Hakikatnya, banyak orang yang membuat kesilapan dalam komunikasi dek kerana sibuk pentingkan apa yang pengirim (sender) hendak sampaikan, tetapi adakah kita pernah fikir tentang kesan kepada penerima (receiver)? Oleh itu, komunikasi berkesan ialah segala mesej yang disampaikan kepada penerima boleh diterima dengan baik. Penerima juga memahami setiap maksud dan hajat sama ada secara langsung atau tersirat, serta mendapat manfaat daripadanya.

Dalam komunikasi, keempat-empat elemen ini, iaitu pengirim, utusan, saluran dan penerima mesti ada dan perlu diberikan perhatian dari segi keberkesanan dan impaknya. Pernahkah anda berada dalam situasi yang mana anda sudah bercakap beberapa kali dengan seseorang tentang hal yang sama, tetapi orang tersebut tidak melakukan seperti yang diminta? Mengapakah hal ini berlaku? Sebab mungkin penerima itu berpendapat, perutusan itu jelas, saluran itu betul, tetapi dia (penerima) tidak bersedia. Contoh kita meminta tukang jahit pakaian tradisional membuat rekaan fesyen moden seperti yang diimipikan. Tentu dia tidak dapat memenuhi hajat tersebut kerana penerima (tukang jahit) tidak ada pengetahuan dan kemahiran untuk melaksanakan permintaan tersebut.

Dalam memberi nilaian kepada komunikasi perlu diukur melalui tiga komponen, yakni perkataan, intonasi dan fisiologi atau emosi. Nilaian terhadap tiga perkara itu memberikan impak yang berbeza, iaitu perkataan memberikan impak tujuh peratus, intonasi memberikan impak 38 peratus manakala fisiologi atau emosi memberikan impak 55 peratus. Apabila kita berkata perkataan yang baik, contohnya:“Saya suka awak,” tetapi intonasi mendatar, fisiologi pula menyampah, kesannya akan menjadi negatif walaupun perkataan yang digunakan positif. Penerima mesej itu tidak merasakan yang dia benar-benar disukai.

Dibandingkan dengan situasi yang lain, kita menggunakan kata-kata yang negatif: “Sebenarnya saya tak suka awak pun” atau “menyampahlah”, dengan intonasi yang manja dan lembut, fisiologi ceria, sambil ketawa-ketawa, jeling-jeling manja, senyum-senyum dan cuit-cuit mesra. Orang atau penerima mesej itu dapat merasakan yang kita hanya bergurau. Meskipun mengatakan: “tidak suka kepadanya,” orang itu tetap berasa seronok, bahkan kemesraan semakin terjalin. Maknanya untuk sentiasa berkomunikasi secara lancar dan berkesan dengan seseorang, kita mesti bijak memanfaatkan dan menggunakan tiga komponen komunikasi ini, yakni pilihan perkataan, cara berintonasi dan paparan fisiologi atau paparan emosi. Tegasnya persembahan dan paparan fisiologi atau emosi cukup memainkan peranan penting. Realitinya, kuasa jana yang kuat dalam tubuh kita ialah emosi.

Perlu diketahui bahawa komunikasi boleh berlaku secara lisan dan bukan lisan. Komunikasi bukan lisan tidak menggunakan bahasa badan dan komunikasi jenis ini lebih selesa digunakan kerana ada sesetengah orang, dia tidak pandai berkata-kata. Manusia pula ada pelbagai perangai. Ada yang jenis visual, biasanya orang macam ini suka membaca. Orang daripada kelompok auditori dia suka mendengar dan kinestetik ialah golongan orang yang penuh emosi. Jadi kita mesti tahu, orang yang diajak berkomunikasi jenis orang yang bagaimana? Kalau kita cakap-cakap, dia tidak suka, jadi dia bukan orang jenis auditori sebaliknya visual. Jadi jika hantar e-mel atau pesanan kepadanya, hantar gambar dalam bentuk pesanan ringkas.

Komunikasi merupakan gambaran hati atau emosi, sama ada melalui lisan atau secara bukan lisan. Ia perlu dijaga, kerana di situlah letaknya nilai keperibadian seseorang. Kata Saidina Uthman bin Affan:“ Ketika lidah seseorang menjadi tenang dan ramah, maka hatinya menjadi soleh dan bersih.” Apabila emosi kita betul, tindakan pun akan betul. Apabila tindakan betul, maka komunikasi dan kualiti hidup akan betul. Sebab itu dikatakan kualiti hidup bergantung kepada kualiti komunikasi. Apakah kualiti hidup yang diharapkan? Jawapannya, kita harapkan kehidupan yang sejahtera dunia dan akhirat. Jaminan syurga di alam akhirat. Apakah yang membeza ahli syurga dengan ahli neraka? Ahli syurga sentiasa senyum wajahnya manakala ahli neraka sentiasa masam wajahnya. Boleh atau tidak kita berlatih menjadi ahli syurga, iaitu sentiasa senyum?

Kalau mahu menjadi ahli syurga, senyumlah. Kerana itulah salah satu cara komunikasi berkesan, mengikut sunnah Rasulullah SAW. Baginda sentiasa tersenyum. Seterusnya, lebihkan mendengar daripada bercakap. Kata Hasan al Basri:“Lidah orang yang cerdik berada di belakang hatinya, ketika dia ingin berbicara, dia berfikir terlebih dahulu. Jika kata-katanya akan bermanfaat untuk kebaikannya dia mengatakannya dan jika merugikannya dia tidak akan berbicara. Sementara hati orang yang bodoh berada di belakang lidah. Ketika dia berfikir untuk mengatakan sesuatu, dia mengatakan dengan begitu sahaja, tanpa memikirkan kata-katanya bermanfaat atau tidak.”“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.