ADNAN YAAKOB
ADNAN YAAKOB

Walaupun ringkas, cerita ini sarat dengan mesej dan teladan iaitu jangan membuat keputusan membuta tuli atau percaya kepada sesuatu yang dilihat atau didengar tanpa menyelidiknya terlebih dahulu.

Cerita ini dikongsikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai kiasan terhadap sikap sesetengah masyarakat yang mudah percaya terhadap maklumat palsu dan berita fitnah ekoran kewujudan pelbagai platform media sosial pada masa ini.

Walaupun secara keseluruhannya penduduk Pahang dilihat tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran berita palsu di media sosial, namun masih terdapat golongan yang lebih suka mempercayainya kerana dalam fikiran mereka, perkara-perkara dilakukan kerajaan adalah salah.

Perlu diakui bahawa terdapat golongan yang tidak mahu menyelidik terlebih dahulu berita yang diterima. Hal demikian kerana fitnah lebih menarik, maka orang mempercayainya. Sikap ini disifatkan Adnan sebagai tindakan berundur kerana percaya kepada perkara ti­dak benar, bukan maju seperti yang sepatutnya.

Dalam soal ini, Barisan Nasional (BN) perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan tindakan manipulasi atau fitnah yang disebarkan menerusi media sosial jika mahu mengekalkan teraju pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Walaupun situasi semasa memperlihatkan BN masih berada pada landasan untuk terus mentadbir negeri ini, namun parti berkenaan tidak boleh mengambil mudah dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku dalam era asakan teknologi maklumat.

Sebagai rekod, Pahang mempunyai sebanyak 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan BN kini me­nguasai 30 kerusi. Namun satu kerusi yang diwakili pasti itu iaitu DUN Lepar kini kosong berikutan kematian ­penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd. Shohaimi Jusoh pada 31 ­Disember lalu.

Parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum memerlukan 22 kerusi bagi membentuk Kerajaan Negeri Pahang dengan majoriti mudah. Hakikatnya, rakyat Pahang lebih mementingkan soal kehidupan mereka, jadi isu berkaitan kos sara hidup umpamanya perlu diberi perhatian.

BN perlu memastikan rakyat mendapat pemahaman tepat mengenai usaha kerajaan untuk menanganinya ­seperti pengenalan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Di sini platform media sosial perlu digunakan seluas-luasnya dengan menyebarkan maklumat yang tepat dan mudah difahami oleh rakyat supaya tidak ‘tewas’ dengan penyakit fitnah.

Isu-isu berbangkit lain di negeri ini adalah melibatkan masalah berkala seperti kelewatan kelulusan permohonan tanah, lambat atau ditolak yang ditangani dari semasa ke semasa oleh kerajaan negeri.

Pada saat BN berusaha memerangi strategi politik fitnah, amat penting bagi rakyat untuk membuat penilaian dengan maklumat tepat yang mereka peroleh agar tindakan seperti ‘orang tua yang membunuh kucingnya tanpa usul periksa’ tidak berlaku dalam masyarakat hari ini.