NORHIZAM HASSAN BAKTEE

Serbuan dibuat pada waktu malam sehingga dinihari dan menimbulkan konflik perdebatan apabila kaedah pendekatan Norhizam yang dikatakan ‘menghalau’ seorang lelaki Melayu untuk beredar setelah lelaki itu cuba mempersoalkan serbuan itu.

Norhizam mendakwa stor tersebut telah dijadikan tempat simpanan baja subsidi kerajaan negeri terdahulu dan dari situlah bermula episod ‘meninggi suara’ apabila Exco berkenaan mendakwa bahawa beliau diprovokasi manakala netizen mempersoalkan kewajaran Norhizam menengking pemuda tersebut.

Susulan daripada rakaman video serbuan tersebut yang memaparkan bagaimana Norhizam ‘bertelagah’ de­ngan pemuda terbabit, pelbagai pihak memberi reaksi berbeza antara­nya mempersoalkan tindakan Exco ber­kenaan menyerbu dan ‘berlagak seperti samseng’ melebihi pihak berkuasa.

Dalam pada itu video rakaman beliau bertengkar dengan sekumpulan nelayan di Kampung Pantai Hailam sebelum ini turut tersebar.

Norhizam dalam sidang akhbar baru-baru ini menjelaskan tindakannya itu adalah bagi melaksanakan tugas­nya sebagai Exco kerajaan negeri yang telah diberikan amanah oleh rakyat.

ADLY ZAHARI
ADLY ZAHARI

“Mereka mengatakan saya seorang ‘YB Gengster’, YB Parti Komunis sedangkan saya berniat untuk memperjuangkan golongan pesawah yang kebanyakannya berbangsa Melayu dan ia telah disalah erti,” katanya dalam sidang akhbar tersebut.

Susulan daripada kekecohan itu juga, beberapa pemimpin pembangkang di negeri ini mendesak supaya Ketua Menteri, Adly Zahari mengambil tindakan mengosongkan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri yang kini dipegang oleh Norhizam.

“Bagaimana beliau hendak meletakkan amanah sebagai pemimpin sebuah negeri yang dilaungkan negeri berwibawa, pintar, hijau dan bersih sedangkan beliau (Norhizam) langsung tidak menunjukkan kewibawaan sebagai seorang Exco kerajaan negeri,” kata Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dalam satu sidang akhbar pada hari yang sama Norhizam membela dirinya.

Persoalan ini dipanjangkan kepada Adly dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri baru-baru ini dan ketua menteri itu menegaskan bahawa beliau berpuas hati dengan perkhid­matan Norhizam yang disifatkannya sebagai cemerlang.

“Beliau bertindak berdasarkan kepada aduan para petani atau nelayan contohnya mengenai keresahan mereka terhadap kaedah agihan baja dan hasil. Daripada maklumat itu beliau mengambil tindakan. Pendekatan beliau mungkin agak keras kerana sebagai Exco beliau menghadapi tekanan daripada petani dan nelayan. (Hakikatnya) Bukan mudah untuk penuhi semua kehendak rakyat tapi kita akan tambah baik kaedah jika ada kelemahan,” kata Adly.

Bukan hendak menyebelahi sesiapa tetapi bagi mereka yang tidak mengenali Norhizam mungkin akan menganggap beliau seorang yang garang, bengis tetapi wakil rakyat itu sebenarnya adalah pemimpin yang mudah didekati, pe­ramah malah senang untuk disapa. Beliau juga tidak pernah menjadikan kedudukannya sebagai wakil rakyat sebagai penghalang untuk sesiapa yang mahu berurusan dengannya.

Namun Norhizam perlu merendahkan nadanya apabila bertemu dengan penduduk selepas ini. Yang pasti, sebagai Exco yang membabitkan portfolio pertanian, golongan petani, penternak, nelayan dan peladang, golongan itu adalah komuniti yang sentiasa berurusan dengannya. Tidak mustahil ada antaranya merupakan pengundi Pakatan Harapan. Sudah tentu mereka meletakkan seribu satu harapan agar nasib mereka sentiasa terbela.