Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Bantuan Sara Hidup (BSH).

Yang terbaharu sekali dan menjadi perbualan ramai ialah tindakan menukarkan nama Program Permata Negara (Permata) kepada Genius dan cadangan menggantikan Kuala Lumpur International Airport (KLIA) kepada Sepang International Airport (SIA).

Program Permata dirintis oleh Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memberi penekanan kepada program pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan menyeluruh. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula adalah projek ikonik cetusan idea Perdana Menteri Ke-4, Tun. Dr Mahathir Mohamad. Lapangan terbang yang disifatkan sebagai lapangan terbang abad ke-21 itu dilengkapi dengan kemudahan canggih dan teknologi terkini siap dibina pada 1998 dengan kos RM10.5 bilion.

Ada orang cakap nama pun kerajaan baharu, pemerintah baharu lantas segala bentuk pertukaran yang dilaksanakan sepatutnya bukan satu isu.

Terpulang kepada pemerintah mahu menukar, menjenama, memperbaharui atau membuat perubahan apa sahaja. Itu hak kerajaan baharu. Kenapa perlu orang ramai bising-bising dengan segala pembaharuan itu? Selagi apa yang dilaksanakan itu memberi manfaat kepada rakyat, apa salahnya teruskan sahaja!

Apa sahaja penjenamaan semula produk atau perkhidmatan itu bagaimanapun akan menjadi bagus jika memberi impak besar kepada produk dan perkhidmatan khususnya kepada rakyat. Namun jika tindakan berkenaan dibuat semata-mata kerana amarah, kebencian, dendam kesumat tidak berpenghujung atau tidak mahu satu-satu produk itu dikaitkan dengan `personaliti tertentu’, itu bukan langkah bijak malah kelihatan sedikit lucu. Lebih teruk jika tindakan tersebut tidak menguntungkan sesiapa malah menyebabkan pembaziran tenaga dan kewangan yang ketara.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini pernah berkata, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk mengubah suai 1Malaysia 4 Youth (IM4U) yang lahir pada zaman kerajaan Barisan Nasional kepada Impact Malaysia. Bagaimanapun menurut beliau, banyak program yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu masih diteruskan tanpa perlu penjenamaan semula.

Beliau mengambil contoh program Fit Malaysia yang tak perlu dijenamakan semula kerana kerajaan terdahulu sudah membelanjakan berjuta ringgit bagi menaikkan jenama berkenaan. Menurut Syed Saddiq lagi, program Rakan Muda, Perdana Felo, Parlimen Belia juga tidak perlu dijenama semula sebaliknya hanya perlu dibuat penambahbaikan meliputi aspek-aspek seperti tadbir urus yang baik bagi memberi impak besar.

Perlu diingat semua penjenamaan baharu itu bukan percuma dan tidak memerlukan kos. Banyak benda baharu perlu dibuat apatah lagi kalau program atau projek itu mempunyai nama besar.

Paling kodipun pun perlu ada papan tanda perniagaan atau pejabat, kepala surat, cap mohor, laman sesawang kena bina yang baharu. Itu semua bukan boleh dapat percuma, semua memerlukan wang, wang dan wang!

Bayangkanlah berapa banyak lagi kos perlu dikeluarkan jika KLIA ditukarkan menjadi SIA. Tambahan lagi KLIA itu jenama global yang ulung. Satu dunia sudah mengenali KLIA sebagai satu identiti Malaysia. Janganlah guna alasan negara maju lain guna nama tempat untuk lapangan terbang mereka. Perlu difahami, negara-negara tersebut terpaksa berbuat demikian kerana hampir setiap bandar mempunyai lapangan terbang sendiri.

Malaysia berbeza kerana hanya ada satu atau dua sahaja lapangan terbang bertaraf antarabangsa. KLIA adalah kebanggaan seluruh rakyat Malaysia, apa yang tidak kena dengan nama tersebut sehingga ada percubaan untuk menukarkannya? Selain itu lagi akronim SIA boleh menyebabkan orang ramai terkeliru dengan nama syarikat penerbangan negara jiran SIA. Buta-buta sahaja syarikat penerbangan itu dapat publisiti percuma! 
 
 Seperkara lagi adakah langkah dan cadangan yang dilakukan itu merupakan satu keperluan yang begitu mendesak? Apakah isu penjenamaan semula Permata kepada Genius dan KLIA kepada SIA mengatasi isu-isu besar lain yang sedang bergelora dalam negara ketika ini? Rakyat jelata di semua peringkat berterusan mengeluh dengan kos sara hidup yang menghimpit, harga barang keperluan seharian dan perkhidmatan semakin mahal, kesukaran mendapatkan pekerjaan bagi graduan yang baru tamat belajar, pengenalan cukai-cukai baharu dan macam-macam masalah yang lepas satu, satu muncul.

Apakah kedua-dua isu ini lebih besar daripada isu-isu yang disebut itu sehingga menenggelamkan fokus utama kerajaan ke atas beberapa isu yang lebih penting dan perlu didahulukan. Kalaulah begini caranya, suhu keresahan dan kegelisahan rakyat nescaya akan terus menokok dan menokok sehingga sudah kedengaran suara-suara yang secara terang-terangan menuduh kerajaan sengaja menimbulkan isu-isu tidak relevan ini agar dijadikan polemik bagi mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu besar yang sedang berlaku pada masa ini. 
 Lupakan perintis program tersebut, beliau sudah menjadi sejarah walaupun jasanya bukan sedikit dalam membangunkan program Permata Negara ini. Nama Permata itu sudah elok sangat dan membawa makna yang cukup besar apatah lagi jika dikaitkan dengan kanak-kanak. Anak adalah permata negara yang perlu dijaga, digilap dan diberi ruang untuk membesar dengan segala potensi yang ada pada mereka.

Mereka adalah masa depan negara. Mereka tidak perlu menjadi genius untuk sama-sama membantu membangunkan negara ini. Begitulah juga dengan KLIA. Menukarkan satu nama besar yang sudah gah di seluruh dunia kepada SIA, jelas satu perbuatan yang sia-sia.