Menariknya, kondor Andean atau vultur gryphus merupakan spesies burung dalam keluarga helang. Burung pemangsa ini hanya boleh ditemui di pergunungan Andes yang terletak di bahagian barat Amerika Selatan meliputi tujuh negara iaitu Venezuela, Colombia, Ecuador, Peru, Bolivia, Chile dan Argentina.

Malangnya, berbeza dengan gelarannya sebagai Raja Gunung Andes, burung kondor Andean kini semakin terancam akibat diburu dan diracun oleh petani kawasan berhampiran pergunungan itu yang berang apabila spesies burung paling besar di dunia itu menyerang haiwan ternakan mereka.

BURUNG PALING BESAR

Burung kondor Andean merupakan salah satu spesies burung terbesar di dunia dengan panjang sayapnya boleh mencecah sehingga 3.2 meter manakala berat badannya antara sembilan hingga 15 kilogram (kg).

Seperti burung pemangsa lain, spesies tersebut hanya memakan bangkai haiwan. Ketika terbang kondor Andean akan menggunakan penglihatannya yang tajam untuk mencari makanan dari jauh. Biasanya burung tersebut mampu melayang di udara dalam tempoh masa yang sangat lama tanpa perlu mengepakkan sayapnya. Malah, burung tersebut juga mampu terbang sejauh 120 kilometer sehari untuk mencari makanan.

Burung berwarna hitam dan putih itu juga antara burung yang mempunyai jangka hayat terpanjang di dunia iaitu menjangkau usia 60 tahun.

KONDOR ANDEAN DALAM JATA NEGARA COLOMBIA

Sebagai burung yang hanya boleh ditemui di bahagian barat Amerika Selatan, lambang kondor Andean telah diabadikan dalam jata negara Colombia bersama beberapa simbol lain. Lambang kondor Andean yang sedang melebarkan sayap diletakkan di bahagian atas perisai sambil memegang mahkota diperbuat daripada buah zaitun dengan paruhnya.

Penggunaan lambang burung tersebut merupakan simbolik kepada kebebasan terhadap negara yang pernah dijajah oleh Sepanyol suatu ketika dahulu.

KONDOR ANDEAN DIBURU

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini terdapat penduduk di daerah Cerrito, Colombia yang mendakwa kondor Andean menyerang haiwan ternakan hidup seperti anak lembu, biri-biri dan kambing dengan menggunakan sayapnya. Berang dengan keadaan tersebut petani terbabit menggunakan bangkai haiwan yang disaluti racun untuk membunuhnya.

Selain diracun helang ini juga diburu kerana dipercayai mampu mengubati beberapa jenis penyakit. Menurut kepercayaan penduduk setempat bahagian perut burung tersebut mampu mengubati penyakit kanser dan dengan memakan bahagian matanya pula boleh menajamkan lagi penglihatan seseorang.

Disebabkan faktor-faktor tersebut, populasi burung yang tinggal di ketinggian 4,000 meter itu semakin terancam. Menurut pakar, hanya terdapat kira-kira 150 ekor burung ini di seluruh Colombia dan sekitar 6,700 ekor masih tinggal di sepanjang pergunungan Andes iaitu dari Venezuela hingga ke Argentina dan Chile.

DASAN DAN ILIKA, 
MANGSA RACUN

Namun begitu, nasib malang yang menimpa kondor Andean mula mendapat perhatian banyak pihak selepas dua ekor burung itu ditemui dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di Cerrito dipercayai akibat diracun.

Dasan, kondor Andean jantan berusia lima tahun merupakan mangsa pertama yang dijumpai pada November tahun lalu dalam keadaan sangat lemah di Cerrito iaitu kira-kira 400 km dari barat Bogota.

Beberapa hari kemudian seekor lagi kondor Andean betina pula ditemui di sekitar kawasan yang sama. Burung tersebut yang diberi nama Ilika bermaksud bertuah dalam dialek Uwa iaitu bahasa pertuturan penduduk di bahagian timur laut Colombia. Juga dipercayai menjadi mangsa racun.

Biarpun tidak diberi sebarang harapan untuk hidup, Dasan yang bermaksud kepala dan Ilika akhirnya berjaya diselamatkan oleh sekumpulan pakar daripada Yayasan Peregrine dan Zoo Jaime.

Kedua-dua ekor burung jantan dan betina tersebut dirawat selama dua bulan sebelum dilepaskan dan terbang dengan gah semula sebagai Raja Gunung Andes.