pihak ketenteraan masing-masing bersiap sedia menghadapi senario paling buruk. Bagi negara yang berada dalam sekutu AS iaitu Jepun dan Korea Selatan, mereka bersedia pada tahap optimum.

Sementara China dan Rusia yang walaupun bukan sekutu Korea Utara juga bersedia menghadapi sebarang suasana di luar jangkaan. Dalam keadaan ini, Korea Utara adalah bersendirian.

Ketegangan terkini ialah tindakan Korea Utara mengumumkan rancangan terperincinya untuk melancarkan satu pakej empat peluru berpandu melintasi Jepun dengan pulau Guam sebagai sasarannya. Guam adalah sebuah pulau di Lautan Pasifik yang merupakan wilayah AS. Ia terletak ke selatan Jepun, dan ke timur Filipina.

Sifat terperincinya itu dilihat melalui pernyataan laluannya. Peluru berpandu itu akan terbang 3,356.7 kilometer dalam masa 17 minit 45 saat melintasi wilayah Shimane, Hiroshima dan Kochi di Jepun.

Ia akan menyasar 30 kilometer hingga 40 kilometer luar pantai Guam. Presiden Trump pula mengingatkan Korea Utara akan bertindak balas.

Pulau Guam yang mempunyai keluasan 550 kilometer persegi itu mempunyai penduduk 160,000 orang yang 7,000 daripadanya adalah kakitangan dan tentera AS. Di Guam terdapat Pangkalan Tentera Udara dan Pelabuhan Tentera Laut.

AS menakluk Guam pada tahun 1898 dalam perangnya dengan Sepanyol. Selain Guam, ketika itu Sepanyol turut menjajah Filipina.

Maka Guam menjadi pangkalan penting bagi AS di Pasifik selain Hawaii dan beberapa pulau di gugusan Polynesia. Ini bukan kali pertama Korea Utara menggugut hendak menyerang Guam.

Tetapi dalam pengumuman ini, yang dibuat oleh Komamder Angkatan Peluru Berpandu Korea Utara, Jeneral Kim Rak-Gyom, rancangan sedang digubal dan dijangka siap pertengahan Ogos untuk dikemukakan kepada pemimpin mereka, Kim Jong-un.

Pengumuman rancangan itu adalah balasan kepada kenyataan Presiden Trump bahawa Korea Utara bakal berdepan dengan satu serangan hebat yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Pemimpin AS itu juga menyatakan negaranya mempunyai kekuatan senjata lebih besar berbanding dulu.

Ancaman

Ketegangan yang berlaku minggu ini bermula daripada tindakan Korea Utara berjaya meningkatkan keupayaan peluru berpandunya bulan lalu melalui dua ujian hingga membolehkan bom itu sampai ke tanah besar AS.

Ia membawa kepada latihan bersama tentera AS, Jepun dan Korea Selatan di laut berhampiran mereka, tindakan ini pula disifatkan oleh Korea Utara dan China sebagai meningkatkan ketegangan.

Sebelum itu telah berlaku rentetan peristiwa yang menegangkan hubungan Korea Utara dan AS. Ia berulangkali sejak Kim Jong-un menjadi pemimpin.

Di sebalik ancaman itu, semua pihak cuba meredakan suasana. Malah ketika Presiden Trump mengeluarkan kata-kata keras, Setiausaha Negaranya, Rex Tillerson meredakan keadaan dengan memberitahu Korea Utara bahawa AS bukan musuhnya.

Tetapi hubungan AS dan Korea Utara sentiasa jadi masalah. Perang Korea yang meletus selepas Perang Dunia Kedua terus mewarnai hubungan kedua negara, walaupun komunis dunia sudah tumbang dan Perang Dingin berlalu.

Ketiga-tiga pemimpin Korea Utara, daripada Kim Il-sung hingga anaknya Kim Jong-il dan cucunya Kim Jong-un terus menjadi masalah bagi rantau itu.

Semasa Perang Korea, Soviet Union dan China membantu Korea Utara bagi berdepan dengan AS yang masuk ke semenanjung itu bagi pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Keamanan dapat dicapai dengan semenanjung itu dibahagi dua.

Sistem komunis tumbang di Soviet Union sementara China mengubah sistem sosio-ekonominya. Namun Beijing masih merupakan kuasa paling rapat dengan Pyongyang.

Tetapi China juga tidak boleh mengawal Korea Utara. Selepas kematian Kim Il-sung, harapan tinggi supaya proses reformasi sistem komunis berlaku di Korea Utara.

Pada masa itu dunia, termasuk China sendiri mengharapkan Korea Utara mengikut jejak ekonominya dan seterusnya bercantum dengan Korea Selatan seperti mana apa yang telah berlaku dengan Jerman Barat dan Jerman Timur.

Tetapi perkara itu tidak berlaku. Korea Utara terus memilih jalannya sendiri walaupun terpencil. Beberapa minggu lalu, Presiden Trump menyalahkan China kerana tidak melakukan sesuatu yang bersungguh-sungguh bagi mengawal Korea Utara.

Tetapi China pula menyalahkan AS. Sejak Trump menjadi presiden, AS telah meningkatkan keupayaan senjata nuklearnya. Hakikatnya Korea Utara adalah seperti tikus berada di sudut bilik, terperangkap dengan keadaan kerana sentiasa berada di ambang perang.

Dengan memiliki senjata nuklear, sebarang langkah yang silap boleh merosakkan Korea Selatan dan Jepun. Tetapi Kim Jong-un nampaknya mahu terus menyasarkan kepada AS. Jika itu berlaku, serangan balas yang boleh dilakukannya akan mengheret juga China dan Rusia.

Pada zaman ini tidak ada rakyat mana-mana negara yang mahukan perang. Mereka mahu hidup dengan aman supaya dapat menikmati kesenangan ekonomi seperti yang sedang dikecapi oleh rakyat Korea Selatan, China dan Jepun.