Seronok pula Bro baca tulisan Miss Kitty pasal geng plastik hitam dan Cik Mek Molek yang tak habis-habis dok mengeluh pasal air kat negeri dia. Tu la balik setahun sekali, kali ini nasib tak baik tak dapat beraya kat negeri sendiri mula nak mengeluh tentang isu yang Bro rasa dah lama dah. Bak kata orang ‘hadap sajalah’.

Soal geng plastik hitam tu, pada pandangan Bro yang buat segelintir saja lelaki, tidak payahlah kita nak mengata sangat kat mereka, lebih baik doakan mereka insaf supaya tahun depan mereka berpuasa mungkin lebih baik daripada kita. Kena ingatlah kita yang puasa inipun belum tentu dapat pahala penuh.Betul tak?

Okeylah bosan pula dok membebel pasal dua perempuan tu, lebih baik Bro paparkan cerita yang Bro dengar sepanjang cuti raya. Biasalah bila balik raya kat kampung macam-macam cerita kita dengar. Ada yang sedih, ada yang gembira. Kisah Bro ni tiada kaitan dengan perempuan yang meragam di Aidilfitri, lilit tudung sana sini, setengah Bro tengok nak telan ketupat pun susah.

Kisah Bro berkaitan bagai­mana mudahnya perempuan lupa daratan bila senang. Selalunya kita dok baca bukan main seronok lagi perempuan ‘belasah’ lelaki kononnya cepat lupa daratan. Yang seronok kawan Bro, Cik Mek Molek pun tumpang sekaki, walaupun tak lah tinggi mana, bagi contoh kes-kes lelaki curang. Yang nak berpoligami pun dianggap curang.

Tak apa bab poligami tu nanti bila Bro ada masa Bro ulas. Bukan apa perempuan ni yang cakap sahaja bab poligami macam nak runtuh langit, mereka mengamuk seolah-olah macam satu dosa besar pula.

Baru-baru ini Bro jumpa kawan Bro. Dia ni hebat juga kerjanya, anak-anakpun dah besar-besar belaka. Tetapi malangnya setahun lalu, rumah tangganya berkecai. Bukan disebabkan dia curang atau mahu berpoligami walau­pun dia layak termasuk dari segi ilmu agama, tetapi hanya disebabkan isterinya mencapai kelulusan lebih tinggi dan dapat pangkat besar.

Dulu masa belajar, susah senang bersama tetapi bila dah senang, segala-galanya dilupakan. Sebenarnya sejak awal lagi Bro tengok perangai pelik isterinya, sampai rayapun malas nak balik rumah mentua. Tetapi Bro diam sahaja. Bro tak terfikir pula akhirnya rumah tangga berkecai.

Bro ni tak mudah buat kesimpulan sebelum tahu kedudukan sebenar. Bro tanya dia, apa sebenarnya berlaku sebab anak-anak dah besar, rumah tangga pun dah lebih 20 tahun dibina. Bro tanya dia, “kau pukul bini kau ke’’, “kau tidur dengan perempuan lain ke’’, “kau nak kahwin lain ke’’.- Jawapan ‘Tidak, hanya sebab dia rasa kelulusan dia tinggi dan pangkat dia besar, aku ni jawatan rendah sahaja.’’

Kalau nak kata rendah tu tak lah juga. Kalau setakat hari-hari nak guna perkhidmatan ‘Food Panda’ macam Miss Kitty, kata tu boleh sahaja. Tetapi nak buat macam mana isteri tak nak bersyukur, inilah jadinya. Secara jujur Bro tak nak masuk mana-mana pihak walaupun Bro berat menyebelahi kawan Bro tu. Bro cuma anggap mereka tak ada jodoh dan paling penting rumah tangga bukan perkara mudah, kahwin berpuluh-puluh tahun pun belum tentu tidak bercerai.

Apa yang penting adalah persefahaman, kejujuran dan tahu bersyukur. Tidak kisahlah lelaki ke perempuan ke, bersyukurlah dengan pasangan masing-masing. Terimalah seadanya. Janganlah buat perangai manusia lupa daratan, bila susah nak bersama, bila dah senang pasangan ditinggalkan. Kalau lelaki buat mungkin boleh diterima juga, ni perempuan, buruk sungguh perangainya.

Bro - Sentiasa bersyukur.