Kini kejadian yang sama berulang lagi, lokasinya juga di Pasir Gudang, namun jika menurut Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, pencemaran kali ini tiada kaitan langsung dengan insiden yang berlaku pada Mac lalu.

Jelasnya, semua bahan kimia yang terdahulu telah pun dilupuskan manakala bahan cemar yang baharu ini hasil daripada pengewapan akibat cuaca panas dan keadaan demografi kawasan Pasir Gudang itu sendiri.

Dia juga turut bersungguh-sungguh menerangkan pelbagai teori tiupan angin, angin monsun barat daya, bersifat mencapah dan pelbagai lagi yang membawa bahan cemar tersebut.

Jika bahan kimia dahulu telah dilupuskan, kini terdapat bahan cemar baharukah? Berapa banyak bahan kimia yang terkumpul di Pasir Gudang?

Laporan media juga menyatakan terdapat hampir 30 kilang bahan kimia berada di dalam kawasan yang sama dan fokus siasatan hanya kilang-kilang yang berada dalam radius 15 kilometer(km) persegi.

Dengan begitu banyak kilang bahan kimia yang beroperasi tidak hairanlah kejadian seperti ini terus-menerus berulang.

Insiden kali ini tidak lagi diberi liputan secara besar-besaran seperti isu pertama di Sungai Kim Kim, mungkin kita sudah merasakan perkara tersebut ‘biasa-biasa’ sahaja. Itulah masyarakat Malaysia, kita seolah-olah mudah memaafkan dan melupakan!

Oleh sebab itu mereka yang bertanggungjawab terhadap ‘pencabulan’ alam sekitar ini tidak pernah serik. Awalnya sahaja panas, akhirnya setelah selesai akan dilupakan juga.

Tunggulah pula ada insiden baharu yang lebih ‘gempak’, mungkin ada yang melibatkan kematian baharulah tindakan seterusnya akan diambil. Bak kata orang tua-tua, kita ini apabila sudah terhantuk baharulah mahu terngadah.

Sama ada masyarakat semakin lali atau tuli akan perihal pencemaran alam sekitar menyebabkan insiden-insiden seperti di Sungai Kim Kim dan Pasir Gudang ini akan terus berlaku dari masa ke masa.

Itu baharu isu pencemaran bahan kimia, sebenarnya banyak lagi isu berkaitan alam sekitar yang menerima nasib yang sama, berlaku berulang-ulang. Apabila hangat diperkatakan di media, semua pakat-pakat ambil berat, setelah itu, senyap sunyi, sepi bagai tiada apa yang berlaku.

Pencemaran sungai, pembuangan sampah yang berleluasa, sisa plastik yang memenuhi laut dan pantai, penerokaan hutan, pemerdagangan hidupan liar, kepupusan spesies terancam, kemusnahan dan kehilangan habitat hidupan liar, semuanya akan terus berlaku kerana sikap kita yang tidak mahu ambil peduli secara serius akan hal ini.

Keprihatinan kita bermusim, apabila sudah ditimpa musibah baharulah kita tersedar akan kepentingan memelihara alam sekitar.